VIDEO – MOGOK 23,000 DOKTOR ANCAM NYAWA MANGSA COVID19

Editorial

26 Julai 2021

Hari ini 26 Julai, merupakan hari yang mengancam situasi di semua hospital kerajaan, terutamanya kepada hospital yang mengendalikan urusan kritikal menangani pandemik Covid19, dan ratusan pesakit yang terjangkit dengan wabak tersebut apabila 23,000 doktor kontrak mengancam akan mengadakan mogok atau hartal.

Dengan jumlah jangkitan Covid19 yang telah memuncak kepada 17,045 kes harian semalam dan menjadikan jumlah kumulatif jangkitan 1.013 juta, kerajaan dan KKM pastinya gelabah apabila ditekan dengan desakan mogok oleh 23,000 doktor kontrak.

Berbeza dengan doktor tetap, doktor kontrak dikatakan bergaji rendah, tiada kenaikan pangkat, dan tiada kemudahan perjawatan lain sebagaimana yang diberikan kepada doktor tetap kerajaan.

Lantas, dengan tekanan kerja serta pendedahan kepada risiko jangkitan dan ancaman nyawa, mereka bersepakat melaksanakan hartal supaya KKM menunaikan tuntutan mereka yang dikemukakan dalam Memorandum Gerakan #Hartal dalam tempoh ditetapkan.

Hartal ialah tindakan mogok, atau tunjuk perasaan yang bertujuan menarik perhatian kerajaan terhadap sesuatu dasar yang ditanggapi sebagai tidak adil.

Nampaknya setelah sekian lama 23,000 doktor kontrak tersebut bersabar dan mendesak pihak kerajaan memenuhi tuntutan mereka, namun tiada jawapan tuntas yang diberikan sebagaimana yang mereka tuntutkan.

Tuntutan Hartal

Jurucakap Gerakan Hartal itu, Dr Mustapha Kamal A Aziz, berkata pihaknya telah menuntut kerajaan menawarkan pelantikan tetap kepada semua pegawai perubatan lantikan kontrak sedia ada dan memohon penjelasan terperinci kriteria pelantikan tetap.

Dr Mustapha Kamal juga mendakwa mereka mempunyai sokongan majoriti kumpulan doktor perubatan dan ini mengenai masa depan sistem kesihatan negara, bukan disebabkan wang atau publisiti.

Respons PM

Jumaat lalu, Perdana Menteri TS Muhyiddin Yassin mengumumkan kerajaan bersetuju melanjutkan perlantikan secara kontrak pegawai perubatan dan pegawai pergigian untuk tempoh maksimum empat tahun ke atas.

Tawaran tersebut diberikan kepada mereka termasuk doktor yang diterima bekerja mengikut pengajian kepakaran dalam tempoh dua tahun pertama kontrak masing-masing.

Tawaran PM ditolak

Bagaimanapun, kumpulan doktor kontrak tetap mahu meneruskan gerakan Hartal Doktor Kontrak kerana bertegas dengan tuntutan mereka, iaitu jaminan lantikan tetap bagi doktor kontrak dan baharu, hak gaji serta kebajikan sama rata dengan doktor tetap, termasuk cuti dan faedah.

Semua doktor kontrak di seluruh negara bersepakat melaksanakan hartal berkenaan jika dua tuntutan yang dikemukakan dalam Memorandum Gerakan #Hartal tidak dipenuhi kerajaan dalam tempoh ditetapkan.

Malahan, amaran telah mereka berikan untuk tidak menghadiri tugas harian di hospital bermula 26 Julai, sekiranya tuntutan mereka gagal dipenuhi oleh pihak kerajaan.

Pelbagai amaran dan persediaan dibuat yang melibatkan pihak PDRM ke atas kemungkinan hartal atau mogok dan tunjuk perasan kumpulan 23,000 doktor kontrak berkenaan.

Rayuan Ketua Pengarah Kesihatan

Ketua Pengarah Kesihatan TS Dr Noor Hisham Abdullah merayu kepada semua 23,000 doktor kontrak agar tidak meneruskan tindakan hartal mereka itu.

Dr Noor Hisham meminta supaya mereka tidak mengabaikan pesakit dengan melakukan mogok yang boleh menjejaskan ratusan nyawa serta kerjaya mereka sendiri.

Beliau mengingatkan semua doktor kontrak itu mengenai sumpah yang dilafazkan ketika mereka memulakan kerjaya, iaitu ‘primum non nocere’, bererti ‘pertama, jangan membahayakan atau berlaku tidak adil kepada pesakit’.

Pihak KKM hanya mampu memberikan amaran bahawa tindakan tatatertib akan diambil selaras Peraturan-Peraturan Pegawai Awam (Kelakuan dan Tatatertib 1993) (PU(A) 395/1993).

Doktor kontrak juga tidak boleh terbabit dalam perhimpunan haram, sama ada di luar waktu kerja, menggunakan waktu kerja dengan meninggalkan pejabat untuk menyertai himpunan.

Pemantauan PDRM

Keadaan terdesak bagi pihak kerajaan juga terlihat apabila PDRM telah dikerah untuk memantau hartal yang dijangkakan berlaku di semua hospital seluruh negara.

Namun tiada kenyataan daripada pihak PDRM untuk menyekat atau menentang hartal tersebut kecuali memastikan sekiranya hartal diadakan pihak tunjuk perasaan hendaklah mematuhi SOP Pelan Pemulihan Negara (PPN) yang sedang berkuat kuasa.

Kerajaan Gagal

Bertindan dengan Sidang Khas Parlimen, yang mendapat pelbagai kritikan dan kecaman daripada ahli politik terutamanya daripada blok pembangkang, hartal doktor kontrak pastinya membangkitkan keadaan panik di seluruh negara.

Apa yang rakyat lihat adalah kegagalan kerajaan PN menangani masalah negara, baik dari aspek kestabilan politik, perkhidmatan awam di hospital serta masalah sosio-ekonomi yang amat parah ketika ini.

*****

Advertisement

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out /  Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out /  Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out /  Tukar )

Connecting to %s

Website Built with WordPress.com.

Atas ↑

%d bloggers like this: