ANWAR TIDAK BOLEH BERPISAH DENGAN DAP

Editorial

27 Jun 2021

Apabila DS Anwar Ibrahim bangun menentang Tun Mahathir pada 1997-1998, DAP merasa amat gembira melihat pertembungan sesama pemimpin Melayu Mahathir-Anwar yang dianggap sebagai ‘Clash of the Titans’.

Mana-mana yang kalah tetap akan membawa kepada perpecahan Melayu dan perpecahan Melayu itu bermakna, kekuatan DAP.

Anwar tahu tentang itu, tetapi Anwar tidak boleh bergerak sendirian, apabila Mahathir menggunakan segala senjata yang dia ada untuk ‘membunuh karektor’ Anwar.

Apa yang Mahathir gagal ialah membunuh sokongan sebilangan orang Melayu terhadap Anwar.

Apabila Mahathir tahu DAP menyokong Anwar, Mahathir pula amat gembira, dengan harapan bahawa orang Melayu akan turut membenci Anwar kerana Anwar disokong oleh DAP, yang amat dibenci oleh orang Melayu.

Namun setelah Mahathir membina permusuhan dengan Tun Abdullah Ahmad Badawi, kemudiannya dengan DS Najib Razak bersama-sama dengan rekod buruk sebelumnya apabila dia telah bermusuh dengan Tunku Abdul Rahman, Tun Hussein Onn, Tun Musa Hitam, Tun Salleh Abbas, Tengku Razaleigh Hamzah dan ramai lagi, maka populariti Mahathir dalam sfera minda Melayu juga kian cair.

Mahu tidak mahu, setelah kaum Cina sendiri sudah tidak lagi berminat dengan BN, Mahathir mencari ‘payung baharu’ setelah dia disingkirkan daripada UMNO, dan disitulah dia temui PH.

DAP mempunyai cita-cita untuk menguasai Tanah Melayu sejak tahun 1965 lagi, ketika Lim Kit Siang aktif dalam pergerakan gerila komunis melalui Parti Komunis Malaya.

Sumber: Ibnu Hashim

Melampaui 50 tahun DAP mengatur strategi untuk mengambil kuasa daripada UMNO dan Barisan Nasional bagi merealisasikan ‘Malaysian Malaysia’ sebagaimana menjadi prinsip Lee Kuan Yew di Singapura.

Sebagaimana PAP maka lahirlah DAP yang dianggap sebagai adik kepada PAP Singapura.

Namun sokongan terhadap DAP hanya berlegar dalam kalangan orang Cina manakala orang Melayu tidak dapat menerima ‘Malaysian Malaysia’ malahan ia bertentangan dengan peruntukan hak dan keistimewaan Melayu-Bumiputera, Raja-Raja Melayu dan agama Islam sebagai agama rasmi Persekutuan, dalam Perlembagaan Persekutuan sebagaimana tercatat dalam Perkara 153.

Tiada jalan lain bagi DAP, selain daripada memenangi minda orang Melayu melalui propaganda halus mereka, namun orang Melayu amat taat pada agama Islam, sedangkan DAP telah dikenali sebagai parti yang ada pertalian falsafah dengan komunisme.

Malanglah bagi DAP kerana untuk mengusai Tanah Melayu, mereka terpaksa terlebih dahulu menguasai hati nurani kaum Melayu.

Dari fahaman sedemikianlah, DAP cuba dapatkan sokongan parti-parti Melayu untuk menyerapkan falsafah perjuangan mereka.

Lantas mereka berjaya mendapatkan sokongan parti Melayu melalui PKR dan kemudiannya PAS semasa Pakatan Rakyat berkuasa.

Sumber: Sinar Harian

Musuh dalam politik bukanlah musuh yang kekal, dan ramai ahli politik menjadi oportunis dalam hal ini kerana tafsiran kasar untuk politik ialah perjuangan merebut kuasa dan pengaruh.

Sebelum PRU14, orang Melayu tergamam melihat Mahathir mandaftar dirinya dalam kem PH, yang hakikatnya adalah didominasi oleh DAP, manakala PKR hanyalah orang kanan DAP dalam PH.

