Berita Sisipan
12 Julai 2021
Kolumnis Bloomberg, Daniel Moss dalam tulisannya mendakwa Malaysia sedang menunju ke arah kedudukan ekonomi yang parah dan menjerumuskan negara kepada ‘failed state’.
Antara lain, Moss membangkitkan fenomena sosial yang memaparkan ‘tangisan rakyat memohon pertolongan’ kesan tindakan sekatan ‘lockdown’ sebagai langkah kerajaan menentang serangan pandemik Covid19.

Moss menonjolkan keluhan rakyat daripada manifestasi ‘bendera putih’ yang baginya adalah luahan rasa rakyat terhadap keadaan tekanan ekonomi yang parah.
Walaupun rakyat tidak bertindak secara drastik untuk menggulingkan kerajaan, namun Moss melihat tindakan Presiden UMNO mengumumkan penarikan balik sokongan kepada Muhyiddin sebagai bibit-bibit ke arah tersebut.
Suatu ketika dahulu PM Malaysia pernah ditanggapi sebagai autoritarian (kuku besi), namun kini dalam keadaan proklamasi Darurat dan penggantungan sidang parlimen, urusan demokrasi Malaysia masih tersekat.
Moss melihat tidak ada pemimpin yang benar-benar mempunyai sokongan majoriti di parlimen mahupun daripada 32 juta rakyat Malaysia untuk diangkat menggantikan PM Muhyiddin Yassin.
Keadaan Malaysia hari ini amat berkontradik dengan imej dan reputasinya sebagai sebuah negara yang dibanggakan suatu ketika dahulu apabila ‘bendera putih’ menjadi penanda kepada berakhirnya dogma ‘Malaysia Boleh’.
Moss juga mendakwa Malaysia pernah menjadi ikon pasaran di Asia Tenggara semasa era Tun Mahathir 1981-2003, tetapi malangnya Mahathir telah salah langkah apabila perbelanjaan yang tidak perlu telah dikorbankan untuk lapangan terbang baharu dan Menara Berkembar yang membazir.
DS Najib Razak pula kemudiannya ‘mengejutkan’ dunia dengan kehilangan MH370 yang sehingga kini masih tidak ditemui.
Kini untuk Malaysia mencapai pertumbuhan 6.5% seperti yang diramalkan, ia terpaksa melonjakkan pertumbuhan separuh kedua tahun ini secara ‘luar biasa’.
Moss juga mendakwa Mahathir tidak dapat mengendalikan urusan politik dengan baik dalam usia yang melampaui 90-an, lantas membuka jalan kepada Muhyiddin untuk mengambil alih.
Tidak ada negara yang dapat melalui situasi sebegini sebagaimana yang Malaysia alami sekarang, selain menjadi negara disfungsi atau cacat dalam urus tadbirnya.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri DS Redzuan Yusof membidas kenyataan yang mengatakan negara sebagai ‘failed state’, disfungsi atau cacat dalam urus tadbir.
Pastinya Redzuan mengahalakan bidasannya terhadap kenyataan Moss dalam kolum Bloomberg itu.

Bagi Redzuan keadaan di Malaysia jauh daripada status negara yang gagal kerana mempunyai sistem yang tetap dan terus berfungsi.
“Masih ada undang-undang, kesantunan sosiopolitik, pemerintahan yang baik dan sistem penyelenggaraan yang berfungsi, apatah lagi tidak ada tanda-tanda sistem itu rosak.
“Memanglah ada gangguan dan cabaran kerana Covid-19, apabila berlaku batasan pergerakan, tetapi masyarakat dan kerajaan masih berfungsi.”
Redzuan menegaskan pemerintah sentiasa terbuka terhadap kritikan rakyat dan pemerhati politik, tetapi adalah tidak adil untuk membingkaikan maklumat dan membuat generalisasi yang dangkal.

Di seluruh negara, banyak sumber serta daya pengeluaran yang berfungsi dan sektor ekonomi tertentu juga terus beroperasi.
Manakala orang ramai masih bebas keluar rumah untuk mendapatkan barang keperluan, pergi ke bank dan sebagainya dan tidak ada sekatan terhadap kritikan ke atas pemerintah yang mengangkat dasar kebebasan bersuara.
Amat jelas boleh dilihat di mana-mana orang ramai tidak dinafikan hak mereka untuk membuat laporan polis terhadap sesiapa sahaja, termasuk pemimpin kerajaan.
Situasi sedemikian tidak akan berlaku dalam negara disfungsi ‘failed state’ atau negara yang menuju ke arah itu, bidas Redzuan.
Merujuk kepada pandangan pakar ekonomi, Jomo Kwame Sundaram dalam satu forum dalam talian, kenyataan yang mengatakan bahawa Malaysia adalah ‘failed state’ merupakan suatu ‘hiperbola’ atau eksagerasi yang membesar-besarkan atau menggembar-gemburkan hakikat yang sebenarnya.

Kata Jomo, “Ada banyak perkara yang masih berjalan dengan baik dalam menangani serangan pandemik.”
Jomo yang bercakap dalam forum mengenai demokrasi dan Raja Berperlembagaan di Malaysia, mengatakan bahawa walaupun terdapat banyak aspek pengurusan yang gagal, Malaysia bukan negara yang gagal seperti yang dihebohkan.
******