Editorial
22 Julai 2021
Semalam, rakyat seluruh negara yang selama ini menganggap balai polis sebagai satu institusi mulia, tempat mereka mengadu hal berkaitan perundangan dan keadilan, terkejut dan tersentak apabila ada balai polis yang bertukar menjadi pusat karoake.

Bukan itu sahaja, media menggambarkannya sebagai pusat ‘pesta liar’. Apa sudah jadi?
Rakyat sedang menderita kerana dapur kekeringan bahan masak dan bahan makanan, tetapi balai polis bertukar menjadi pusat ‘pesta liar’.
Sebagaimana dilaporkan oleh media, pesta liar itu melibatkan Ketua Balai (OCS) bersama-sama dengan tiga anggotanya serta empat wanita awam.
Ketika diserkup, mereka sedang menari sambil berhibur dengan minuman keras dan air ketum dalam sebuah bilik gelap dengan lampu berputar, sebagaimana bilik karaoke di tingkat dua balai berkenaan.
Sudahlah menogok minuman keras, mereka juga minum air ketum, yang menjadi kesalahan besar jika orang awam yang meminum atau memiliknya.

Satu persoalan besar ialah, mengapakah pihak Bukit Aman yang menyerbu dan menahan mereka? Mengapakah tidak anggota IPD sahaja?
Oh nampaknya sekiranya ada pihak anggota polis yang melanggar undang-undang maka anggota polis lain tidak boleh masuk campur, kecuali anggota ‘elit’ daripada Bukit Aman. Begitukah?
Walaubagaimanapun kami ucapkan tahniah kepada anggota balai yang tidak bersekongkol, dan telah berani melaporkan kejadian kepada Bukit Aman.
Media juga melaporkan, hasil pemeriksaan, polis menahan OCS berpangkat Sub Inspektor, dua Koperal dan seorang Koperal Sokongan serta empat wanita orang awam berusia antara 21 hingga 37 tahun.
Pihak JIPS Bukit Aman pula telah mengesahkan kejadian tersebut dan tindakan akan diambil atas kesalahan melanggar prosedur standar (SOP) Covid19.
Kata pegawai JIPS, “Tindakan pegawai, anggota dan orang awam terbabit yang berhibur di sebuah bilik di balai berkenaan dengan berkaraoke adalah menyalahi prosedur operasi standard (SOP) COVID19.”
Kesalahan tidak mematuhi SOP PKP sahajakah?
Bagaimana dengan memilik air ketum? Bagaimana kesalahan menjadikan Balai Polis Pusat Karoake? Bagaimana dengan kesalahan menjatuhkan maruah PDRM? Bagaimana dengan kesalahan mencairkan kepercayaan orang awam terhadap pegawai pelaksana undang-undang?
Rakyat percaya Bukit Aman tidak akan mengamalkan ‘dwi-standard’ terhadap anggota di bawahnya.
******
Tinggalkan Jawapan