Oleh Dr Mamat
13 Julai 2021
Walaupun beberapa kali Tun Mahathir mengeluarkan kenyataan bahawa dia tidak mahu lagi dilantik sebagai PM, tetapi dia tetap aktif dalam Pejuang, dan mahu dirinya diangkat sebagai Pengarah Mageran tempoh hari.
Dengan kemelut UMNO menarik balik sokongan terhadap TS Muhyiddin Yassin, sekonyong-konyong itu juga Pejuang diluluskan pendaftarannya oleh ROS. Adakah ini semua susunan drama Menteri Dalam Negeri?

Tidaklah mengejutkan kerana orang-orang kuat dalam PN, adalah mereka yang merupakan ahli parlimen PPBM yang diterajui oleh Mahathir.
Dengan itu juga drama ‘Muhyiddin sebagai pengkhianat kepada Mahathir’ akan terpadam begitu sahaja, samalah seperti drama Lim Kit Siang, Anwar Ibrahim, Reformasi PKR, Mat Sabu dalam cemohan mereka terhadap Mahathir.
Sememangnya Pejuang adalah parti melukut di tepi gantang yang tidak ada daya kudratnya dalam sfera politik Malaysia.

Pejuang hanya kuat dengan suara Mahathir, tetapi tidak yang lain, yang mungkin ramai mahu melabelkan mereka sebagai penumpang Mahathir semata-mata.
Lantas, jalan terbaik bagi Pejuang setelah Mahathir membuat keputusan untuk tidak bekerjasama dengan PH, ialah mendekati semula TS Muhyiddin Yassin. Itulah juga yang diharapkan oleh ahli-ahli Pejuang.
Pastinya Muhyiddin tidak keberatan menerima Mahathir meskipun dia telah dituduh ‘pengkhianat’ atau mungkin juga semuanya itu hanyalah drama Melayu.

Lihatlah saja walau dituduh pengkhianat yang amat menyakitkan hati, Muhyiddin tetap mengadap Mahathir memohon maaf, sedangkan dia bukan pengkhianat, sebaliknya dilantik dengan kebijaksanaan DYMM Agong setelah diadakan bancian dalam kalangan semua 222 ahli parlimen.
Selepas ini boleh sahaja TS Muhyiddin melantik Datok Mukhriz Mahathir sebagai seorang lagi Timbalan PM supaya ada semak dan imbang terhadap Ismail Sabri.
Muhyiddin pastinya kecil telapak tangan nyiru ditadahkan kerana dengan itu jumlah ahli parlimen yang menyokongnya akan bertambah setelah UMNO menarik diri.
Namun timbul persoalan benarkan Menteri-menteri UMNO akan menarik diri meninggalkan Muhyiddin.
Mereka yang menarik diri, bukannya mereka yang berada dalam kabinet Muhyiddin, kerana Menteri-menteri UMNO selesa bekerja di bawah Muhyiddin yang tidak banyak karenah.
Demikianlah juga dengan ahli parlimen PAS yang nampaknya amat selesa setelah berada dalam kabinet setelah berpuluh tahun tidak merasai nikmat itu.
Adakah Menteri-menteri UMNO akan rasa kekok apabila Mahathir turut bersama dengan PN nanti.
Kenapakah pula mereka merasa kekok, jika mereka tidak sedikit pun merasa kekok untuk bersama Muhyiddin.
Cuma seandainya UMNO menolak kerjasama PN-Pejuang, mungkin juga mereka yang kini bersama PN terpaksa membuat keputusan untuk meninggalkan UMNO.
Tanda-tanda Mahathir akan bersama dengan PN sudah ada, apabila Menteri Kewangan Tengku Zafrul Aziz telah dihantar untuk bertemu Mahathir dan kemudiannya pendaftaran Pejuang diluluskan oleh RoS.

Mahathir sudah tentu sudi menerima Muhyiddin, untuk mengelak Anwar daripada diangkat menjadi PM. Apatah lagi Bersatu itu adalah lahir daripada DNA Mahathir sendiri.
Lantas, jadilah drama ‘Pi Mai Pi Mai Tang Tu’ yang mungkin akan melihat rakyat lebih menderita, kerana sikap Mahathir yang kedekut sebagaimana chetiah peminjam wang dari India.
Semuanya telah terbukti ketika Mahathir-PH berkuasa. Cuma ia akan menjadi bertambah parah sekiranya Mahathir mengheret bersama DAP bagi mengukuhkan jumlah majoriti ahli parlimen yang menyokong Muhyiddin.
PKR sudah tentunya seperti yang dihebohkan akan melamar UMNO, cuma adakah UMNO akan menerimanya?
*****
Tinggalkan Jawapan