Editorial
25 Julai 2021
TAHNIAH kepada kerajaan PN kerana telah berjaya mencapai angka 1 juta lebih jumlah jangkitan Covid19.
Nampaknya kerajaan PN telah berjaya mengalahkan negara jiran Thailand dan Malaysia masih memegang rekod dunia dalam ranking jumlah kematian per juta penduduk.



Rakyat daripada kelas menengah dan sederhana turut bersama-sama dengan rakyat kelas bawahan miskin tegar yang ‘kais pagi makan pagi’ tidak lagi mahu menyimpan dan menyorokkan perasaan tertekan mereka, sebaliknya meluahkan perasaan depresi mereka.
Budi bahasa sudah hilang, yang terpantul daripada mulut mereka adalah maki-hamun kepada kerajaan.
Menurut falsafah kepimpinan dunia, para pemimpin hendaklah berwaspada, “jangan biarkan rakyat lapar, sekiranya rakyat lapar mereka akan memberontak.“
Isu bendera putih nampaknya akan berterusan dan menjadi bertambah hangat dalam media sosial apabila terdapat berpuluh video dalam YouTube dan kebanyakannya menyokong hak rakyat marhaen untuk mendapatkan perhatian daripada jiran-tetangga dan barangkali orang yang lalu-lalang supaya membantu rumah berbendera putih.
Adakah ia menjadi kesalahan?
Ada pula yang memfatwakan sebagai haram kerana menonjolkan aib sendiri dan menjatuhkan maruah diri.
Ada warganet yang menjawab, jika haram, maka adakah perbuatan meminta sedekah itu juga haram? Meminta tolong jiran tetangga juga haram? Sekiranya hamba Allah sedang kelemasan dalam lautan bergelora, salahkah sekiranya mereka menjerit dan memekik memohon pertolongan kapal yang melintasi, di samping doa yang tidak putus dalam sanubari?
Namun doa sahaja tidak mencukupi bagi Allah sekira mereka sendiri tidak berusaha. Apalah usaha yang boleh dibuat sekiranya kawasan perumahan di kelilingi kawat berduri, dan saman-menyaman jika tidak mematuhi SOP.
Kenapa ada pihak yang marah sangat dengan bendera putih? Janganlah apa sahaja yang rakyat marhaen buat semuanya dikaitkan dengan politik.
Atau adakah bendera putih itu terkait dengan bendera parti politik tertentu sehingga hendak naik marah dan beremosi?
Rakyat miskin kini sedang kelaparan setelah diasak dengan pelbagai rangkaian PKP.
Mereka telah cuba mematuhi arahan kerajaan. Namun haruslah difahami sekiranya mereka merupakan rakyat yang ‘kais pagi makan pagi, kais petang makan petang’, lantas apa yang mereka nak makan, apa yang anak-anak nak makan, sekiranya pagi petang siang malam mereka diarahkan mengurung diri sekiranya tidak mahu tindakan undang-undang diambil kerana melanggar perintah.
Kerajaan memang berikan bantuan kewangan, tapi bukan semuanya dapat, bukan semuanya sampai kepada rakyat, dan bukannya mencukupi, apabila ada hutang bank, ada hutang along, ada hutang kereta, sewa rumah, hutang beli komputer, bil elektrik, bil air, bil Internet untuk anak belajar ‘dalam talian’ setelah sekolah ditutup.
Bayangkan bantuan kerajaan terhadap peniaga dilaporkan hanya membantu 30-40% sahaja daripada mereka yang memerlukan. Lantas bagaimana dengan 60% lagi?
Meskipun mereka amat bersyukur terhadap bantuan kerajaan, tetapi langkah-langkah alternatif dan drastik harus diambil bagi golongan yang terdesak sangat serta miskin tegar, bukan sahaja di pedalaman, tetapi juga di pinggir bandar yang dinamakan ‘urban poor’ atau masyarakat ‘miskin bandar.’
Ada yang tidak dapat mengawal depresi kerana hilang punca pendapatan, sedang hutang keliling pinggang, manakala iman amat tipis, lantas bunuh diri menjadi pilihan.

Kata pemimpin parti politik tertentu, “Pengamatan saya .. ia terangkum dalam tujuan dan maksud menjatuhkan kerajaan PN yang ada. Jika PN jatuh bukan bendera putih yang berkibar tapi bendera DAP yang akan naik. Maaf, jika pengamatan saya tidak betul. Tapi perhatikan betul-betul.”
Mengapa buruk sangka sangat? Jika pemimpin asyik memikirkan kuasa sahaja, suatu hari nanti rakyat tak kisah siapa jua yang memerintah, tetapi kebajikan mereka dijaga dengan baik.
Ini soal kelaparan anak-anak, soal beras sebutir pun tak ada, soal gula-tepung tak ada, soal susu anak tak ada, bukan soal politik.
Satu perkara lagi, harus diingat kempen bendera putih adalah kempen “rakyat bantu rakyat”.
Rumah mereka bukan bersebelahan rumah wakil rakyat, menteri, atau ahli politik. Lagipun jarang ada ahli politik mahu duduk rumah hulu kampung. Wakil rakyat pula hanya menjenguk ketika pilihan raya menjelang tiba.

Soal bendera DAP tu memanglah satu hal, tapi bukankah dulu kamu dan Tok Guru kamu berpeluk-peluk dengan DAP, sampai ada yang sambut hari jadi di rumah Karpal Singh.
Lagipun kalau PN jatuh, adakah wewenangnya DAP naik?
Kemudian, yang solat tak tinggal tetapi tidak mahu mengibar bendera kamu, kami golongkan sebagai kafir sehingga ada sembahyang dua imam.
Kalau nak marah kempen bendera putih, sekarang dah ada pula kempen bendera hitam.
Bendera hitam itu, barulah bendera politik. Bendera yang menentang kerajaan yang dipersepsikan lemah dan gagal.
Lawanlah bendera hitam tu, kalau anak jantan.
Rakyat marhaen yang sedang kelaparan mana tahu kerajaan lemah atau tidak, ada sidang parlimen atau tidak, nak pergi suntik vaksin nak naik grab pun tak ada duit, motorsikal dah kena tarik, mereka ingatkan akan mati kerana Covid19, rupa-rupanya akan mati kerana kelaparan.
Jadi, janganlah nak buruk sangka.

Ini soal anak nak makan, ini soal nak minta bantuan segera sesama jiran, sesama rakyat.
Nak telefon orang politik, tahu sajalah, orang politik akan jawab, “Ya ya insyaAllah nanti kami sampai, nanti kami sampai.” Tak sampai-sampai pun.
Tunggu punya tunggu, anak dah tercungap-cungap macam ikan terdampar atas darat.
******
Tinggalkan Jawapan