Editorial
21 Julai 2021
Kira-kira 23,000 doktor kontrak memberi amaran kepada kerajaan PN bahawa mereka akan mengadakan hartal atau mogok di seluruh negara pada 26 Julai ini.
Hartal ialah tindakan mogok, atau tunjuk perasaan yang bertujuan menarik perhatian kerajaan terhadap sesuatu dasar yang tidak adil.

Semua doktor kontrak di seluruh negara bersepakat melaksanakan hartal berkenaan jika dua tuntutan yang dikemukakan dalam Memorandum Gerakan #Hartal tidak diselesaikan kerajaan dalam tempoh ditetapkan.
Tindakan menggerakkan hartal dan meninggalkan kerja-kerja di hospital kerajaan yang dilihat sebagai tindakan memberontak terhadap kerajaan sekiranya kerajaan tidak memenuhi tuntutan berkenaan dan tidak ada hitam putih mengenainya dalam tempoh tiga minggu ini.
Jurucakap gerakan hartal doktor kontrak, Dr Mustapha Kamal A Aziz, berkata pihaknya menuntut kerajaan menawarkan pelantikan tetap kepada semua pegawai perubatan lantikan kontrak sedia ada dan memohon penjelasan terperinci kriteria pelantikan tetap.
Sejak lima tahun dahulu pada 2016, hanya 786 saja lepasan graduat medikal yang dilantik secara tetap, manakala selebihnya berkhidmat secara kontrak.

Jika mengikut unjuran diberikan dalam maklum balas Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Adham Baba, hanya 3.4 peratus diambil secara tetap dan pelantikan akhir untuk jawatan tetap adalah pada tahun 2017.
Lantas adakah 96.6 % lagi akan kekal sebagai doktor kontrak yang tidak akan mendapat apa-apa kemudahan perkhidmatan sebagaimana diberikan kepada pegawai tetap kerajaan?
Hakikatnya, lihatlah apa yang berlaku sekarang ketika pandemik yang tiada akhirnya ini menyerang negara, mereka menggadai nyawa berada di barisan hadapan untuk menyelamatkan mangsa Covid.
Dr Adham telah memberi respons dengan memaklumkan bahawa pihaknya sedang menyediakan kertas Kabinet berhubung isu doktor kontrak, antaranya memperincikan supaya skim perkhidmatan kontrak dalam Kementerian Kesihatan (KKM) lebih bermanfaat.
Beliau berkata, memorandum berkenaan sudah dihantar ke beberapa pihak berkaitan iaitu Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (SPA), Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) dan Ketua Setiausaha KKM, Ketua Pengarah KKM dan Majlis Perubatan Malaysia (MMC).
Nampaknya Adham tidak memberikan satu pendirian yang tuntas terhadap masalah doktor kontrak tetapi menyerahkan kepada birokrasi urus tadbir kerajaan yang berleret-leret.
Berbeza dengan respons pemimpin pegawai kesihatan KMM yang lain, apabila terdapat ugutan untuk mengambil tindakan menamatkan kontrak atau mereka yang menyertai hartal akan dikenakan tindakan disiplin.
Dr Mustapha yang mewakili kumpulan doktor kontrak menjelaskan tindakan mereka selanjutnya selepas hartal 26 Julai ini, bergantung kepada jawapan balas kerajaan.
Sekiranya kerajaan tidak menjawab tuntutan mereka dengan kadar segera, mereka akan meneruskan rancangan mogok tersebut sehingga tuntutan dipenuhi.
Dr Kamal mendakwa mereka mempunyai sokongan majoriti kumpulan doktor perubatan dan ini mengenai masa depan sistem kesihatan negara, bukan disebabkan wang atau publisiti.
Bayangkan beberapa tahun akan datang, jika doktor tidak mencukupi, pesakit yang memerlukan rawatan segera terpaksa menunggu lama, selain kemungkinan doktor kontrak akan meninggalkan sektor awam untuk bekerja dengan swasta.

Timbalan Presiden UMNO, DS Mohamad Hasan, berkata masalah doktor kontrak itu perlu ditangani sebaik mungkin untuk kepentingan mereka dan keperluan perkhidmatan kesihatan negara.
Isu doktor kontrak membabitkan seramai lebih 23,000 pegawai perubatan yang tidak diserapkan dalam perkhidmatan perubatan sedangkan mereka sudah menamatkan pengajian dan melakukan ‘housemanship’ sejak 2016.
Tambah Mohamad Hasan, pelanjutan kontrak mereka sehingga hujung tahun 2022 bukan jalan penyelesaian yang selari dengan kepentingan jangka panjang sektor perubatan negara.
Pandemik COVID-19 yang sedang melanda rakyat, membuktikan sistem perubatan negara sangat memerlukan kepada peningkatan dan pembaharuan radikal dan negara memerlukan lebih banyak hospital, lebih ramai pakar, pegawai kesihatan dan jururawat terlatih serta peningkatan akses secara menyeluruh kepada kemudahan kesihatan berkualiti walau di mana juga tanpa mengira kemampuan.
Mohamad juga menegaskan, tanpa perlu berkompromi dengan mutu dan piawaian yang ditetapkan, pengwujudan jawatan tetap yang lebih banyak untuk pegawai perubatan dan pada kadar segera harus menjadi keutamaan nasional.
******
Tinggalkan Jawapan