Oleh Dr Mamat Desa
23 Ogos 2021
Dua hari lalu (21 Ogos) tiba-tiba sahaja Rafizi Ramli muncul dengan seruan agar PKR melebarkan pengaruhnya di luar bandar dan meminta rakan sekongkol DAP agar jangan hanya menjadi oportunis yang memperkudakan PAN dan PKR untuk mempengaruhi pengundi Melayu-bandar.
Tidak ada siapa yang boleh menyekat PKR untuk melebarkan pengaruhnya di kawasan luar bandar, namun PKR hendaklah sedar tentang legasi keganasan dan budaya samseng yang tebal dalam jiwa PKR.
Janganlah kerana terdesak, rakyat luar bandar juga diserapi dengan keganasan dan gengsterisme PKR sehingga berlaku pecah darah semasa setiap kali pemilihan PKR diadakan.
Rafizi pastinya tidak lupa bagaimana dia terpaksa lari lintang-pukang ketika di Keningau, Sabah seperti pemimpin bacul dan pengecut apabila takut dicederakan oleh ahli PKR yang mudah sangat naik darah.

Mungkin itulah legasi Anwar yang pandai ‘bercakap berdegar-degar tetapi tahi tersangkut di gelegar.’ Dia menentang Mahathir bagaikan berperang dengan langsuir, tetapi bila berhadapan dia menikus bagaimana kucing manja.
Persepsi rakyat bahawa PKR sebagai parti yang melahirkan golongan samseng, yang dikatakan lahir di jalanan, tanpa mengenal ketamadunan, apatah lagi dipimpin oleh seorang yang pernah disabitkan dengan rasuah dan sodomi, adalah jelas dan nyata.
Tingkah-laku samseng, bergaduh sesama sendiri sebagaimana dilihat pada Kongres AMK PKR 2019 di Melaka, sehingga ada yang parah-berdarah, bukan lagi perkara yang aneh bagi ahli-ahli PKR.

Fahmi Fadzil, Ahli Parlimen PKR Lembah Pantai, pernah memperakui bahawa parti yang diasaskan oleh gerakan reformasi DS Anwar Ibrahim itu “merupakan parti yang lahir di atas jalan raya, dengan itu bagi kami ini (pergaduhan) adalah resam, kebiasaan resmi bagi Keadilan.”

Rakyat masih ingat bagaimana samseng-samseng PKR ini telah merusuh di jalan raya dan menerbalikkan kenderaan polis dalam satu perhimpunan Bersih.
Adakah kepimpinan PKR, terutamanya Anwar Ibrahim suatu ketika dahulu, cuba membentuk masyarakat anarki, kerana kemarahan dan dendam kesumatnya terhadap Tun Mahathir, sehingga terbawa-bawa sehingga ke hari ini?

Rakyat juga tidak lupa tentang peristiwa berdarah pada hari Pemilihan PKR di Kuala Langat 2014.
Kerana tidak berpuas hati, atau mungkin kerana diupah, ahli PKR dibelasah oleh penyokong pemimpin tertentu dalam perbalahan antara kem PKR yang bermusuhan.

Persepsi tentang budaya samseng dalam jiwa PKR juga dilontarkan oleh Pengerusi PKR Perak, Farhash Wafa Salvador Rizal Mubarak apabila segelintir pemimpin berjawatan tinggi dalam PKR gemar menimbulkan kekacauan.

Tapi hakikatnya Farhash sendiri pernah diburu polis kerana terlibat dalam pergaduhan di kompleks sukan Ampang awal September 2019.
Insiden berdarah juga berlaku di Seberang Jaya semasa Pemilihan PKR 2018. Kejadian tersebut berlaku apabila terdapat pihak yang tidak berpuas hati dengan pemilihan lantas membaling kerusi dan hinggap di kepala seorang ahli.

Pergaduhan itu tercetus apabila ahli PKR yang hadir pada sidang media itu menjerit dan membantah keputusan pemilihan di Seberang Jaya, Pulau Pinang dan mengesa keputusan dibatalkan selepas berlaku masalah dalam proses pemilihan di beberapa pusat di negeri terbabit.
Pergaduhan juga berlaku semasa Pemilihan PKR di Merbok Kedah pada 2018.

Rakyat juga menyaksikan peristiwa ibu pejabat PKR di Tropicana bagaikan dilanda ribut-taufan apabila penyokong parti itu ‘mengamuk’ sambil maki-hamun, menjerit-jerit dengan api kemarahan, “pengkhianat”, “anjing” dan “pecat” kepada beberapa pemimpin PKR.
Mereka seperti diserang ‘sawan babi’ apabila membelasah Naib Presiden, Tian Chua dan bekas Timbalan Ketua AMK, Dr Afif Bahardin.
Jeritan dan laungan “pengkhianat” dilontarkan kepada Tian Chua sehingga ada yang membaling botol air ke arahnya.
Jika tidak kerana adanya pihak yang mengawal keselamatan Tian Chua, mungkin dia akan mati di tepi jalan sebagaimana anggota Bomba Allahyarham Adib Kassim.
Persepsi rakyat bahawa PKR sebagai mendokong budaya samseng, yang dikatakan lahir di jalanan, tanpa mengenal ketamadunan, apatah lagi dipimpin oleh seorang yang pernah disabitkan dengan rasuah dan sodomi, adalah jelas dan nyata.
Lantas, Rafizi, tolonglah jangan dibawa budaya samseng itu ke kawasan pedalaman Melayu, kerana mereka mudah sangat terasuk dengan gejala amok, dan nanti lebih banyak jiwa yang terkorban.
Jika pergaduhan, rusuhan, dan amokan menjadi ‘resmi’ PKR sebagaimana diperakui YB Fahmi, bagaimanakah rakyat boleh diyakinkan dengan keupayaan Anwar untuk memegang tampuk pemerintahan negara sebagai PM?
*****
Tinggalkan Jawapan