Editorial
7 Ogos 2021
PM TS Muhyiddin Yassin telah meuar-uarkan perutusan khas, semata-mata untuk menyatakan bahawa beliau dan PN mempunyai sokongan majoriti MP di parlimen, dan belaiu tidak gentar untuk parlimen melaksanakan usul ‘undi percaya’ bagi mengangkat keabsahan kerajaan PN.
Lantas, mengapakah parlimen harus menunggu sehingga September untuk bersidang semula sekiranya Muhyiddin yakin dia mempunyai sokongan majoriti dan kerajaan PN kukuh dengan keabsahannya?
Namun, bagaimana pula sekiranya ‘undi percaya’ itu tidak memperoleh jumlah yang menunjukkan bahawa Muhyiddin mempunyai sokongan majoriti dan dengan itu hilang keabsahan kerajaan PN?
Tidakkah Muhyiddin hanya sekadar mengorbankan masa dan nyawa rakyat sedang ekonomi negara terus jatuh menjunam dan kadar kematian di Malaysia sudah terlalu tinggi akibat gagalnya dia kendalikan masalah Covid19?

Lihatlah betapa pentingnya sidang parlimen apabila terdapat saranan konstruktif sebagaimana yang ditunjukkan oleh beberapa MP dalam isu Covid19, misalnya MP Kulim Bandar Baru bagi memperbaiki kelemahan sistem dan dasar kerajaan PN menangani pandemik itu.
Menangguhkan sidang parlimen dikhuatiri mengheret negara kepada situasi yang lebih parah setelah jumlah jangkitan terus meningkat ke angka 20,000 sehari dan kes kematian melonjak sehingga kes ICU di hospital menjadi amat kritikal kerana tiada ruang, manakala kes ‘brought in death’ menjadi-jadi akibat kuarantin di rumah.
Tidakkah ratusan nyawa rakyat terancam setiap hari yang berlalu dan Muhyiddin masih mahu menunggu hingga September?
Kontradiknya Muhyiddin seperti masih mahu berpolitik dan bermain-main dengan penangguhan sidang parlimen seperti cuba mengalihkan perhatian rakyat terhadap krisis yang sedang melanda negara dan mungkin juga mencari katak yang sudi melompat.
Adakah Muhyiddin tidak sedikitpun merasa bertanggungjawab, sedangkan kediaman Perdana Menteri saban waktu menjadi tumpuan keluar masuk MP, sebaliknya sidang parlimen ditutup?

Langsung tiada keprihatinan meskipun 22 NGO turut mendesak supaya sidang parlimen disegerakan, bukan sekadar MP yang mewakili suara rakyat.
Jika dengan penarikan sokongan MP UMNO yang menggugat sokongan majoriti terhadap Muhyiddin, disangkal dengan perutusan khas, mengapa pula tanggungjawab terhadap nyawa rakyat serta ekonomi negara terus dilupakan.
Badan Kajian Ketrampilan Sosial (REFSA) menanggapi penangguhan sidang parlimen ibarat membiarkan bom jangka meletup.
Lantas kerajaan PN, hendaklah menyelamatkan nyawa rakyat daripada bom jangka yang akan membunuh mereka.

Walaupun parlimen telah dibuka semula setelah sekian lama menyepi, namun pembukaannya seperti melepaskan batuk di tangga, dengan syarat-syarat tertentu, malah menamakannnya ‘sidang khas parlimen’ tanpa mahu melibatkan perbahasan dan mengehadkan kehadiran penuh MP.
Amat mengecewakan apabila rakyat lihat betapa pentingnya sidang empat hari itu yang tergopoh-gapah ditutup semula dengan alasan serangan Covid19 yang dangkal, sebaliknya Muhyiddin tidak tahan dengan serangan blok pembangkang dan pembohongan tentang pembatalan Ordinan Darurat yang sepatutnya diperkenankan oleh DYMM Agong.
Muhyiddin pasti tahu bahawa kumpulan M40 kini ditolak ke bawah menjadi B40, walaupun tanggungan dampak ekonomi mereka berganda-ganda lebih teruk kerana bagi golongan peniaga, mereka harus menanggung gaji pekerja, insuran pekerja, sewa premis, dan pelbagai bil.
Manakala penderitaan golongan berpendapatan rendah kini bertukar menjadi miskin, sedangkan yang lebih rendah lagi terus menjadi miskin tegar.
Apa yang pelabur perhatikan sekarang ialah ketidakstabilan sosio-ekonomi negara yang menyebabkan mereka lari ke negara lain. Sedangkan Bursa Saham Kuala Lumpur terus menjunam, apabila ramai pelabur melihat penangguhan sidang parlimen.

PM Muhyiddin seringkali memberi janji palsu kepada rakyat bahawa kerajaan tidak putus-putus berusaha untuk menyelamatkan rakyat.
Namun sebagaimana ditempelak oleh bekas PM, DS Najib Razak, “Kamu berjanji berusaha, berusaha dan berusaha. Masa untuk berusaha sudah tamat. Apa gunanya berusaha, sekiranya seringkali gagal. Ini bukan ujian di sekolah, yang boleh diulang dan diulang.”
Lupakah Muhyiddin dengan perakuannya bahawa kerajaan ‘sudah tidak mempunyai banyak wang’ dalam hal pengurusan negara, membayar gaji penjawat awam, menggerakkan jentera urus tadbir, membantu ekonomi rakyat sebagaimana yang dicanangkan dalam PPN.

Lantas, kenapa lagi nak tangguh-menangguh dengan alasan genjot dan dangkal.
Jika benar Muhyiddin masih mempunyai sokongan majoriti MP, teruskanlah sahaja sidang parlimen.
Anehnya sidang parlimen ditunda tetapi sidang di kediaman PM terus berjalan.
Ramai pula yang berprasangka ‘adakah semuanya kerana katak-katak lebih bebas’ setelah sekatan akibat Ordinan Darurat sudah tidak lagi relevan?
*******
Tinggalkan Jawapan