VIDEO – GERUN APABILA KONTENA DIPERLUKAN UNTUK MAYAT MANGSA COVID19

Editorial

18 Julai 2021

Apabila pihak Hospital Tengku Ampuan Rahimah Kelang (HTAR) memerlukan kontena untuk menempatkan mayat yang mati akibat serangan Covid19, pastinya ia memberi gambaran yang amat menggerunkan.

Semalam 17 Julai, di tanah perkuburan Seksyen 21 Shah Alam, enam jenazah tiba dibawa oleh van mayat dari HTAR, pada jam 7 malam, seakan-akan menghantar jenazah akibat kematian perang.

Setelah van meninggalkan tanah perkuburan dan kembali ke HTAR, enam van yang sama datang sekali lagi membawa enam lagi kumpulan jenazah yang lain, pada kira-kira jam 9.30 malam.

Hari ini, sebagaimana dilaporkan oleh akhbar arus perdana, terdapat 25 jenazah akan dibawa ke tanah perkuburan yang sama akibat terkorban oleh serangan Covid19.

Kadar kematian akibat Covid-19 yang tinggi di negara akhir-akhir ini menyebabkan Institut Perubatan Forensik Negara (IPFN) berdepan situasi getir apabila mengalami masalah tunggakan pengurusan mayat akibat wabak itu dan kes kematian bukan Covid-19.

Berbeza dengan pengurusan mayat biasa, pengurusan kes kematian akibat Covid-19 perlu dilaksanakan dengan teliti oleh pasukan petugas barisan hadapan dan disegerakan untuk dikebumikan bagi yang beragama Islam atau dibakar bagi bukan Islam.

Kebanyakan hospital utama yang mengendalikan mangsa Covid19 sedang mengalami kesempitan ruang simpanan mayat mangsa Covid19 dan terpaksa menggunakan kontena yang boleh memuatkan antara 12 hingga 20 mayat bagi kontena bersaiz enam meter sementara menunggu giliran untuk diuruskan.

Hari ini (18 Julai) akan ada lebih sepuluh jenazah lagi yang akan dikebumikan di tanah perkuburan yang sama sebagaimana dimaklumkan oleh petugas kubur yang menyediakan liang lahad.

Tidak pernahlah berlaku suasana sedemikian sedih dan menggerunkan apabila banyak jenazah dihantar ke tanah perkuburan tersebut, dan banyak lagi mayat yang sedang diuruskan di hospital.

Pada Mei lalu, Ketua Pengarah Kesihatan, Dr Noor Hisham mengesahkan bahawa beberapa buah kontena telah ditempatkan di beberapa buah hospital bagi tujuan menyimpan mayat-mayat yang meninggal akibat Covid19.

Kontena terpaksa digunakan kerana angka korban akibat wabak Covid19 yang tidak dapat ditampung oleh rumah mayat hospital.

Selain HTAR, tiga lagi hospital yang turut mempunyai kontena jenazah, dengan setiap satunya mampu menampung 20 mayat ialah Hospital Serdang (Selangor), Hospital Sultanah Aminah (Johor Bharu) dan Hospital Queen Elizabeth I (Sabah).

Rumah simpanan mayat di hospital-hospital KKM kini telah penuh dan semakin sukar untuk menampung jumlah mayat susulan peningkatan kematian akibat COVID-19.

Justeru, pihak perkhidmatan perubatan forensik menyediakan kontena khas khusus, sama ada untuk mangsa beragama Islam dan juga bukan Islam.

Kontena bersuhu rendah bagi menempatkan individu yang meninggal dunia disebabkan COVID-19 pada awalnya digunakan di Hospital Sungai Buloh, Selangor dan disusuli Hospital Selayang.

Angka kematian ekoran penularan jangkitan COVID-19 sejak kebelakangan ini dilihat terus meruncing, dengan rekod tertinggi dicatatkan hari ini iaitu 138 kes sehari.

Statistik dalam kenyataan KKM turut mengundang kebimbangan pelbagai pihak apabila kes ‘brought in dead’ (BID) atau meninggal ketika ketibaaan terus bertambah.

Menteri Undang-Undang DS Takiyuddin Hassan pernah mengeluarkan kata-kata ‘jaminan’ bahawa Darurat telah membawa kejayaan sebagai pendekatan mengekang Covid19.

PM TS Muhyiddin Yassin, pula pesimistik bahawa situasi di Malaysia akan menjadi tidak terurus jika jumlah kes jangkitan meningkat kepada 13,000 kes sehari.

Hakikatnya, angka tersebut telah pun menjadi kenyataan pada 15 Julai (3 hari lalu) apabila rekod menunjukkan jumlah kes jangkitan harian adalah 15,215 dengan 110 kes kematian.

Malahan WHO pernah mengeluarkan kenyataan yang mengejutkan daripada kajian pandemik sebuah pertubuhan yang menjangkakan jumlah kematian akibat jangkitan Covid19 di Malaysia akan melonjak sehingga 26,000 menjelang September.

Sampai bilakah semua ini akan berakhir dan kembali normal?

******

Advertisement

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out /  Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out /  Tukar )

Connecting to %s

Website Built with WordPress.com.

Atas ↑

%d bloggers like this: