Editorial
28 Julai 2021
Adakah kerajaan ini sah, setelah Ordinan Darurat dibatalkan dan dengan itu juga Proklamasi Darurat tamat?
Heboh dalam media suara-suara penggiat undang-undang seperti Tuan Mohamed Haniff Khatri, dan beberapa lagi yang lain, tidak ketinggalan juga ahli-ahli politik, baik yang berada dalam blok kerajaan apatah lagi pembangkang.

Nampaknya isu ini adalah soal yang amat berat kerana ia menentukan dari sudut undang-undang, adakah kerajaan sedia ada sah atau tidak?
Malah ada yang melabelkan kerajaan PN sebagai cuba memperdayakan rakyat.
Ia menjadi satu kejutan yang amat kritikal apabila Menteri Undang-Undang DS Takiyuddin Hassan mengumumkan bahawa, tanpa perkenan DYMM Agong, Ordinan Darurat 2021 telah dibatalkan.
Isu tersebut bertambah mengejutkan apabila Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat, DS Azalina Othman Said turut mendakwa beliau juga tidak dimaklumkan mengenai pembatalan tersebut sebelum dan semasa pembatalan dibuat pada 21 Julai 2021.
Beliau hanya mengetahuinya setelah dimaklumkan oleh Takiyuddin pada hari pertama Sidang Khas Parlimen itu.
Kata DS Azalina “Sebenarnya saya sebagai ahli Parlimen pun dalam situasi yang agak sama (tidak dimaklumkan) dan saya percaya ramai peguam di sana dan kalau kita tengok media sosial bertanya tentang soalan yang sama.
Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak mempersoalkan pembatalan enam Ordinan Darurat termasuk ordinan utama iaitu ordinan induk yang menimbulkan kesangsian terhadap kesahihan dan keabsahan kerajaan bermula 21 Julai hingga 1 Ogos ini.
Demikianlah juga pada pandangan Tuan Mohamed Haniff Khatri bahawasanya berlaku kelompongan kuasa pemerintahan bermula 21 Julai hingga 1 Ogos kerana proklamasi Darurat yang telah diperkenankan oleh DYMM Agong berkuatkuasa dari 11 Januari 2021 sehingga 1 Ogos 2021.

Dengan perakuan Menteri Undang-Undang pada hari pertama Sidang Khas Parlimen itu, enam Ordinan Darurat telah dibatalkan lebih awal daripada tarikh yang telah ditetapkan semasa proklamasi dibuat.
Menurut DS Najib persoalan utama daripada pengumuman Takiyuddin itu adalah sama ada pembatalan Ordinan Darurat itu telah dibuat mengikut proses undang-undang kerana pembatalan Ordinan Undang-Undang mestilah mendapat perkenan DYMM Agong dan ia hendaklah diwartakan.
Keduanya adakah pembatalan itu sah dari segi undang-undang kerana pengumuman tersebut dibuat dengan menterbelakangkan tarikh pembatalan iaitu 21 Julai 2021, manakala pengumumannya pada 26 Julai 2021.
Soal menterbelakangkan tarikh pembatalan Ordinan Darurat itu memberikan dampak yang berat terhadap apa-apa tindakan yang diambil oleh pihak berkuasa selepas 21 Julai itu kerana keabsahan kerajaan mungkin sudah turut terbatal.
Sebagaimana ucapan Takiyuddin, kerajaan PN mengumumkan keputusan tidak menasihati Yang di-Pertuan Agong untuk mengisytiharkan Proklamasi Darurat baharu apabila darurat tamat pada 1 Ogos ini.
Secara peribadi Najib berpendapat, kenyataan Takiyuddin semalam amat mengelirukan rakyat dan Dewan Rakyat.
Pembatalan ordinan itu dilihat seperti mengelirukan dan tidak mengikut prosedur undang-undang.
Ketua Pembangkang, DS Anwar Ibrahim juga menempelak pihak kerajaan khususnya Takiyuddin setelah mengumumkan pembatalan Ordninan Darurat dibatalkan.
DS Anwar mahu perbahasan pembatalan itu dibincangkan pada sidang hari itu juga kerana ia membawa dampak yang berat kepada kuasa eksekutif negara.
Peguam Tuan Haniff Khatri menyatakan dari aspek undang-undang PN mungkin kehilangan kuasa eksekutif untuk mengurus tadbir negara apabila membatalkan semua enam Ordinan Darurat.

Dalam keadaan darurat, Yang di-Pertuan Agong telah memberikan kuasa pentadbiran kepada kerajaan melalui Seksyen 11 Ordinan Darurat (Kuasa-kuasa Perlu) 2021.
Ordinan itu memperuntukkan kuasa eksekutif kepada PM dan jemaah menteri untuk terus menjalankan kuasa eksekutif persekutuan dan perundangan di bawah ordinan tersebut.
Apabila seksyen 11 ini dimansuhkan maka Malaysia tidak ada kerajaan bermula 21 Julai sehingga 1 Ogos.
Apabila kerajaan PN mengatakan bahawa mereka telah membatalkan atau memansuhkan (semua ordinan darurat) mulai 21 Julai, ini bermakna Seksyen 11 sudah tidak lagi terpakai.
Oleh itu, menurut Haniff, Malaysia tidak mempunyai institusi yang dapat mengurus tadbir negara dari 21 Julai hingga 1 Ogos. Kuasa eksekutif itu dikembalikan semula kepada DYMM Agong.
Dengan itu, DYMM Agong berkuasa untuk melantik sesiapa sahaja menduduki kerusi PM, atau mungkin juga diserahkan kepada TS Muhyiddin Yassin semula, sekiranya baginda perkenan.
******
Tinggalkan Jawapan