Editorial
7 Julai 2021
Semalam 6 Julai data kes jangkitan Covid19 naik ke angka 7654 di seluruh negara, setelah turun kepada 6045 pada dua hari lalu, dan Selangor mencatat jumlah tertinggi 3260.

Ini bermakna 42.6% rekod jangkitan seluruh negara datang daripada negeri Selangor, yang membuktikan Selangor menjadi penyumbang terbesar jangkitan.
Trend jumlah jangkitan Covid19 sudah pun menurun kepada 6,387 kes pada 5 Julai daripada 6982 pada 2 Julai.
Hakikatnya kes jangkitan telah naik mendadak sejak 6045 pada 4 Julai kepada 7654 semalam (6 Julai).
Negeri Selangor juga adalah negeri terkaya dalam Persekutuan Malaysia kerana banyak terdapat industri pembuatan yang menjadi penyumbang besar kepada ekonomi negeri.
Apabila KKM mendapati bahawa data jangkitan Covid19 datangnya dalam kadar terbanyak adalah daripada ‘Kluster Tempat Kerja’ maka logiklah jika Selangor menjadi penyumbang terbesar kepada jumlah jangkitan seluruh negara.
Tapi anehnya Menteri MITI, DS Azmin Ali seringkali menolak dan kadangakala marah apabila, kluster tempat kerja yang terangkum dalamnya kluster kilang menjadi penyumbang besar jangkitan Covid19.
Walaupun rakyat faham bahawa Azmin bertanggungjawab kepada sektor industri, namun dalam soal nyawa rakyat keseluruhannya Azmin hendaklah lebih bertanggungjawab.
Janganlah apabila negara melaksanakan ‘Total Lockdown’ Azmin pula melaksanakan ‘total open up’ kepada kilang-kilang yang menjadi penyumbang ekonomi, tetapi pembunuh rakyat.

Beberapa kali rakyat perhatikan kegusaran Menteri Besar Selangor DS Amirudin Shari, tentang jangkitan yang datang daripada tempat kerja.
Pada 30 Jun lalu, MB menyatakan kepada media “Mengikut angka dan data terkini (sepanjang bulan Jun 2021), 91 peratus kluster di Selangor berpunca daripada pekerjaan (tempat kerja), iaitu 80 peratus kluster perkilangan dan 11 peratus kluster tapak bina”.

Anehnya Azmin Ali pula sering mempertahankan sektor perkilangan yang menjadi sumbangan utama sekiranya dirujuk pada data di Selangor.
Tempoh hari panas dalam media maya apabila MITI di bawah urus tadbir Azmin membenarkan 95,000 syarikat beroperasi semasa ‘total lockdown’ termasuk kilang-kilang yang menjadi kluster penyebaran wabak.

Malahan Azmin juga bercanggah pendapat dengan Menteri dalam Negeri, DS Hamzah Zainuddin yang percaya sektor perkilangan sebagai punca utama kluster pandemik tersebut.
Lantas, bukan MB Selangor sahaja membantah pembelaan Azmin terhadap operasi kilang, malah Menteri Dalam Negeri juga menentang dan mempersoalkannya.

DS Hamzah membidas Azmin secara tidak langsung, apabila dia menegaskan bahawa “Saya tak puas hati sebab angka nak turun bawah 5,000 tak dapat-dapat, jadi siapa yang salah? Kita kena buat sesuatu.”
Semalam 42.6% kes jangkitan seluruh negara telah dikesan di Selangor, sedangkan 13 negeri lain hanya menyumbang 57.4% sahaja.
Nampaknya Selangor yang menjadi negeri tempat tinggal Azmin telah menjadi pusat pembunuh rakyat.
Rakyat faham bahawa pekerja kilang adalah golongan kelas berpendatan rendah, dan mereka akan menderita kehilangan punca pendapatan jika kilang ditutup.
Namun apa gunanya rakyat mengundi kerajaan sedia ada sekiranya, tidak dapat membantu rakyat.
Tapi yang membangkitkan keadaan serba salah ialah majoriti pekerja kilang adalah terdiri daripada warga asing.

Pada 14 Jun, KKM melaporkan kebanyakan kes positif yang dilaporkan dalam kategori kluster tempat kerja, terdiri daripada bukan warganegara Malaysia iaitu sebanyak 100,086 kes (68 peratus) berbanding warganegara iaitu sebanyak 46,954 kes (32 peratus). Sektor pengilangan melaporkan jumlah kes tertinggi dalam kategori kluster tempat kerja, iaitu sebanyak 95,156 kes melibatkan 639 kluster.
Terbangkit juga masalah kemasukan mereka secara haram, sebagaimana oraganisasi antarabangsa menuduh Malaysia sebagai antara negara pemerdagangan manusia terhebat.

WHO pula telah mendedahkan bahawa terdapat kajian yang menjangkakan bahawa Malaysia akan mengalami kesan yang amat teruk apabila 26,000 rakyat negara ini akan mati akibat serangan Covid19 menjelang September.
Rasanya kajian itu mengarut, tetapi tidakkah ia suatu amaran kepada Malaysia terutamanya Azmin Ali?
Mahukah Azmin dan kerajaan negeri Selangor dituduh menjadi pembunuh rakyat?
*****
Tinggalkan Jawapan