Editorial
2 Ogos 2021
Presiden PAS, DS Haji Hadi Awang sememangnya amat bijak memikat hati pengundi dan umat Islam terutamanya kaum Melayu, melalui sentimen agama.
Banyaklah yang dihujahkan oleh Hadi mempunyai asas yang kukuh bagi menyedarkan dan mengukuhkan iman umat Islam.
Namun mengapakah pada sidang khas parlimen yang telah berlangsung minggu lepas, tidak kelihatan langsung wajah Hadi yang menjadi sanjungan umat Islam.
Umat Islam seluruh negara mahu mendengar hujah Hadi tentang banyak perkara seperti isu bendera putih, isu ramai rakyat yang miskin yang tidak pernah putus berdoa dan tidak tinggalkan solat, isu pandemik Covid19 yang semakin hebat menular meskipun Ordinan Darurat telah dikuatkuasakan selama 7 bulan, isu masjid jadi pusat vaksinasi, sedangkan solat berjemaah di larang, dan macam-macam lagi yang mungkin Haji Hadi boleh jawab.
Sayangnya Hadi tidak ada dalam sidang, tapi Hadi hanya ada dalam Harakah dan Facebook.
Dua hari lalu, pada 31 Julai, bekas pegawai-pegawai Menteri dan Timbalan Menteri kerajaan Pakatan Harapan (PH) telah membuat laporan polis terhadap Haji Hadi Awang berkenaan artikel beliau yang diterbitkan dalam Harakah Daily.

Setiausaha politik kepada Ahli Parlimen Segambut, Nor Miswary Ramli, membuat laporan itu di Ibu Pejabat Polis Dang Wangi, mendakwa artikel yang ditulis oleh Hadi berunsur fitnah terhadap kerajaan PH.
Miswary berkata, artikel bertajuk “Politiking untuk menyingkirkan Islam” menggambarkan PH sebagai kerajaan yang melumpuhkan Islam dan umatnya supaya terus berada dalam kelekaan atau menjadi syaitan bisu.
Hadi dianggap berniat hendak menyebabkan, atau mungkin menyebabkan, ketakutan atau kegentaran kepada awam, atau kepada mana-mana golongan awam supaya mungkin terdorong melakukan sesuatu kesalahan terhadap negara atau terhadap ketenteraman awam; dan berniat mengapikan atau yang mungkin mengapikan mana-mana golongan atau kaum melakukan sesuatu kesalahan terhadap mana-mana golongan atau kaum lain. Ini merupakan suatu kesalahan di bawah Seksyen 505 Kanun Keseksaan, dakwa Miswary.
Bagi pemimpin PH, rencana Hadi itu dianggap mengancam dengan niat untuk menganiayai, mengugut atau mengganggu orang lain dan adalah suatu kesalahan di bawah Seksyen 233(1)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia.
Justeru, Miswary yang juga hadir bersama wakil DAP dan Amanah berharap pihak polis melakukan siasatan dan mengambil tindakan sewajarnya terhadap mereka yang bertanggungjawab.
Rakyat berharap Hadi berterus-terang sahajalah bahawa PAS bimbang sekiranya Muhyiddin dan kerajaan PN jatuh, maka kuasa politik akan jatuh ke tangan Presiden PKR, DS Anwar Ibrahim dan sekaligus PH yang didominasi oleh DAP akan berkuasa semula.
Sememangnya rakyat sudah lihat kerakusan DAP semasa PH berkuasa selama 22 bulan, dan rakyat tidak mahu diperbodohkan PH dan DAP apatah lagi Tun Mahathir.
Cuma kadangkala rakyat hairan kenapakah semasa Al-Marhom Nik Aziz masih hidup, PAS kelihatan sayang sangat pada DAP?

Bukankah DAP tidak pernah mengucap dua kalimah syahadah, tetapi ahli UMNO yang ada dalam kalangannya umat Islam yang tidak tinggal solat dan puasa, menunaikan fardu Haji, dan mengeluarkan zakat, tetapi dilabelkan oleh PAS sebagai kafir, sebagaimana ramai yang menterjemahkan kandungan ‘Amanat Haji Hadi’.
Rakyat Islam ingin bertanya, bolehkah mereka kata, “Wajib sokong DAP. Haram sokong UMNO hingga kiamat” sebagaimana yang pernah Hadi lafazkan suatu ketika dahulu? Bukankah ini satu hipokrasi?

Apabila Nik Aziz meninggal dunia, dengan pantas PAS berubah meninggalkan PH dan berbaik-baik pula dengan UMNO.
Kini rakyat juga hairan, kenapa Hadi yang menjadi Duta Khas ke Timur Tengah, tidak berperanan untuk memujuk Arab Saudi dalam isu membenarkan penggunaan vaksin tertentu sahaja bagi bakal Haji Malaysia.

Haji Hadi juga menjauhi Arab Saudi dan mengutuk dasar Arab Saudi dan peranan mereka dalam OIC, tetapi Hadi seperti mesra pula dengan pemimpin Syiah Iran.

Dulu semasa KDN heboh mendakwa Mat Sabu sebagai penganut Syiah, Haji Hadi pun diam sahaja. Kenapa? Adakah bagi Hadi boleh menganut fahaman Syiah, dan lantas berbaik dengan Iran, tetapi tidak dengan UAE dan Arab Saudi? Ramai ulama Islam berpendirian ajaran Syiah adalah bertentangan dengan Ahli Sunnah Wal Jamah, dan Syiah itu sesat.

Mungkin juga bagus kalau kita nak berbaik dengan semua negara ‘Islam’ termasuk Republik Syiah Iran.
Tapi Haji Hadi sedarkah apa berlaku di Syria dan Iraq sekarang dalam konteks pemerolehan kuasa oleh kerajaan Syiah Iran?
Memanglah Iran membantu Palestin dalam konfliks dengan Israel, tetapi sedarkah Hadi tentang muslihat Syiah Iran itu?

Pengerusi Majlis Ulama Syria, Sheikh Muhammad Ali Al Sabuni dalam satu ceramahnya di UKM telah mendedahkan penderitaan dan seksaan yang terpaksa di tanggung rakyat Sunni di Syria. Kekejaman yang dilakukan ke atas rakyat fahaman Sunni oleh regim Syiah Bashir Al Assad adalah jauh lebih teruk dari apa yang dilakukan Israel ke atas rakyat Palestin.
Sekarang mereka mahu menjadikan Semenanjung Arab sebagai Semenanjung Parsi, dan mengukuhkan fahaman Syiah di rantau itu.
Lantas kenapa Hadi beria sangat cenderung kepada Iran, tetapi sombong dengan UAE dan Arab Saudi?

Rakyat juga berharap Hadi janganlah membina sikap ketaksuban ke atas pemimpin, jika pemimpin itu salah, katakanlah dia salah, tiada mana-mana pemimpin PAS yang maksum, dan jangan membina ketaksuban dengan pelbagai alasan dangkal untuk membela pemimpin yang jelas salah, baik Muhyiddin, AlMarhom Nik Aziz, mahupun Hadi sendiri.

Tidak lupa juga kes pemimpin PAS yang dikatakan bernikah secara online. Janganlah Hadi nak bela pula sedangkan Majlis Agama Islam di Narathiwat sendiri telah mengambil tindakan terhadap jurunikah berkenaan.
Inilah masalahnya Hadi, rakyat melihat Presiden PAS diam sahaja apabila terkena batang hidup konco sendiri.
****
Tinggalkan Jawapan