Dr Mamat Desa
10 Julai 2021
Walaupun ramai golongan konservatif UMNO mahu semua menteri UMNO dalam kabinet TS Muhyiddin Yassin keluar daripada PN, namun ada juga kebaikannya sekiranya mereka kekal.
Sekiranya UMNO masih tegar dengan slogan ‘Rakyat didahulukan’ maka sekaranglah masanya untuk membuktikan iltizam UMNO untuk mempertahankan doktrin tersebut.
Tolaklah ke tepi dahulu soal kelemahan PN yang diletakkan pada bahu Muhyiddin, kerana dengan jawatan TPM yang diberikan kepada DS Ismail Sabri, suara UMNO menjadi lebih kuat dalam konteks membawa prinsip perjuangan UMNO terutamanya ‘Rakyat didahulukan, kebajikan diutamakan’ di tengah-tengah serangan Covid19.
Lagipun UMNO telah sebulat suara bersetuju bahawa UMNO akan meninggalkan PN semasa PRU15, dan bukannya pada waktu genting ketika rakyat amat memerlukan pembelaan daripada pucuk pimpinan kerajaan.
Keperluan ahli MKT UMNO berada dalam kabinet Muhyiddin juga amatlah signifikan, untuk menghalang DAP yang didakwa oleh Datok Dr Mohd Puad Zakarshi, sedang mengatur strategi untuk turut mendampingi TS Muhyiddin.
Pastinya UMNO dan akar umbinya serta rakyat Melayu keseluruhannya tidak mahu situasi dominasi DAP dalam kerajaan berulang lagi sebagaimana semasa PH memerintah.
Semalam Ketua Pemuda UMNO, Datok Dr Asyraf Wajdi Dusuki menyatakan keyakinan beliau bahawaTPM akan mengutamakan tuntutan rakyat termasuk memastikan tindakan tegas diambil kepada kilang-kilang yang menyumbang sebilangan besar terhadap jangkitan Covid-19 di negara ini.
Asyraf menegaskan bahawa isu kluster kilang merupakan salah satu daripada 10 tuntutan (dihashtagkan sebagai #TuntutanRakyat) yang disampaikan kepada Ismail tengah hari semalam untuk menambah baik kawalan serangan Covid19, di samping tuntutan bantuan kewangan terhadap rakyat yang kini parah menderita akibat ‘total lockdown’ apatah lagi perintah PKPD (perintah kawalan pergerakan diperketatkan).

TPM dilaporkan amat komited dan bersetuju untuk jadikan semua #TuntutanRakyat ini sebagai keutamaan beliau setelah dilantik sebagai TPM.
Bukan itu sahaja, dalam isu PKPD ‘total lockdown’, TPM juga akan pastikan tindakan tegas diambil untuk tiada lagi kompromi untuk membolehkan kilang-kilang penyumbang infeksi virus dibuka wewenangnya.
“Tiada lagi pintu belakang dibuka bahkan akan dikunci serapatnya,” catat Asyraf dalam satu hantaran di FB semalam.
Kontradiknya pada 7 Julai, sebelum pelantikan TPM, Muhyiddin telah membenarkan lebih banyak sektor beroperasi di kawasan PKPD di Selangor.

Sementara itu, antara 10 cadangan yang dikemukakan Pemuda UMNO adalah menyegerakan Bantuan Khas Covid (BKC) tanpa menunggu bulan Ogos, memandangkan rakyat kian terdesak.
Selain itu, mereka juga menuntut agar kerajaan mempermudahkan proses rayuan tanpa perlu menyediakan pelbagai dokumen pembuktian pengurangan pendapatan.
Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) wajar ambil kira data terkini, memandangkan ramai di kalangan rakyat terutamanya M40 yang jatuh ke kategori B40 sejak awal tahun ini ketika PKP 2.0 dan makin parah apabila PKP 3.0
Hari ini jumlah kes Covid19 yang dikesan adalah yang tertinggi dalam sejarah apabila ia mencecah jumlah 9353 dengan Selangor menyumbang kepada jumlah jangkitan tertinggi 4277 dengan catatan yang menjangkau 4000 kes bagi tiga hari berturut-turut.
Adakah dakwaan kajian WHO yang mengatakan jumlah korban Covid19 di Malaysia akan mencapai 26,000 menjelang September ini akan menjadi realiti? Sudah tentu tidak, namun ia merupakan satu amaran yang tidak boleh diabaikan oleh PN.
Lantas, pelantikan DS Ismail Sabri yang merupakan ahli MKT UMNO dalam kabinet Muhyiddin hendaklah dilihat daripada lensa yang positif agar doktrin “Rakyat didahulukan, kebajikan diutamakan’ dapat diserap masuk dalam paradigma kepimpinan PN.
******
Tinggalkan Jawapan