Oleh Dr Mamat Desa
13 Ogos 2021
Tidak semudah yang difikirkan bahawa TS Muhyiddin Yassin akan meletakkan jawatan sebagai PM.
Dia kelihatan terperangkap dalam soal maruah, dan salah urus tadbir negara dalam banyak aspek, baik ekonomi, kesihatan, politik, pendidikan serta tuntutan rakyat terhadap kehilangan nyawa orang yang mereka kasihi.
Dalam kes pengendalian Covid19, Muhyiddin terpaksa bertanggungjawab terhadap kematian rakyat yang kini kelihatan konsisten dengan jumlah lebih 6000 sebulan atau 9 kematian setiap jam. Malahan Malaysia dikategorikan sebagai negara mangsa Covid19 yang paling parah di dunia dalam kiraan per kapita.

Dari aspek perbelanjaan negara, bagaimanakah Muhyiddin akan menjawab di mahkamah nanti tentang perbelanjaan RM600 bilion sebagaimana diperakuinya pada April lalu.
Amat mudah bagi dirinya dan Mahathir menuduh DS Najib Razak membelanjakan RM32 bilion melalui 1MDB sedangkan mereka tidak melihat keuntungan 1MDB adalah RM33.4 bilion.
Walau apapun, DS Najib tidak pernah menyebabkan kematian rakyat sebegitu banyak, sehingga rumah mayat di hospital tidak dapat menampung longgokan mayat akibat Covid19.
Kini dia sendiri telah melenyapkan RM600 bilion sedangkan Covid19 sedang membunuh 6000 nyawa rakyat sebulan.

Muhyiddin juga terperangkap kerana pihak yang menyerangnya datang daripada dua kelompok besar.
Pertamanya pihak PH yang diketuai oleh DS Anwar Ibrahim, yang dalam dadanya masih marak menyala cita-cita untuk menduduki kerusi PM.
Keduanya daripada kem UMNO yang diterajui oleh Presidennya DS Dr Ahmad Zahid Hamidi, atas rasional bahawa UMNO tidak mahu terlibat dengan mana-mana pihak yang biadab dan derhaka terhadap Ke Bawah DYMM Agong.
Di samping itu UMNO juga tidak mahu terpalit dengan ‘kebodohan’ jentera Muhyiddin dalam menangani pandemik Covid19, apabila PN dipersepsikan telah menyalahgunakan Ordinan Darurat untuk survival politiknya di samping ‘iltizam hangat-hangat tahi ayam’ dalam mengendalikan PKP2.0 dan PKP3.0 apabila kluster perkilangan dibenarkan beroperasi.
Muhyiddin terperangkap kerana dia terpaksa menjawab mungkin di mahkamah nanti, mengapakah semasa Proklamasi Darurat diumumkan pada 11 Januari, negara menanggung 2231 kes jangkitan dengan hanya 4 kematian sehari.
Namun setelah Ordinan Darurat dibatalkan pada 21 Julai, jumlah jangkitan meningkat ke angka 11,985 kes manakala jumlah kumulatif melampaui 1 juta dengan kematian 199 sehari.
Lebih parah bagi Muhyiddin apabila pada 26 Julai, iaitu hari pertama Sidang Khas Parlimen diadakan, kes jangkitan harian naik kepada 14,516 dengan kes kematian 207 sehari.
Di samping kes Covid19 yang mendadak naik sebagai rasional bahawa Proklamasi Darurat gagal menjadi senjata melawan Covid19, Muhyiddin juga terpaksa menjawab mengapakah titah DYMM Agong supaya sidang parlimen diadakan segera telah diperdolak-dalikkan.
UMNO tidak mahu terpalit dengan kegenjotan urus tadbir kerajaan PN pimpinan Muhyiddin, dengan itu UMNO menarik sokongan terhadap Muhyiddin dan membangkitkan pula isu ‘keabsahan’ Muhyiddin sebagai PM.
Di sinilah Muhyiddin terperangkap lagi sekali meskipun dia sememangnya sudah masuk jerangkap.
Tapi Muhyiddin tidak gentar dengan perletakan jawatan segelintir Menteri dan orang kanan GLC daripada UMNO, kerana jentera Muhyiddin dalam kabinetnya adalah orang UMNO sendiri.
Muhyiddin juga bekas pemimpin UMNO, dan di sekeliling Muhyiddin adalah golongan yang dahulunya adalah pejuang UMNO. Malahan prinsip perjuangan Bersatu adalah selari dengan prinsip perjuangan UMNO.
Muhyiddin juga tidak gentar dengan Zahid Hamidi kerana Zahid sendiri sedang terkial-kial memperjuangkan survivalnya dalam UMNO.

Muhyiddin juga tidak gentar dengan PAS, kerana pemimpin PAS yang telah berpuluh tahun menjadi pembangkang, dilihat tenggelam dengan jawatan-jawatan tinggi yang diberikan oleh Muhyiddin.
Isu RUU Hudud, isu UEC yang diterajui Dong Zong, isu menjadikan negara Republik Kristian, isu Masjid dijadikan pusat vaksinasi, sedangkan solat berjemaah disekat, isu kluster Covid19 di Casino Genting, dan banyak lagi, senyap tanpa ngauman pemimpin PAS.
Malahan pemimpin PAS ditujah dengan tuduhan biadab dan derhaka kepada KeBawah DYMM Agong, dan Muhyiddinlah yang menjadi sandaran PAS untuk membersihkan nama baik PAS.
Muhyiddin juga tidak gentar dengan Tun Mahathir dan parti Pejuang yang dilihat sebagai ciput, dan melukut di tepi gantang. Lemahnya parti Pejuang Mahathir, sehingga dia sendiri mencanangkan bahawa dia sanggup meninggalkan Pejuang jika dia dilantik mengetuai badan melawan pandemik.

Permintaan Mahathir boleh sahaja Muhyiddin tunaikan, tanpa sebarang masalah.
Lantas, pihak yang ditakuti oleh Muhyiddin adalah PH. Sekiranya Muhyiddin dapat menambat hati PH, Muhyiddin akan selamat.
Segalanya bukan kerana mahu mempertahankan jawatan PM.
Apakah ertinya jawatan PM sekiranya tidur tidak lena, saluran jantung tersumbat, cacian rakyat bersimbah, malahan dalam sidang khas parlimen, kabinet dan MP Muhyiddin seperti membiarkannya terkontang-kanting sendirian ditendang ibarat sebiji bola yang menjadi rebutan pemain lawan tanpa dibantu oleh pemain sendiri?
Dengan itulah Muhyiddin mesti mendapatkan sokongan PH baik secara senyap mahupun secara terbuka.

Malangnya dalam PH ada DAP. Masakan boleh prinsip perjuangan parti yang mengangkat ketuanan peribumi boleh bersekongkol dengan DAP, parti cauvinis Cina yang dalamnya juga terdapat pejuang ideologi komunisme.

Tiada jalan lain lagi bagi Muhyidin kecuali mendapatkan restu daripada Presiden PAS, kerana PAS sahaja parti yang dominan dalam Perikatan Nasional, demi untuk membenarkannya berganding bahu dengan PH-DAP.
Pemimpin PAS sudah biasa berpeluk-pelukan dengan DAP, malah PAS pernah mengeluarkan kenyataan bahawa “PAS perlukan DAP”.

Soal Anwar mahu diangkat sebagai PM juga tidak menjadi persoalan. Muhyiddin bukan lagi mahu mempertahankan kerusi PM, tetapi Muhyiddin mahu mempertahankan maruahnya, survivalnya sebagai ahli politik, dan keselamatannya daripada diheret ke mahkamah.
Malahan sudah terdengar dakwaan bahawa akan ada rundingin PN dengan beberapa Ahli Parliament DAP , PKR dan PAN untuk lompat keluar parti berkenaan untuk menyokong Muhyiddin.

Biarlah Anwar mengambil kerusi PM, asalkan masa depan dirinya selamat sejahtera, tidak seperti DS Najib, tidak seperti DS Dr Zahid Hamidi yang ditujah dengan puluhan tuduhan sehingga menjadi aneh pada mata dunia tentang ‘undang-undang rimba’ Malaysia, semasa zaman PH.
Cara terbaik melepaskan dirinya daripada perangkap ini semua, adalah untuk berada di bawah ketiak PH-Anwar-DAP.
******
Tinggalkan Jawapan