Editorial
6 Ogos 2021
Rakyat hari ini yang mempunyai talian maya untuk mencari maklumat yang sahih manakala sumber sesuatu berita boleh dihubungi, lantas kebenaran menjadi mudah untuk dinilai.
Semalam 5 Ogos heboh tentang pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) yang akan bertindak membuat laporan polis ke atas Dr Musa Mohd Nordin yang menuduh berlaku rasuah dalam isu vaksin Moderna, sebagaimana disiarkan oleh SinarHarian.

Dr Musa dikenali bukan sahaja sekadar penyokong kuat Pakatan Harapan (PH) tetapi adalah sebahagian daripada kerajaan PH apabila beliau dilantik sebagai penasihat oleh bekas Menteri Kesihatan, Dr Dzulkefly Ahmad, ketika PH berkuasa.
Kini setelah PH tidak berkuasa mungkin Dr Musa merasai bahawa kedudukannya dicabar oleh TS Dr Noor Hisham, yang kini dilihat oleh rakyat sebagai ketua frontliners yang amat berjasa di samping tugas rasmi beliau sebagai Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia.
Dalam satu sesi temu bual bersama ASTRO AWANI, Dr Musa telah membangkitkan isu sogokan pihak pengeluar vaksin yang disanggah oleh KKM sebagai tidak bearas.
Menurut KKM, “Secara khususnya, Dr Musa mendakwa Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Vaksin Covid-19 (JKJAV) tidak membuat perolehan vaksin jenis Moderna dan Bahagian Regulatori Farmaseutikal Negara (NPRA) masih tidak mendaftarkan vaksin berkenaan kerana tidak diberikan sogokan yang mencukupi (not enough kickbacks).”
Perbincangan KKM dengan ModernaTX Inc bagi perolehan vaksin jenis Moderna telah dilakukan pada penghujung tahun 2020.
Pada 6 Disember lalu, ModernaTX Inc telah membuat tawaran rasmi vaksin kepada KKM sebanyak 10 peratus daripada populasi Malaysia dan penghantaran bermula pada suku tahun ketiga dan keempat tahun 2021.
Bagaimanapun, memandangkan penghantaran vaksin hanya dapat dibuat pada suku tahun ketiga 2021, JKJAV telah membuat keputusan perolehan perlu dibuat segera dengan pengeluar lain yang dapat membekalkan vaksin Covid-19 lebih awal bagi mempercepatkan pelaksanaan Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) sebagaimana dijelaskan oleh pihak KKM.
Berdasarkan semakan dan rekod, pandaftaran vaksin Moderna hanya dikemukakan kepada NPRA pada bulan Julai 2021 melalui syarikat yang dilantik oleh ModernaTX Inc.
Memandangkan kerajaan telah mempunyai portfolio dan jumlah dos mencukupi untuk vaksinasi populasi di Malaysia, keputusan keperluan vaksin berkenaan akan dibuat sebaik sahaja pendaftarannya diluluskan oleh Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA).
Sebelum ini pun Dr Musa Nordin pernah menuduh TS Dr Noor Hisham kononnya tidak melindungi petugas penjagaan kesihatan (HCW) dalam memerangi COVID-19 berikutan kira-kira 30 orang daripada mereka dijangkiti wabak tersebut.

Ikatan Pengamal Perubatan dan Kesihatan Muslim Malaysia (I-Medik) berkata, tuduhan Dr Musa itu tidak adil dan melampau kerana kekurangan peralatan perlindungan peribadi (PPE) untuk kegunaan dokor adalah masalah global yang juga berlaku di negara-negara maju seperti United Kingdom (UK), Perancis dan Itali.
Presiden I-Medik, Profesor Dr. Azmi Md Nor menegaskan, “Kita berhadapan dengan pandemik berskala besar yang tidak pernah berlaku sebelum ini. Oleh itu cara untuk maju ke hadapan adalah untuk semua orang bersikap empati dan mengelakkan diri daripada menjatuhkan moral barisan hadapan dengan melancarkan permainan menyalahkan orang lain.”
Dengan bebanan yang ditanggung oleh TS Dr. Noor Hisham dan pasukannya, Dr Azmi menyarankan I-Medik memohon agar beliau diselamatkan daripada tuduhan yang tidak berasas dan serangan yang tidak perlu.
Menurut Dr Azmi, KKM telah mengambil langkah yang sangat baik bagi melindungi petugas kesihatan.
Veteran UMNO pula telah mendesak supaya Dr Musa Nordin dari Hospital Pakar KPJ Damansara dipecat susulan kenyataannya yang dianggap memperlekehkan usaha kerajaan memerangi Covid-19.
Menurut Setiausaha Agung Veteran UMNO, Mustapha Yaakub, sebagai seorang doktor, Dr Musa sewajarnya menyokong usaha kerajaan dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM ) yang diterajui oleh TS Dr Noor Hisham Abdullah.
“(Sebaliknya) dia menyerang ketua pengarah KKM, TS Dr Noor Hisham secara peribadi dan tidak beretika.
“Veteran UMNO dengan ini mendesak pihak pengurusan KPJ supaya memecat Dr Musa dari pusat perubatan itu kerana dia telah mencemarkan kredibiliti KPJ yang terkenal dengan profesionalisme kakitangannya dalam perubatan.

Mengulas lanjut, Mustapha berkata, dalam situasi genting seperti ini, Dr Musa tidak patut muncul sebagai seorang yang serba tahu sedangkan kepakarannya dalam bidang yang berlainan dari pakar-pakar dalam bidang penyakit berjangkit.
“Malangnya kerana cemburu yang dipengaruhi oleh dendam politik maka beliau sanggup membelaksngkan profesionnya sebagai seorang pengamal perubatan,” kata Mustapha tanpa menjelaskan maksud dendam politik itu.
*****
Tinggalkan Jawapan