Dr.Mamat Desa
SEMASA PH berkuasa sebilangan pemimpin DAP dituduh sebagai aktivis pertubuhan pengganas LTTE, dan kemudiannya digegarkan pula dengan kes mendewa-dewakan pengganas komunis dan ideologi komunisme dengan penyeludupan abu mayat Ketua Parti Komunis Malaya, Chin Peng.
Tidak pasti di manakah titik permulaannya, tetapi rakyat pada awalnya dikejutkan dengan kenyataan Mat Sabu yang mengangkat gerila komunis Mat Indera, sebagai wira pejuang kemerdekaan.
Rakyat tidak hairan kerana pada ketika itu Mat Sabu hanyalah ahli politik jalanan yang cuba mendapatkan restu DAP.

Namun apabila PH berkuasa selepas PRU14, Mat Sabu adalah Menteri Pertahanan, walaupun kajian telah menunjukkan bahawa itulah Menteri Pertahanan ‘terbodoh’ dunia kerana tiada latar kesarjanaan akademik, apatah lagi kepakaran ketenteraan, tetapi sekadar pelajar ‘sekolah kulinari’ ITM, itupun dia gagal.

Setelah dilantik sebagai Menteri Pertahanan, Mat Sabu telah memperakui perjuangan pengganas komunis, dan dengan itu, sekaligus menghalalkan pembunuhan lebih 9000 anggota keselamatan (Polis, Polis Hutan, dan ATM) yang mempertahankan negara, serta orang awam yang tidak berdosa.

Maka berlambak tersebarnya video dan wacana daripada keluarga mangsa pengganas komunis dalam media sosial yang membantah, naik darah dan mengutuk Mat Sabu serta aktivitis pengganas komunis yang pada suatu ketika dahulu dilabelkan sebagai ‘Musuh Utama Negara’.

Kemudian kemarahan rakyat dilonjakkan lagi dengan penyeludupan abu mayat Chin Peng (ada pengguna sosial media menggunakan istilah abu bangkai Chin Peng) pada 16 September 2019 yang juga merupakan ‘Hari Malaysia’, oleh orang-orang DAP seperti ADUN Sungai Pelek, Ronnie Liu.

Agenda DAP ini diterjemahkan sebagai sial kepada negara, kerana sejak 1945 membawa kepada zaman Darurat, negara dan rakyat melabelkan pejuang komunis sebagai musibah yang mesti diperangi sehingga ke lubang cacing.
Perjuangan komunis pada hakikatnya adalah untuk menjadikan negara ini negara republik komunis jajahan Republik (Komunis) Rakyat China dan bukannya perjuangan untuk memerdekakan negara ini daripada penjajah Inggeris.
Pembentukan gerila komunis semasa Perang Dunia Kedua di Malaya, pada dasarnya adalah untuk kaum China (MPAJA) menentang tentera Jepun yang sememangnya sedang bermusuhan dengan China semenjak Peperangan China-Jepun di Manchuria (1937-1945).
Ribuan kaum Cina (angka tidak rasmi 5000) dibunuh oleh tentera Jepun dalam operasi Sook Ching (penghapusan etnik Cina) di Singapura, begitu juga di Tanah Melayu.
Tetapi setelah negara Merdeka pada 1957, gerila komunis masih lagi menentang kerajaan Merdeka Tanah Melayu yang kemudiannya Malaysia kerana mereka mahu menjadikan Malaysia sebuah negara komunis.

Kaum Melayu yang menyertai gerila komunis PKM seperti Rashid Maidin, Shamsiah Fakeh dan lain-lain sebenarnya tertipu dan diperdayakan kerana pada sangkaan mereka gerila komunis berjuang untuk kemerdekaan Malaya.
Setelah negara merdeka kenapa mereka masih menentang kerajaan Malaysia, malah ada yang berhijrah ke China?

Sial kemasukan abu mayat Chin Peng diperhebatkan lagi dengan kenyataan Tun Mahathir yang menganggapnya sebagai ‘benda kecil’.
Kata Mahathir dalam satu sidang akhbar, “Benda macam ini yang nak bangkitkan untuk nak puaskan hati siapa? Nak pergi kutip abu dia? Benda kecil macam ni habis nak dikorek sebab nak memburukkan kerajaan.
Isunya di sini, bukanlah soal abu mayat Chin Peng yang diseludup masuk pada ‘Hari Malaysia’, sebaliknya ia menjadi satu simbol pengagungan komunisme dan pengiktirafan kepada gerila komunis PKM yang diterajui oleh Chin Peng laknatullah.
Sial penyeludupan abu mayat Chin Peng laknatullah, digandakan lagi dengan sial perhimpunan bekas anggota komunis di Banting dan kemudiannya di Kajang.

Bekas KPN TS Musa Hassan, menegaskan bahawa sekiranya Hitler dibenci oleh seluruh rakyat Eropah kerana keganasannya pada Perang Dunia Kedua, sehingga sekarang, mengapakah kita harus maafkan Ketua PKM, Chin Peng itu?
Bagi Musa Hasan, sebarang perhimpunan anggota PKM adalah haram.

Ronnie Liu, Ahli Parlimen Sungai Pelek yang sebelumnya mengutuk Mahathir sebagai ‘harimau kertas’ Asia (hampir reput), kini memuji Mahathir kerana kenyataannya yang tidak membantah penyeludupan abu mayat Chin Peng.

Usaha konco-konco DAP mambawa masuk abu mayat Chin Peng laknatullah dikecam oleh Penyandang Kursi Institusi Raja-Raja Melayu, Prof Emeritus Datuk Dr Zainal Kling.
Beliau berpendapat bahawa usaha membawa masuk abu mayat Ketua PKM itu adalah sebagai penderhakaan kepada Raja-Raja Melayu dan sewajarnya ditentang oleh seluruh rakyat Malaysia.
Sial yang bertimpa-timpa ini akan terus melanda negara, kerana kaum majoriti Melayu-Islam yang antikomunis dan juga kaum minoriti yang telah merasai penderitaan keganasan komunis juga tidak akan sanggup berkompromi dengan tindakan menabur abu mayat Chin Peng di laut negara dan hutan sekitar Banjaran Titiwangsa .

Sial itu kini datang bersama Covid19 yang dipersetujui dunia berpunca daripada Wuhan, negara komunis China tempat asalnya pejuang komunisme PKM.
******
Tinggalkan Jawapan