Editorial
15 Julai 2021
Empat puluh dua NGO Malaysia, yang menamakan kesatuan mereka sebagai Gabungan Bertindak Memorandum Rakyat Malaysia (GBMRM) pada 14 Julai telah memberi ultimatum pada PM, TS Muhyiddin Yassin agar meletakkan jawatan secara terhormat dalam tempoh sehari dua ini atau akan berhadapan dengan tindakan demonstrasi aman rakyat pada Sabtu 17 Julai di seluruh negara.
Mereka percaya bahawa Muhyiddin telah kehilangan majoriti tetapi enggan melepaskan jawatannya sebagai PM.
Tindakan GBMRM adalah selari dengan desakan Majlis Presiden PH yang tegar mengkritik sikap dolak-dalik PN menggantung sidang parlimen.
Malahan ada yang beranggapan bahawa proklamasi Darurat adalah satu ‘escapism’ bagi Muhyiddin untuk mempertahankan kedudukan beliau sebagai PM.
Tindakan Angkatan Muda Keadilan, PKR juga pada landasan yang sama, mendesak agar Muhyiddin melepaskan jawatan beliau sebagai PM.
Desakan tersebut diperkukuhkan lagi dengan kegagalan PN mengatasi penularan pandemik Covid19 dengan pelbagai kelemahan yang ditujukan kepada Menteri MITI apabila membenarkan Kluster Tempat Kerja seperti kilang-kilang beroperasi, sedangkan Ketua Pengarah Kesihatan, TS Dr Noor Hisham telah beberapa kali menegaskan bahawa kluster tersebut menjadi sumber utama peningkatan jangkitan Covid19.
Pada hari ini, 15 Julai, jumlah jangkitan harian seluruh negara adalah 13,215 tertinggi dalam sejarah sejak Covid19 mula bertapak pada hujung 2019.
Menurut pakar pandemik, jumlah jangkitan di Malaysia boleh mencapai 20 ribu kes sehari dalam tempoh beberapa minggu ini. Ia amat mengejutkan dan diterjemahkan sebagai kegagalan strategi PN menangani pandemik tersebut.

Namun hakikatnya secara legal Muhyiddin masih PM kerana tiada bukti sahih yang boleh disahkan bahawa dia telah kehilangan majoriti di parlimen sedangkan ia hanyalah berdasarkan tanggapan politik sahaja.
Dakwaan bahawa Muhyiddin telah kehilangan majoriti menjadi satu tekanan kepada kerajaan PN setelah UMNO menarik balik sokongan terhadap Muhyiddin. Namun jumlah ahli parlimen yang benar-benar menyokong tindakan UMNO tidak jelas dan kabur.
Lantas, ultimatum yang berikan oleh GBMRM adalah satu tindakan desakan terhadap Muhyiddin supaya melepaskan jawatan PM secara terhormat atau akan diaibkan melalui demonstrasi aman rakyat seluruh negara.
Tindakan GBMRM juga adalah sebagai suatu manifestasi penderitaan rakyat yang kehilangan asas ekonomi keluarga, kelaparan, penyakit, kehilangan kerja, putus punca pendapatan, serta depresi emosi sehingga kadar bunuh diri dan kematian akibat serangan Covid19 naik mendadak.
Sistem pendidikan negara juga terganggu teruk, apabila dalam keadaan kesempitan kewangan, anak-anak terpaksa berhadapan dengan sistem pembelajaran-pengajaran dalam talian, yang memerlukan komputer dan talian Internet.
Akhir-akhir ini pengibaran bendera putih sebagai isyarat bahawa rakyat marhaen menderita kelaparan dan tiada bahan dapur untuk masakan dan makanan keluarga, menjadi normal bagi masyarakat kelas rendah.

Melalui satu memorandum GBMRM yang dipersembahkan kepada DYMM SPBYDP Agong di istana negara, mereka merafak sembah memohon agar baginda mencemar duli mengambil langkah tegas terhadap kerajaan PN kerana dikatakan gagal menghormati prinsip demokrasi berparlimen dan Raja Berperlembagaan kerana tiada keabsahan memerintah negara setelah kehilangan majoriti.
Antara lain memorandum itu mencatatkan bahawa Muhyiddin diberikan tempoh sehingga 16 Julai untuk meletakkan jawatan secara terhormat.

“Jika Muhyiddin masih enggan meletakkan jawatan sebagaimana yang telah termaktub di dalam Perlembagaan, kami akan berhimpun secara aman di seluruh Malaysia pada hari Sabtu 17 Julai dengan mengikut prosedur operasi standard,” sebagaimana tercatat dalam memorandum tersebut.
GBMRM juga sebelum ini pada Oktober 2020, telah menghantar memorandum ke istana negara untuk memohon kebijaksanaan DYMM Agong supaya mencemar duli untuk campur tangan agar Muhyiddin meletakkan jawatannya.
Wakil mereka, Mustapa Mansor, mengesahkan memorandum tersebut diserahkan kepada pegawai Istana Negara, pada 13 Julai.
Antara NGO yang merupakan ahli gabungan GBMRM adalah Pertubuhan Solidariti Madani Malaysia, Majlis Gabungan Media Digital Malaysia, Otai Reformis 1998, Suara prihatin Rakyat Malaysia dan Pertubuhan Pelancongan Muslim Perak.
******
Tinggalkan Jawapan