Editorial
22 Julai 2021
TS Muhyiddin Yassin nampaknya paranoid dengan sidang parlimen kerana bimbang dirinya dinyahkan daripada kerusi Perdana Menteri melalui usul ‘Undi tidak percaya’.
Dengan rasional itu, dia dilihat cuba menghalang sebarang perbahasan di parlimen sebagaimana biasa, malahan menamakan sidang 26 Julai ini sebagai ‘Sidang Khas Parlimen’.
Ketua Pembangkang, yang juga merupakan Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan, tindakan kerajaan memendekkan sidang Parlimen dilihat sebagai satu penipuan selain tidak mempunyai sebarang petunjuk akan berlaku sesi perbahasan secara terbuka.

Anwar tidak yakin bahawa sidang khas parlimen itu akan berjalan dengan lancar, sebaliknya ia akan menjadi panas apabila blok pembangkang menentang helah kerajaan PN, yang dilihat cuba mencabul hak demokrasi.
Sidang Parlimen kebiasaannya adalah untuk memastikan sesebuah kerajaan itu ditadbir mengikut peraturan supaya tiada salah guna kuasa termasuk mengenal pasti adanya proses semak dan imbang.
Sebaliknya tiada petunjuk bahawa akan ada perbahasan yang terbuka pada 26 Julai ini.
Anwar memberi amaran keras kepada Muhyiddin agar tidak mempergunakan kuasa sesuka hati tanpa berpandukan kepada prinsip asas demkorasi berparlimen.
Tegasnya lagi, sidang Parlimen merupakan platform bagi menyuarakan aspirasi rakyat selain menentukan keabsahan sesebuah pentadbiran kerajaan.
Selain Anwar, ramai MP daripada blok pembangkang menterjemahkan sidang khas parlimen 26 Julai ini sebagai satu pencabulan terhadap demokrasi.
Perkara utama yang menjadi persoalan panas ialah, ia bukanlah sidang parlimen, sebaliknya dinamakan ‘Sidang Khas Parlimen’, yang seakan-akan merupakan sesi ceramah politik menteri-menteri PN dan kemudiannya diikuti sesi soal-jawab.
Masakan ia merupakan sidang parlimen apabila jumlah MP yang hadir dihadkan kepada 80 orang sahaja bagi saru sesi, dengan 44 MP kerajaan dan 36 MP pembangkang, sedang jumlah MP adalah 220 (2 mininggal dunia).
Nampak sangat Muhyiddin cuba mengetepikan suara majoriti, dengan melebihkan kehadiran kerusi MP kerajaan.
Secara dasarnya ia tidak membenarkan perbahasan sebagaimana sidang parlimen yang biasa diadakan.

Majlis Presiden PH pula menuntut tiga perubahan pada sidang khas Parlimen, termasuk membenarkan perbahasan penuh, tidak mengehadkan jumlah Ahli Parlimen serta memilih antara titah Yang-Dipertuan Agong dan tuntutan Kabinet.
Tegas Anwar, sebagai wakil Majlis Presiden PH “Yang di-Pertua Dewan Rakyat perlu putuskan sama ada beliau menjunjung penuh titah pandangan Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong dan Raja-Raja Pemerintah, atau sekadar mengikut arahan Kabinet.
“Jika Yang di-Pertua Dewan Rakyat merasakan beliau tidak mampu melaksana tiga perubahan ini, beliau dipelawa untuk meletakkan jawatan.”
“Kami hanya mahu menumpukan perhatian sidang khas ini kepada perkara-perkara penting pandemik COVID-19 dan kesusahan rakyat dalam krisis ekonomi masa kini.”

Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan melabelkan Sidang Khas Parlimen itu sebagai ‘kepalsuan politik’ apabila tiada sebarang usul akan dibentang sekali gus sukar untuk menentukan kerajaan Perikatan Nasional (PN) memperoleh majoriti atau sebaliknya.
Lebih daripada itu, langkah menghalang ahli Parlimen mengemukakan usul akan menyebabkan sebarang pengundian tidak akan dilakukan termasuk terhadap Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Jika tiada sebarang usul dibentang kali ini, maka sukar untuk melihat kerajaan pada hari ini memiliki majoriti atau tidak.
Pada pandangan Ahmad Maslan, jika ada usul undi percaya atau tidak kepada Muhyiddin, perkara itu juga tidak akan ada.
Kata Ahmad Maslan, “Justeru, saya melihat semacam wujud kepalsuan politik dari segi kedudukan terhadap Muhyiddin Yassin kerana tiada pengundian.”
Semua MP sudah divaksin, jadi apa salahnya dibenarkan semuanya bersidang bersama. Malah pelbagai langkah keselamatan termasuk cermin penghadang sudah dilakukan selain proses nyah cemar yang kerap dilakukan.
Sekiranya beratus-ratus yang belum divaksin pun boleh berkumpul di ribuan lokasi Pusat Pemberian Vaksin (PPV) seluruh negara, mengapa semua ahli Parlimen yang sudah lengkap dos vaksin tidak boleh berkumpul?
Pengerusi Pejuang, Tun Dr Mahathir, pada mula bercadang untuk memulau ‘Sidang Khas Parlimen’ tersebut, namun kemudiannya telah mengubah pendirian untuk turut serta.
Bagi Mahathir apa yang akan berlangsung pada 26 Julai itu bukanlah sidang parlimen kerana sidang parlimen yang sah hendaklah dimulakan dengan titah ucapan DYMM Agong.
Sebaliknya ia sekadar sesi menjelaskan kepada semua MP tentang kegiatan kerajaan PN.
Bagi Mahathir kegiatan kerajaan PN banyak yang bercanggah dengan undang-undang.
Misalnya mengapakah baru sekarang kerajaan PN mahu mengesahkan proklamasi Darurat sedangkan ia telahpun dilaksanakan.
Sepatutnya ia dibentangkan terlebih dahulu di parlimen, dipersetujui oleh majoriti MP dan baharulah ia dilaksanakan.
Anehnya PN melaksanakan dahulu dan mendapatkan pengesahan MP kemudian.
Rakyat melihat inilah sebahagian daripada pencabulan demokrasi di Malaysia.
****
Tinggalkan Jawapan