Editorial
4 Ogos 2021
Telah dicanangkan bahawa MP UMNO yang berjawatan Menteri dan Timbalan Menteri dalam kerajaan PN sebulat suara menarik balik sokongan kepada PM TS Muhyiddin Yassin.
UMNO mempunyai sembilan Menteri termasuk Timbalan Perdana Menteri dan lima Timbalan Menteri dalam Kabinet PN yang dibentuk pada Mac 2020 ekoran Langkah Sheraton yang menjadi mercu tanda kejatuhan kerajaan PH dan Tun Mahathir.
Meskipun sebelum ini, terlihat seakan-akan hanya Presiden UMNO sahaja yang mengisytiharkan penarikbalikan sokongan terhadap TS Muhyiddin tetapi kali ini Menteri dan Timbalan Menteri yang berada dalam kabinet Muhyiddin telah sepakat membuat keputusan yang sama.
Isu utama ialah soal gelagat kebiadaban kenyataan yang dikeluarkan oleh Menteri Undang-Undang DS Takiyuddin Hassan ke atas titah DYMM Agong supaya sidang parlimen disegerakan.
Ketua Pembangkang, DS Anwar Ibrahim menegur kebiadaban Menteri Undang-Undang DS Takiyuddin yang dianggap berdolak-dalik berhubung titah DYMM Agong supaya Parlimen segera bersidang.
Namun tiada tindakan tuntas diambil sebaliknya PN bertindak sambil lewa dan hanya setelah menerima ultimatum UMNO, baharulah Parlimen dibuka semula, itupun sekadar ‘Sidang Khas Parlimen.
Pelbagai syarat pula dikenakan pada ‘Sidang Khas itu’ yang hakikatnya bukanlah Sidang Parlimen yang lazim diamalkan oleh sistem demokrasi berparlimen dan Raja Berpelembagaan Malaysia.

Kemudian tercetus pula isu Ordinan Darurat yang dibatalkan tanpa mendapat perkenan DYMM Agong dan tanpa diwarta dan dimasyurkan sebagaimana Proklamasi Darurat dilaksanakan.
Walau bagaimanapun, kenyataan yang dikeluarkan oleh Istana Negara jelas menyatakan bahawa KDYMM Agong belum memberi perkenan kepada pembatalan tersebut, dan Takiyuddin telah mengelirukan Ahli-Ahli Dewan Rakyat.
Rakyat juga menjadi saksi apabila Takiyuddin menyatakan dengan sombongnya bahawa Ordinan Darurat akan disambung semula pada 2 Ogos tanpa perlu mendapatkan perkenan DYMM Agong.
Kabinet PN tidak bersungguh-sungguh mahu membincangkan isu pembatalan Darurat itu di parlimen, sedangkan titah DYMM Agong mahu isu Ordinan Darurat yang sepatutnya ditamatkan pada 1 Ogos dibentangkan dan dibahaskan di Parlimen.

Kemudian Speaker berjanji segalanya akan dibincangkan pada Isnin 2 Ogos, tetapi ditunda pula atas alasan penularan Covid19 di Parlimen itu sendiri, manakala DS Takiyuddin dikatakan diserang komplikasi jantung dan menjalani pembedahan.
PDRM pula diminta menyekat jalan masuk ke Parlimen pada Isnin 2 Ogos, manakala kem MP pembangkang pula berkumpul di Dataran Merdeka.
UMNO tidak mahu terlibat dan terpalit dengan gelagat PN dan TS Muhyiddin, yang diterjemahkan sebagai derhaka kepada DYMM Agong, jika bukan biadab.
Menurut maklumat rasmi daripada pejabat UMNO, mesyuarat maya Majlis Tertinggi termasuk Menteri dan Timbalan Menteri UMNO, telah memutuskan untuk menarik balik sokongan kepada PM TS Muhyiddin Yassin, sebagai satu tindakan mempertahankan institusi Di Raja dan Perlembagaan selari dalam Perlembagaan parti.
MT UMNO juga menyatakan dengan jelas bahawa mereka mempertahankan DYMM Agong yang sejak akhir-akhir ini dipersendakan oleh kerajaan PN.
Sebagai parti Melayu selaras dengan Undang-Undang UMNO sendiri, UMNO tidak berkompromi dalam hal mempertahankan kedaulatan DYMM Agong.
UMNO sentiasa meneliti dan amat sensitif dengan gelagat kerajaan PN dan UMNO tidak mahu terpalit apabila institusi raja diheret dalam permainan politik untuk kepentingan diri pihak tertentu.

Majlis Tertinggi UMNO, sebagaimana kenyataan yang dikeluarkan oleh Presiden UMNO, DS Dr Ahmad Zahid Hamidi, mentafsirkan PN sebagai telah mengkhianati amanah yang diberikan oleh rakyat dan juga DYMM Agong, antaranya, gagal menangani pandemik Covid19, mempergunakan Ordinan Darurat untuk mempertahankan kuasa, gagal mempertahankan sistem demokrasi berparlimen, gagal menjaga kebajikan rakyat yang terhimpit dengan gejala pandemik, gagal mendapatkan keyakinan rakyat, gagal menguruskan kestabilan politik dan ekonomi negara, dan memperkotak-katikkan titah-perintah DYMM Agong sehingga membawa kepada kemurkaan Baginda.
Dengan pengumuman MT UMNO menarik sokongan terhadap PN itu, jelaslah TS Muhyiddin telah kehilangan majoriti dalam Parlimen.
MT UMNO juga menyarankan agar TS Muhyiddin berundur secara terhormat.
******
Tinggalkan Jawapan