Editorial
5 Ogos
Ketua Biro MCA Johor, Michael Tay Chee Boon rabun apabila membidas UMNO dengan kenyataan bahawa waktu getir ini, bukan masanya negara menukar Perdana Menteri atau kerajaan.
Dia rabun kerana dia tidak peka dengan apa yang disarankan oleh pakar ekonomi bahawa tindakan TS Muhyiddin untuk membenarkan usul ‘undi percaya’ dalam sidang parlimen pada September akan terus mendambakkan risiko kepada ekonomi negara.

Dia juga rabun bahawa PN sendiri yang tidak fokus kepada nyawa dan keselamatan rakyat, apabila berdolak-dalik dalam isu ‘semak dan imbang’ parlimen dengan menggunakan Ordinan Darurat sebagai senjata kesinambungan hayat politik mereka sehingga membawa kepada rasa dukacita DYMM Agong.

Kata Michael, “Tumpuan seharusnya lebih terarah kepada penyelesaian mengurangkan penularan wabak Covid-19 dengan mengambil langkah-langkah lebih realistik dan bantu rakyat yang terkesan.
“Apabila semuanya sudah selesai, pulangkan kuasa kepada rakyat untuk memilih pemimpin mereka,” katanya ketika mengulas keputusan UMNO menarik balik sokongan kepada kepemimpinan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yasin berkuat kuasa serta merta.
Sedarkah Michael, PN tidak pernah mahu menerima pandangan bernas UMNO, khususnya pandangan DS Najib Razak dalam konteks menangani Covid19?
Hari ini kegagalan PN menangani Covid19 amat ketara apabila jumlah jangkitan harian naik sehingga lebih 20,500 kes, manakala jumlah kumulatif jangkitan sudah seminggu melampaui 1 juta.
Bukan itu sahaja, rumah mayat hospital di Lembah Klang sudah kekurangan ruang, manakala kontena diperlukan untuk menyimpan mayat, sedangkan doktor kontrak daripada frontliners sedang menentang kerajaan yang tidak adil kepada mereka yang bertungkus-lumus menggadai nyawa membantu menyelamatkan nyawa rakyat.
Sekiranya Ordinan Darurat (OD) berjaya mengekang pandemik Covid19, mengapakah ia dibatalkan secara senyap-senyap malahan dengan tarikh diterbelakangkan, sedangkan MP UMNO sendiri yang berada dalam PN pun tidak dimaklumkan. Ini menunjukkan OD adalah instrumen yang gagal dan tidak relevan dengan pendekatan menangani Covid19, tetapi hanya dijadikan senjata politik oleh PN-Muhyiddin Yassin.
Sudahlah sidang parlimen ditangguh-tangguh seperti dipermainkan sedangkan ia penting untuk perbincangan mengatur agenda menyelamatkan nyawa rakyat dan kedudukan ekonomi negara.
Menurut Micheal, pihak berkenaan harus sedar apakah dengan menukar Perdana Menteri dalam masa terdekat ini boleh menjamin wabak Covid-19 di negara ini menurun dan rakyat dapat hidup normal?
Dengan itu kami ingin bertanya Michael, adakah dengan membenarkan Muhyiddin berkuasa untuk dua tahun lagi boleh menjamin pandemik Covid19 diredakan kalau tidak ditamatkan?
Dengan itu tidakkah OD telah dipergunakan oleh Muhyiddin Yassin sebagai senjata politik untuk kesinambungan hayat politiknya? Dengan kata-kata lain Muhyiddin lebih mementingkan soal politik daripada nyawa rakyat.
Lantas apa rasionalnya bagi Michael untuk menasihati UMNO supaya fokus kepada usaha menangani Covid19, dan jangan berpolitik, sekiranya Michael tidak menasihati Muhyiddin Yassin tentang hal yang sama.
Perkara yang amat membimbangkan lagi ialah apabila Menteri Undang-Undang dengan lantang mengatakan bahawa OD akan dilanjutkan lagi pada 2 Ogos tanpa perlu mendapatkan perkenan DYMM Agong.
Dan hari ini dia masih dalam hospital kerana menjalani pembedahan jantung, manakala sidang parlimen terus ditutup semula meskipun Speaker telah berjanji akan membawa isu OD pada Isnin 2 Ogos yang lalu.
PDRM pula dibabitkan untuk menyekat laluan ke parlimen. Tidakkah Michael melihat ini semua politik?

Adakah Michael tahu apa kata ahli akademik, misalnya Prof Ahmad Fauzi Abdul Hamid?
Prof Fauzi kata, “Kerajaan sedia mempermainkan rakyat dengan menyembunyikan keputusan pembatalan OD yang mereka buat walaupun keputusan itu sangat mustahak kepada kehidupan rakyat.”
Tambah Prof Fauzi lagi, “Mustahil kerajaan ini bergelut untuk menangani pandemik kerana ia lebih mengutamakan nyawa politiknya berbanding kesejahteraan rakyat.”
Manakala bekas Presiden Aliran, Dr Francis Loh Kok Wah berkata, “Jangan main-main dengan perisytiharan Darurat dan ia sepatutnya hanya menjadi pilihan apabila ada ancaman yang serius kepada keselamatan negara dan rakyat, tapi bukannya keselamatan politik kerajaan ‘yang tidak dipilih rakyat.’
Lantas, Michael, siapakah yang mengutamakan politik daripada nyawa rakyat? Tidakkah PN sendiri?
*****
Tinggalkan Jawapan