TIDAKKAH KEPRIHATINAN DYMM AGONG TERHADAP RAKYAT TELAH DIDERHAKAI?

Oleh Dr Mamat Desa

29 Jun 2021

Walaupun rakyat marhaen dari kelas bawahan tidak tahu sangat apa ertinya ‘Sidang Parlimen’ kepada hidup mereka, namun rakyat mahu penderitaan dan kesengsaraan mereka diprihatinkan oleh pemimpin yang mereka pilih.

Bayangkanlah bagaimana sensaranya menghadapi kehidupan rakyat marhaen yang dicengkam oleh virus Covid19, yang mungkin diterjemahkan oleh mereka sebagai ancaman ‘makhluk halus’.

Anak-anak kelaparan, ayah putus mata pencarian, ibu sedih dan gelabah apabila di dapur bahan masakan sudah kehabisan.

Namun pada hakikatnya mereka tidak tahu bahawa Sidang Parlimen membawa makna besar kepada kehidupan mereka.

Sidang Parlimen akan menjadi dewan untuk wakil mereka menuntut hak mereka, dan menentang jika hak mereka itu diperkotak-katikkan.

Atas dasar keprihatinan penderitaan dan kesengsaraan rakyat itulah DYMM SPBYDP Agong mahu Sidang Parlimen diadakan segera, supaya segala permasalahan rakyat dapat dihuraikan, disantuni dan dileraikan.

Lihatlah berapa kali titah Baginda Tuanku yang menzahirkan keprihatian baginda terhadap penderitaan rakyat.

Sebagaimana kenyataan media daripada Istana Negara pada 16 Jun 2021 pada para 3,4,5 dan 6, Baginda Tuanku berkali-kali menitahkan agar soal kesihatan, kebajikan dan kesejahteraan rakyat diberikan perhatian dan keutamaan dan dengan itu DYMM Baginda mahu Sidang Parlimen diadakan dengan kadar “segera”.

Pada para 6 dicatatkan titah Tuanku oleh Datuk Pengelola Bijaya Diraja supaya “wakil-wakil rakyat bersidang bagi membincangkan pelbagai isu khususnya berkaitan penularan wabak Covid19. Ahli-ahli dewan  Rakyat boleh berbincang berkenaan peruntukan perbelanjaan Kerajaan bagi membantu rakyat yang di dalam kesempitan bagi memulihkan semula ekonomi negara.”

Hairannya masih ada pemimpin tertinggi negara tidak mengendahkan tuntutan DYMM Baginda untuk segerakan Sidang Parlimen itu.

Hari ini 29 Jun, lagi sekali DYMM Agong bertitah supaya Sidang Parlimen disegerakan.

Entah apalah yang menjadi batu penghalang kepada Perdana Menteri untuk melengah-lengahkan titah Tuanku.

Apakah yang ditakutkan oleh Perdana Menteri sekiranya Parlimen bersidang?

Adakah akan berlaku rampasan kuasa, sehingga pelbagai dolak-dalik dibangkitkan?

Tidakkah negara berada dalam tempoh Darurat, manakala Titah Tuanku menjadi keutamaan dan dengan itu apa juga dolak-dalik Perdana Menteri hendaklah diketepikan?

Nampaknya keprihatinan DYMM Agong terhadap penderitaan dan kemelaratan rakyat akibat Covid19 yang dizahirkan dalam mesyuarat Majlis Raja-Raja telah diderhakai.

Apalah yang rakyat marhaen tahu tentang Sidang Parlimen, kecuali semasa PRU mereka berpusu-pusu digesa mengundi untuk memilih Wakil Parlimen.

Mereka juga tidak tahu, bahawasanya DYMM Agong telah berkali-kali menitahkan supaya Sidang Parlimen diadakan segera.

Mereka juga tidak tahu bahawa pemimpin tertinggi negara telah menderhakai keprihatinan DYMM Agong terhadap penderitaan rakyat.

Bagaimanakah nanti jika mereka tahu dan sedar tentang hakikat penderhakaan ini?

*****

Advertisement

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out /  Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out /  Tukar )

Connecting to %s

Website Built with WordPress.com.

Atas ↑

%d bloggers like this: