Editorial
22 Julai
Semalam MP Muar, YB Syed Saddiq Syed Abdul Rahman, telah merakamkan kekecewaannya terhadap kegenjotan demokrasi di Malaysia, apabila dia diheret ke mahkamah kerana menolak desakan untuk menyertai PN.
Situasi yang sama juga pernah dialami oleh DS Najib Tun Razak atas konspirasi terhadapnya kerana gagal menunaikan kehendak pemimpin tertentu yang cuba menjadi ‘tuhan’ dalam mengatur impian politik peribadinya.
Sebagaimana falsafah ‘carrot and stick,’ itulah yang dialami oleh DS Najib dan kini tertimpa pula pada Syed Saddiq.
‘Carrot and stick’ diterjemahkan sebagai tawaran dan imbuhan jika mengikut kehendak pihak yang mengaku ‘berkuasa’, tetapi akan dihentam sekiranya menentang kehendak pihak ‘berkuasa’ itu.
Saddiq mendakwa dia diugut setiap kali apabila ada undian di parlimen, atau dengan kata-kata lain, dia ditawarkan carrot sekiranya dia mengundi pihak ‘berkuasa’ itu dan jika dia menolak maka dia akan menerima padahnya.
Kata Saddiq, “Setiap kali ada undian penting di parlimen, ugutan akan datang. Pada bulan Julai, Disember, Januari dan kini seminggu sebelum parlimen bersidang.”

Adakah tuduhan pecah amanah ke atas Saddiq lebih merupakan agenda dan konspirasi ‘scheme of things’ (merancang dan menyusun hidup seseorang) sebagaimana tuduhan-tuduhan terpilih di mahkamah ketika Tommy Thomas berkuasa sebagai ‘Peguam Negara’?
Mana-mana musuh PH ketika itu, disabitkan dengan berpuluh kesalahan ‘rasuah’ manakala kesalahan orang-orang PH digugurkan begitu sahaja.
Di sebalik itu semua, ada juga pemimpin yang keluar daripada UMNO, kerana lebih rela menerima ‘carrot’ daripada dihentam atau diheret ke mahkamah.

Saddiq mendakwa dia ditawarkan untuk menyertai PN, tetapi dia menolak.
Penolakan itulah yang diterjemahkan oleh Saddiq sebagai tindakan pihak ‘berkuasa’ mengheretnya ke mahkamah dan bukanlah sangat isu pecah amanah RM1.2 juta.

Ahli Majlis Tertinggi (MT) UMNO, Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi, pernah mengeluarkan kenyataan bahawa Dr Mahathir menyalahkan Najib ke atas kegagalan politik anaknya, Datuk Seri Mukhriz, yang juga merupakan Presiden Pejuang.
“Saya amat yakin Dr Mahathir akan melakukan apa saja untuk menjatuhkan Najib daripada jawatan Perdana Menteri. Beliau terlalu obses menjadikan Mukhriz sebagai Perdana Menteri.
“Itu sebabnya beliau sanggup keluar masuk UMNO, menjilat DAP sehingga layak digelar sebagai ‘manusia tanpa mustahil.’
Lantas, Saddiq, bersedialah menghadapi semua ini.
Kamu tahu akibatnya sebagaimana kamu telah katakan “Saya lebih rela masuk mahkamah daripada masuk PN.”
Berhati-hatilah YB Saddiq, jangan sampai ‘masuk penjara’.
******
Tinggalkan Jawapan