KEPULANGAN Y.A.M. TS TGKU AZLAN KE PANGKUAN UMNO ADALAH TAMPARAN KEPADA BERSATU

Editorial

11 Ogos 2021

Meskipun musuh UMNO memperlekehkan pendirian dan perjuangannya terhadap kerajaan PN serta TS Muhyiddin Yassin atas banyak perkara yang memperlihatkan kegagalan urus tadbir dari aspek sosio-ekonomi mahupun kestabilan politik, namun kepulangan YAM Tan Sri Tengku Azlan ke pangkuan UMNO adalah satu isyarat yang amat konstruktif.

Kembalinya semula YAM Tan Sri Tengku Azlan Almarhum Sultan Abu Bakar ke pangkuan UMNO setelah tiga tahun bersama dengan PPBM (Bersatu) pasti akan menyedarkan penyokong Bersatu dan Muhyiddin sendiri bahawa urus tadbir PN telah terkelencong daripada landasan yang sewajarnya.

Tindakan YAM TS Tengku Azlan yang juga merupakan ayahanda saudara kepada DYMM Agong, ke pangkuan UMNO sudah pastinya memberikan kesan yang amat mendalam kepada kekuatan UMNO baik di peringkat pusat apatah lagi di peringkat negeri Pahang.

Sebagaimana dipetik daripada Sinar Harian, Tengku Azlan telah meletakkan jawatannya sebagai Ketua Bahagian Temerloh untuk memilih kembali ke pangkuan UMNO kerana yakin dan percaya UMNO merupakan sebuah parti yang menjadi tunjang kepada perjuangan orang Melayu dan Islam.

“Saya mengambil kesempatan menyerahkan borang keahlian hari ini dan memilih untuk menjadi ahli UMNO Bahagian Paya Besar,” ucapnya.

Dengan ucapan terima kasih YAM Tengku Azlan kepada Ketua UMNO Paya Besar, Datuk Ahmad Tajuddin Sulaiman, beliau juga menyokong penuh pendirian MB Pahang, DS Wan Rosdy Wan Ismail dalam isu perlembagaan baru-baru ini yang telah menimbulkan keresahan dalam kalangan rakyat.

“Sebagai rakyat Malaysia, kita semestinya mempertahankan perlembagaan negara tanpa mengira fahaman politik,” ujar beliau yang menzahirkan sokongan penuh kepada UMNO.

Kembalinya YAM TS Tengku Azlan juga merupakan satu tamparan kepada Bersatu pimpinan TS Muhyiddin yang kini kelihatan seperti tiada hala tuju.

Apa yang mengangkat kemarahan rakyat adalah kegagalan PN menangani pandemik Covid19, lantas membawa kepada dampak parahnya ekonomi negara dan memberi kesan langsung kepada ekonomi rakyat.

Mengikut kronologi urus tadbir PN, pada 11 Januari 2021, proklamasi Darurat dilaksanakan manakala PKP 2.0 dikuatkuasakan setelah kes Covid19 naik kepada 2231 dengan 4 kes kematian.

Kelemahan PN ialah PKP 2.0 dilaksanakan separuh masak apabila sektor kluster tempat kerja terutamanya perkilangan dan pembinaan dibenarkan beroperasi, sedangkan kluster itulah yang merupakan penyumbang terbesar kes jangkita Covid19.

PKP 2.0 ditamatkan pada 4 Mac, ketika jangkitan baharu adalah 2062 dengan kes kematian hanya 5, sedangkan virus yang menular pada kluster perkilangan dan pembinaan tidak dipedulikan.

Dengan itulah setelah kes meningkat mendadak, pada 10 Mei, PN terpaksa mengumumkan PKP 3.0 apabila kes jangkitan baharu naik kepada 3,807 dengan 17 kes kematian.

Ketika itu pun PN masih mahu mendabik dada mendakwa bahawa kerajaan telah berjaya mengekang Covid19 semasa PKP 2.0, sedangkan virus terus merebak secara diam-diam ditambah ladi dengan kes import dalam kalangan pekerja kilang.

Hari ini 11 Ogos kes jangkitan Covid19 adalah 20,780 dengan kes kematian 211. Malahan Malaysia dikategorikan antara negara mangsa Covid19 dengan jumlah jangkitan tertinggi.

Bayangkanlah teruknya apabila kes jangkitan 2231 dengan 4 kematian pada Januari lalu, yang kini mencecah 21,000 dengan kematian 211 sehari. Malahan tiga hari lalu kes kematian harian adalah 360.

Bayangkanlah sekiranya nyawa rakyat diragut 200 sehari ia menjadi 6000 kematian setiap bulan.

Rumah mayat hospital di Lembah Kelang telah sesak, manakala makmal ICU juga tidak dapat menampung kes kritikal yang begitu banyak.

Sampai bilakah rakyat akan menunggu giliran kematian mereka?

Anehnya PN masih lagi mendabik dada bahawa mereka berjaya melawan Covid19.

Kegagalan melawan Covid19 telah mengheret rakyat golongan bawahan kepada miskin tegar, dan kita bimbang sekiranya ada yang mati bergelimpangan di tepi jalan.

Dengan itu kembalinya YAM Tan Sri Tengku Azlan ke pangkuan UMNO diharapkan akan dapat mencairkan ‘egocentric’ TS Muhyiddin dan konco-konconya dalam Bersatu dan PN.

Fikirkanlah kelaparan dan nyawa rakyat yang tergadai kerana kegagalan PN.

Sampai bilakah semua ini akan berakhir?

******

Advertisement

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out /  Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out /  Tukar )

Connecting to %s

Website Built with WordPress.com.

Atas ↑

%d bloggers like this: