BILAKAH SANDIWARA MUHYIDDIN AKAN TUTUP TIRAI?

Editorial

3 Ogos 2021

Sidang Khas Parlimen yang kelihatannya diadakan secara terpaksa oleh kerajaan PN adalah hasil tekanan dan gesaan, dan bukannya digerakkan oleh prinsip demokrasi dan keikhlasan.

Semuanya bermula pada Oktober 2020 lagi apabila Muhyiddin mencadangkan kepada DYMM Agong supaya memproklamasikan Ordinan Darurat, tetapi dengan kebijaksanaan, Baginda telah menolak cadangan tersebut.

Kemudian lagi sekali pada Januari 2021, Muhyiddin telah menasihati DYMM Agong supaya memproklamasikan Ordinan Darurat 2021, dengan objektif utama untuk menangani pandemik Covid19.

Atas keprihatian DYMM Agong terhadap keselamatan rakyat, Baginda memperkenankan tempoh pelaksanaan Darurat dari 11 Januari hingga 1 Ogos 2021 atau sehingga suatu tarikh yang lebih awal jika angka kes positif COVID-19 harian dapat dikawal dan diturunkan dengan berkesan.

Namun itulah permulaan sandiwara Muhyiddin pada lanskap dan sfera politik negara, apabila penganalisis politik, golongan MP, dan rakyat jelata melihat bahawa kerajaan PN gagal menangani Covid19, baik secara makro dengan Proklamasi Darurat sehinggalah kepada pelaksanaan tindakan mikro melalui program vaksinasi rakyat.

Kegagalan kerajaan PN dalam tindakan mikro tertonjol sedikit demi sedikit, apabila kadar jangkitan Covid19 meningkat mendadak, rakyat menderita kerana halangan mencari rezeki, kilang-kilang kapitalis yang penuh dengan pekerja asing terus beoperasi, kontena mayat diperlukan oleh hospital, penggali kubur dikejutkan dengan jenazah yang banyak, lantas rakyat kehilangan kerja, dan ramai jatuh kepada tahap kemiskinan tegar.

Sedangkan kadar jangkitan Covid19 mendadak naik sehingga Malaysia diangkat sebagai negara mangsa tertinggi di dunia mengikut kadar per juta penduduk.

Kegagalan Muhyiddin membawa kepada gejala paranoia dalam dirinya sendiri bahawa akan ada oportunis politik yang akan bertindak dengan usul ‘undi tidak percaya’ mahupun usul ‘undi percaya’ sekiranya Parlimen bersidang.

Pada 16 Jun, gesaan ahli-ahli politik terhadap TS Muhyiddin Yassin telah disambut oleh DYMM Agong dengan kebijaksanaan titah-perintah baginda kepada kerajaan PN supaya sidang parlimen diadakan dengan kadar ‘segera’.

Namun dengan kedegilan Muhyiddin dan kebiadaban Menteri Undang-Undangnya, banyaklah dolak-dalik untuk mereka mengetepikan titah-perintah Tuanku DYMM Agong sehingga baginda mengulangi dua kali lagi titah mengadakan sidang parlimen.

Akhirnya pada 21 Jun, UMNO memberi ultimatum agar kerajaan PN tidak lagi berdolak-dalik dan mengadakan sidang Parlimen dalam tempoh 14 hari.

Presiden UMNO, DS Dr Ahmad Zahid Hamidi, telah bertindak atas tujuan memelihara dan membela institusi Raja-Raja Melayu dan Istana Negara.

Namun paranoia yang menyerang minda Muhyiddin tetap menjadi mimpi ngerinya, sehingga beberapa kali Ketua Pembangkang, DS Anwar memberi jaminan bahawa ‘tidak akan ada usul undi tidak percaya’ sekiranya parlimen bersidang.

Akhirnya pada 26 Julai Muhyiddin seperti terpaksa mengadakan ‘Sidang Khas Parlimen’ untuk diisi dengan sesi ceramah menentang Covid19 tanpa perlu ada perbahasan, tentang apa juga isu dan hanya terhad kepada 80 MP setiap sesi.

MP yang bersidang tidak memberi muka, tetap mahu semua 220 MP dibenarkan terlibat dan membangkitkan isu keberkesanan Ordinan Darurat.

Sungguh mengejutkan, mungkin kerana terdesak Menteri Undang-Undang mendedahkan bahawa Ordinan Darurat sudah dibatalkan pada 21 Julai, tanpa diwartakan dan diumumkan kepada rakyat. Ini bermakna tarikh pembatalannya telah diterkebelakangkan.

Kontradik dengan kenyataan Istana Negara, pembatalan Ordinan Darurat telah dititahkan oleh DYMM Agong supaya dibentangkan pada sidang parlimen.

Muhyiddin amat takut untuk membentangkan pembatalan Ordinan itu kerana ia akan melibatkan pengundian, kerana pengundian adalah hantu yang amat menakutkan Muhyiddin dan lantas, dia hilang pada sesi petang 26 Julai.

Speaker berjanji isu Ordinan akan dibincangkan pada Isnin 2 Ogos, tetapi, sidang Isnin juga ditangguhkan kononnya kerana jangkitan Covid19 dan jalan masuk ke Parlimen telah ditutup bersama kehadiran puluhan anggota PDRM.

Muhyiddin tetap tidak kelihatan tetapi kemudiannya Menteri Undang-Undang dikatakan terpaksa menjalani pembedahan jantung.

Semuanya benar, tiada yang tidak benar kecuali persepsi rakyat dan blok pembangkang menterjemahkan segala episod sebagai sandiwara hebat Muhyiddin dan kerajaan PN.

Mungkin juga kubu pertahanan Muhyiddin sudah runtuh, manakala rakyat tertanta-tanya sampai bilakah lagi Muhyiddin dan kabinetnya yang dikatakan ’gagal’ akan bertahan dan menamatkan semua sandiwara ini.

*****

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out /  Tukar )

Google photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google anda. Log Out /  Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out /  Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out /  Tukar )

Connecting to %s

WordPress.com.

Atas ↑

%d bloggers like this: