Editorial
17 Julai 2021
Sudah hampir satu setengah tahun PN berkuasa dan perhatian banyak ditumpukan kepada isu Covid19 serta kegusaran PM terhadap kemelut peralihan kuasa.
PM TS Muhyiddin Yassin sepatutnya dari awal lagi menumpukan kepada isu pengkhinatan kepada sistem perundangan negara yang telah dirosakkan oleh pentadbiran PH sebagaimana didedahkan oleh bekas Peguam Negara Tan Sri Tommy Thomas.
Namun, ia bukanlah sesuatu yang pelik dan janggal kerana Muhyiddin juga adalah pemimpin PH, semasa Tommy berperanan sebagai Peguam Negara.
Buku TS Tommy Thomas “My Story: Justice in the Wilderness” yang telah diterbitkan pada hujung Januari 2021, adalah suatu pendedahan penulis terhadap maruah sistem perundangan negara yang telah dikhianati.

Walaupun Tommy seakan-akan mahu menjadi wira melalui kritikannya terhadap sistem kehakiman negara dan juga kepimpinan negara, namun pembaca pasti dapat menghidu paradigma serta pola pemikiran yang didokong oleh DAP.
Juga tidak menghairankan kerana Tommy adalah peguambela Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng dalam kes rasuah pembelian banglo.
Ia bertambah tidak menghairankan apabila kes Lim Guan Eng itu digugurkan setelah Tommy diangkat sebagai Peguam Negara. SPRM turut tersentak dengan tindakan Peguam Negara itu.

Ia bukanlah sesuatu yang pelik kerana Tommy sendiri adalah lantikan politik, yang direstui oleh PM Tun Mahathir apabila Mahathir dan parti ciputnya sendiri menggelupur cuba mendapat tempat dalam gabungan politik yang didominasi oleh DAP.
Dalam bukunya, Tommy juga cuba mengheret AlMarhum Tun Abdul Razak sebagai pencetus 13 Mei, atas dakwaannya AlMarhum tidak mempunyai masa kerana bergelut dengan leukimia yang menyerangnya.
Sepatutnya Tommy harus melihat siapakah yang terkinja-kinja mencari ruang untuk bertapak sebagai PM ketika itu sehingga Tunku Abdul Rahman difitnah dan dicerca dan Tun Hussein Onn digesa mengundur diri.
Dalam bukunya itu Tommy juga telah menghina penjawat awam, sebagai pemalas dan bodoh kerana selesa dengan gaji tetap dan menunggu ganjaran persaraan yang lewah.
Penghinaan Tommy adalah selari dan seia-sekata dengan apa yang pernah dihujahkan oleh pemimpin DAP yang sekaligus mahu jumlah penjawat awam dibuang separuh daripada jumlah sedia ada.
Dia mencatatkan, “They are civil servants earning fixed incomes and awaiting pension upon retirement. There was no incentive to distinguish themselves.”

Namun apa yang dilihat oleh rakyat ialah pejawat awam itu majoriti besarnya adalah kaum Melayu yang bekerja keras mendukung aspirasi negara.
Tommy juga mendedahkan campur tangan politik dalam sistem kehakiman, tetapi tidak pula mempersoalkan pelantikannya sebagai pelantikan politik.
Dengan itulah, wujudnya kes-kes terpilih yang diterjemahkan oleh rakyat yang peka dan sedar, sebagai penganiayaan dan kezaliman terhadap tertuduh sedangkan kes orang DAP dan konco-konconya digugurkan begitu sahaja.

Secara kasarnya, ia adalah satu perakuan terhadap kegenjotan sistem perundangan dan kehakiman negara yang dimainkan oleh kerajaan PH pimpinan Mahathir-DAP yang ramai melabelkan era itu sebagai era ‘undang-undang rimba’.
Dengan pendedahan Tommy itu, adakah dia cuba menyelamatkan dirinya setelah PH tumbang kerana apa yang dunia perhatikan banyak ‘pengkhianatan’ terhadap prinsip pengasingan kuasa badan eksekutif, perundangan dan kehakiman telah berlaku.
Walau apa jua pendedahan Tommy Thomas, dia juga sengaja diperlihatkan sebagai mahu menyerang Mahathir, agar rakyat tidak nampak bahawa Mahathir berada di belakangnya; satu strategi psywar dan propaganda cilik.
Pastinya Tommy mahu menyatakan pada dunia bahawa dia terperangkap, sedangkan apa yang ada dalam minda rakyat ialah Tommylah antara agen yang bertanggungjawab mengkhianati prinsip demokrasi itu apabila dia berperanan sebagai Peguam Negara.
Malahan sejak dari mula lagi, pelantikan Tommy Thomas sebagai Peguam Negara telah dipersoalkan kerana dia bukan sahaja peguambela Lim Guan Eng, tetapi dia juga adalah peguambela Ketua Parti Komunis Malaya, Chin Peng dalam kes rayuannya untuk kembali ke Malaysia, sedangkan dia tidak pernah mahu mengaku dia rakyat Malaysia.
Tiada pendekatan yang paling efektif, efisien dan telus kecuali dengan membawa segala caci-cerca Tommy Thomas terhadap pengkhianatan prinsip pengasingan kuasa demokrasi itu kepada Suruhanjaya Siasatan DiRaja atau RCI (Royal Commission of Inquiry).
Isu pendedahkan elemen kerahsiaan negara juga menjadi satu persoalan kerana Tommy seakan-akan bertindak sebagai wartawan ‘insider’ dalam sistem kehakiman negara sedangkan dia terikat dengan etika dan ‘decorum’ atau sumpah jawatan dalam institusi kehakiman itu sendiri.
Ada pihak pengamal undang-undang yang menterjemahkan tulisan Tommy Thomas itu sebagai fitnah yang perlu segera disiasat dan diambil tindakan oleh pihak berkuasa.
Malangnya sehingga kini, setelah enam bulan buku tersebut diterbitkan, dan dengan 150 laporan polis dibuat, masih belum ada apa-apa tindakan jelas daripada pihak berkuasa.
Buku Tommy itu juga boleh memberi dampak negatif apabila masyarakat antarabangsa akan hilang rasa hormat terhadap sistem penghakiman serta perundangan negara, manakala ia memberi gambaran salah terhadap pelabur asing.
Nampaknya dakwaan yang mengatakan bahawa pelantikan Tommy Thomas sebagai pilihan DAP dan dengan itu ia adalah suatu kesilapan yang besar, adalah benar.
Tiada apa yang jelas untuk mendakwa bahawa buku Tommy itu telah menyerang DAP, sebaliknya ia mendewa-dewakan perjuangan komunis, dan 13 Mei sebagai agenda kerajaan tanpa mahu melihat peranan Lim Kit Siang dan DAP serta cauvinisme Cina terhadap peristiwa hitam itu.
Tommy mencatatkan, “Why did Malay youths brandishing parangs.. turn on their fellow citizens, the Chinese..on..May 13th, 1969? The evidence points to a coup by Tun Razak”
“(H)e was anxious to take over”.
“An open challenge by Tun Razak would have failed. The matter was compounded by a critical fact that Malaysians were not aware of. Tun Razak had been told he was suffering from leukaemia, and was given five to six years to live, a medical prognosis that turned out to be accurate”
“(W)ho benefitted from the riots? – it was Tun Razak”
Tommy tanpa berselindung mendakwa bahawa Tun Razak mendalangi peristiwa berdarah 13 Mei, insiden paling hitam dalam sejarah negara Malaysia.
Adakah dakwaan Tommy terhadap Tun Razak ada kaitan dengan dakwaan ke atas anaknya?
Sekiranya DS Najib Tun Razak dihormati kerana bapanya adalah pemimpin kesayangan rakyat, maka tidakkah karektor Tun Razak hendaklah dinajiskan dahulu bagi memudahkan cemuhan dan hinaan terhadap DS Najib?
Kemudian dia mula menyentuh tentang kes pembunuhan Altantunya.
Ini adalah strategi psywar, dan siapakah di belakang ini semua?
Apakah ada permainan tertentu yang menggerakkan Tommy untuk menulis sedemikian?
Itu pun belum lagi menyentuh apa yang ditulis dan cuba disampaikan berkenaan pembunuhan Altantuya yang terbukti Datuk Seri Najib Razak tidak terlibat.
Dalam konteks serangan terhadap UMNO, Tommy bukan sekadar mengkritik individu tetapi mencemuh seluruh institusi UMNO itu sendiri berkali-kali dalam bukunya.
Adakah dia juga mewakili pemimpin yang amat membenci UMNO, dan siapakah pemimpin yang sangat membenci UMNO itu sehingga ke hari ini?
Keseluruhannya Tommy dalam bukunya telah dilihat dengan terang lagi bersuluh, membangkitkan beberapa isu yang perlu disiasat melalui RCI.
Pertama selari dengan dakwaan Peguam Negara, Tan Sri Idrus Harun bahawa Tommy Thomas telah membawa paradigma yang dangkal kerana pengalaman yang singkat dan dengan itu, tidak memahami institusi perkhidmatan awam.
Lantas dia telah memberikan gambaran yang salah serta penghinaan terhadap jentera kerajaan yang dampaknya membawa reputasi buruk kepada dunia luar.
Keduanya terdapat pendedahan terhadap campur tangan bekas PM Tun Mahathir dalam proses pelantikan pucuk tertinggi badan kehakiman negara dan dengan itu Mahathir telah mengetepikan peranan Suruhanjaya Perlantikan Kehakiman (JAC).
Adakah terdapat muslihat dan kepentingan politik yang dikaitkan dengan kes-kes terpilih semasa Tommy memegang jawatan Peguam Negara, yang kini kes-kes tersebut masih berlanjutan di mahkamah?
Ketiganya, Tommy telah dengan terangnya melanggar Seksyen 26 Akta Keterangan 1950 dan dengan itu terdapat bukti bahawa dia telah melanggar Akta Rahsia Rasmi (OSA) dan selaku penasihat utama kerajaan, beliau terikat dengan kerahsiaan di bawah Artikel 145.
Keempat, daripada tona dan pola wacana penulisan, pemikiran Tommy dalam buku itu adalah manifestasi daripada ideologi DAP, maka motif memoir tersebut banyak menyerapkan ‘world view’ atau ‘welstanchaung’ yang menyokong komunisme, melihat 13 Mei sebagai satu peristiwa berdarah terancang kerajaan ketika itu, serta menolak pandangan dan analisis arus perdana yang telah diiktiraf oleh pakar sejarah.
Kelima, sebagai manusia yang memperakui bahawa dia adalah rakyat Malaysia, sebaliknya tidak tahu bertutur Bahasa Melayu, Tommy dengan jelas mendokong DNA DAP dan Dong Zong, maka dia cuba menegakkan hak yang menentang Perlembagaan Malaysia yang mengangkat Bahasa Melayu sebagai Bahasa Rasmi Persekutuan dan dengan itu juga menolak sistem dan kurikulum pendidikan negara.
Selari dengan itu dia menterjemahkan bahawa penjawat awam dalam badan kehakiman negara yang mengangkat kedaulatan Bahasa Melayu yang terdiri daripada majoritinya masyarakat Melayu, sebagai ‘dungu’.
Dia telah dikecam teruk oleh Persatuan Pegawai-pegawai Perkhidmatan Kehakiman dan Perundangan (JALSOA) kerana penghinaan tersebut.
Tidak hairanlah dia turut menghina keputusan Hakim Mahkamah Koroner mengenai pembunuhan Adib (Muhammad Adib Mohd Kassim).
Padanya keputusan itu adalah “absurd” sedangkan kematian Adib adalah akibat pembunuhan, manakala pembunuh dibiarkan bebas kerana paradigma etnosentrisme Tommy Thomas.
Keenam, melalui catatannya bahawa DYMM SPBYD Agong telah memperkenan untuk melantik DS Dr Wan Azizah sebagai PM pada ketika Mahathir meletakkan jawatan, tetapi sebaliknya disanggah oleh Mahathir, telah membawa satu persepsi yang negatif terhadap DYMM Agong. Ia seakan-akan menuduh baginda cuba berpolitik.
“Ketujuh, tindakan Tommy selaku Peguam Negara mengetepikan tuduhan ke atas 12 orang aktivis atau penyokong LTTE adalah sesuatu yang telah mencemarkan kedaulatan undang-undang. Tindakan tersebut lagi sekali mengangkat pola paradigma Tommy yang condong kepada DAP serta etnosentrisme yang amat jahat serta mengancam keselamatan negara.

Hakikatnya TS Muhyiddin Yassin selaku Menteri KDN ketika itu, telah mengesahkan bahawa PDRM mempunyai bukti kukuh penglibatan 12 orang tersebut dalam kegiatan menyokong LTTE.
Pemuda UMNO, melalui ketuanya, Datok Dr Asyraf Wajdi telah mengemukakan 7 alasan kukuh untuk mengheret isu Tommy Thomas kepada RCI.
1. Penyalahgunaan Kuasa Dalam Isu Perlantikan Hakim
2. Kebebasan Badan Kehakiman
3. Campur Tangan Badan Eksekutif Melampau Dalam Badan Pengadilan
4. Pendakwaan Terpilih dan Bersifat Politik
5. Perlanggaran Sumpah Kerahsiaan
6. Perlanggaran Etika Untuk Melobi Jawatan Peguam Negara
7. Penghinaan Kepada Institusi Perundangan Negara
Bagi Pemuda UMNO, penubuhan RCI wajar dilakukan atas tujuh asas utama tersebut termasuk penyalahgunaan kuasa dalam isu pelantikan hakim dan posisi penting dalam PDRM sebagaimana turut didedahkan oleh bekas KPN TS Hamid Bador.
Ia turut melibatkan pengkhianatan kepada kebebasan badan kehakiman dan institusi yang memelihara keselamatan negara di samping campur tangan badan eksekutif dan politik melampau dalam badan pengadilan serta PDRM.
Menurut Dr Asyraf, penubuhan RCI juga penting kerana melibatkan pendakwaan terpilih dan bersifat politik.

Amat signifikan sekali sekiranya zaman PH dan era Tommy Thomas diangkat sebagai era ‘undang-undang rimba’.
*****
Tinggalkan Jawapan