Editorial
26 Julai 2021
MP Bukit Gelugor Ramkarpal Singh menempelak Speaker Dewan Rakyat Datuk Azhar Azizan Harun sebagai berat sebelah terhadap kerajaan berhubung kesahihan sesi persidangan Parlimen selama lima yang bermula hari ini.

Ramkarpal menanggapi Speaker sebagai cuba menyekat perbahasan tentang usul berkaitan dengan proklamasi dan ordinan Darurat.
Malahan sebelum Ramkarpal berhujah, MP Semporna, DS Mohd Shafie Apdal meminta penjelasan sama ada sidang khas parlimen itu selaras dengan titah perintah DYMM Agong dan Perlembagaan Persekutuan.

Soalan Shafiee pastinya berkaitan dengan Ordinan Darurat yang tiada kenyataan rasmi telah ditamatkan.
Di samping itu syarat sidang khas parlimen itu sendiri telah mengabaikan prosedur persidangan parlimen yang lazim.

Sidang khas itu tiada titah ucapan perasmian oleh DYMM Agong yang bercanggah dengan kebiasaan prosedur pembukaan parlimen.
Sebelumnya speaker telah menetapkan tiada perbahasan, manakala hanya 80 MP dibenarkan bersidang dalam setiap sesi selama lima hari itu.
Namun kemudiannya setelah menerima tekanan, syarat-syarat tersebut diubah dan membenarkan perbahasan serta penglibatan semua MP, sebagaimana lazimnya.
Shafie berhujah, “Saya minta penjelasan, pertama sama ada persidangan ini selaras dengan titah Tuanku (Yang di-Pertuan Agong) dan adakah persidangan ini selaras dengan Perlembagaan Malaysia? Adakah ini juga selaras dengan peraturan?
“Kalau bercanggah, dengan ini kita sudah melanggar persidangan yang kita bincangkan, contohnya Ordinan Darurat,” katanya.

Ketua Pemuda UMNO, di luar dewan juga membangkitkan sama ada pembatalan Ordinan Darurat yang membolehkan dewan bersidang sahih atau tidak? Perkara yang sama dibangkitkan oleh Shafie.
Sidang bertukar menjadi panas apabila Ramkarpal mempersoalkan kenapakah speaker menolak perbahasan tentang ordinan Darurat.
“Anda patut letak jawatan sebagai Speaker Dewan Rakyat. Saya nak tahu tuan Speaker, kenapa Proklamasi Darurat dan Ordinan Darurat tidak dibawa ke dalam masalah ini?
“Tuan sepaker faham betapa pentingnya ordinan-ordinan dan juga proklamasi Darurat dibawa ke dewan ini bila dewan ini bersidang sebagaimana dinyatakan dalam artikel 5103 Perlembagaan Persekutuan.
“Tuan speaker perlu faham bahawa peraturan yang dikenakan pada sidang dewan ini tidak boleh mengabaikan Perlembagaan Persekutuan.
“Tuan speaker telah pun tidak membawa ordinan dan proklamasi darurat tersebut di dalam sidang dewan ini.
“Kenapa begitu? Adakah kamu anjing kesayangan (lapdog) kerajaan? Adakah kamu anjing kesayangan kerajaan?
“Kamu telah memalukan dewan ini. Kamu tidak layak duduk di kerusi itu.”
Demikianlah antara hujah Ramkarpal, yang telah mengulangi dua kali ungkapan ‘government’s lapdog’ atau anjing kesayangan kerajaan.
Tidaklah menghairankan jika penghinaan sedemikian digunakan oleh Ramkarpal kerana pemimpin DAP memang terkenal dengan budi bahasa mereka yang rendah.
Bagi masyarakat Melayu-Islam perkataan ‘anjing’ adalah suatu penghinaan yang tidak dapat sama sekali diterima.

Ketika itulah terdapat jeritan daripada MP blok kerajaan yang meminta Ramkarpal menarik balik kata-katanya.
Walau bagaimanapun, Speaker Dewan Rakyat atau Yang di-Pertua Dewan, tidak boleh berpihak kepada mana-mana parti politik baik pada blok kerajaan mahupun blok pembangkang.
Malahan sekiranya, sebelum dilantik, beliau mempunyai jawatan dalam mana-mana parti politik, maka dia hendaklah meninggalkan atau dengan kata-kata lain menamatkan jawatannya dalam parti politik itu.
Perkara 57, Perlembagaan Persekutuan menyatakan bahawa Yang di-Pertua dan Timbalan Yang di-Pertua Dewan Rakyat atau secara lazimnya dinamakan sebagai ‘Speaker Dewan’ adalah berperanan sebagai:
- Ketua Parlimen (Istiadat) dan Jurucakap kepada Dewan.
- Ketua Pentadbiran Parlimen.
- “Presiding Officer” atau mempengerusikan mesyuarat di dalam Dewan
- Jurucakap Parlimen di dalam hubungan antarabangsa dengan Parlimen dan badan luar
- Pengerusi Jawatankuasa Dewan, Jawatankuasa Peraturan Mesyuarat, Jawatankuasa Peraturan Mesyuarat, Jawatankuasa Pemilih, Jawatankuasa Hak dan Kebebasan.
Antara prinsip penting Speaker Dewan Rakyat adalah:
- Tidak berpihak kepada mana-mana blok politik baik penyokong kerajaan mahupun blok pembangkang
- Tindakan Yang di-Pertua tidak boleh memihak
- Memastikan perintah dipatuhi di dalam Dewan dan Peraturan Mesyuarat dipatuhi
- Memastikan semua ahli Dewan diberikan peluang yang sama untuk bertanyakan soalan dan mengambil bahagian dalam perbahasan, tidak mengira parti politik
- Bagi memastikan tidak berpihak dan bersikap neutral, Yang di-Pertua Dewan apabila dipilih mesti meninggalkan jawatan parti politiknya
****
Tinggalkan Jawapan