Walaupun PAS sudah keluar daripada Pakatan Harapan, DAP bertungkus-lumus pula menubuhkan PAN, untuk menggantikan PAS sebagai parti yang bertunjangkan Islam untuk mengelabui mata orang Melayu.

Hakikat ini menjadi lebih relevan ketika itu kerana Anwar masih dalam penjara.

Untuk memenangi hati kaum Melayu dalam PH, lebih-lebih lagi apabila PKR yang tegar dengan perjuangan ‘reformasi’, Mahathir terpaksa melepaskan Anwar dari penjara.

Macam-macamlah persepsi yang Mahathir ubah, antaranya ialah dia telah menyatakan bahawa Anwar tidak bersalah dan harus dibebaskan.

Mahathir terpaksa berbuat sedemikian, kerana survivalnya dalam PH yang didominasi DAP, menjadi amat bahaya tanpa Anwar.

Lantas Anwar dibebaskan, seakan-akan seperti Mahathir yang membebaskannya.

Apabila PH menang, Mahathir sentiasa berwaspada agar kuasa tidak jatuh ke tangan Anwar, kerana dia bimbang dendam Anwar terhadapnya masih belum padam.

Seperti yang dijangka, Anwar juga tidak mahu Mahathir membohonginya berterusan.

Anwar sentiasa menunggu tarikh Mahathir akan menyerahkan kuasa kepadanya. Tetapi sebagaimana biasa, banyaklah dolak-dalik Mahathir.

Sehinggalah apabila kerajaan PH dihujani dengan pelbagai masalah kepimpinan: penglibatan pemimpin mereka dengan LTTE yang telah banyak membunuh umat Islam, masuk-campur DAP dalam aset Tabung Haji, Bank Islam, isu ICERD, isu Statut ROM, isu menentang hak Melayu-Bumiputera dan Raja-Raja Melayu, isu menjadikan Malaysia negara Republik, sehinggalah kepada pemimpin DAP berjaya membawa masuk abu mayat Ketua PKM, Chin Peng dan penyerapan komunisme di sekolah-sekolah.

Malah Mahathir terpaksa mengaku bahawa dia adalah ‘PM boneka’, kerana dia merasakan dirinya terperangkap, dan mahu rakyat melihat keburukan PH datangnya daripada DAP.

Anwar tidak akan melepaskan ikatannya pada DAP kerana DAP sentiasa bersamanya terutamanya ketika dia susah, malahan Anwar sanggup turut berkempen menyatakan bahawa DAP bukan anti-Islam, DAP bukan anti-Melayu, Malaysian Malaysia adalah keadilan dan macam-macam lagi.

DAP lebih sukakan Anwar, kerana sejak Anwar keluar penjara, Anwar berani mengatakan bahawa semua agama sama, Anwar berani menonjolkan dirinya sebagai pemimpin milenium baharu yang menerima liberalisme, dan pluralisme agama.

Anwar sokong Lina Joy Murtad -BBC

Akhirnya Mahathir terpaksa keluar meninggalkan PH dengan apa cara sekalipun. Tidak ada gunanya lagi bersama PH, tidak ada gunanya bersama Anwar, tidak ada gunanya bersama UMNO.

Alangkah baiknya sekiranya kerajaan wujud tanpa parti dan dengan sebab itulah Mahathir mahu menubuhkan ‘Kerajaan Perpaduan’ tanpa parti, dan tanpa kuasa parti kerana partinya PPBM hanyalah melukut di tepi gantang.

Hari ini Anwar tetap bersama DAP, hanya DAP yang selari dengan prinsip ‘reformasi’ Anwar, dan Anwar amat kesal kerana dia berjaya diperbodohkan Mahathir.

Anwar akan terus bersama DAP, tetapi malangnya DAP amat dominan dalam PH, lagipun tidak ramai Ahli Parlimen Melayu dalam PKR, lantas, hanya UMNO sahaja yang dapat membantu Anwar untuk mendapatkan sokongan orang Melayu.

******

Advertisement

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out /  Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out /  Tukar )

Connecting to %s

Website Built with WordPress.com.

Atas ↑

%d bloggers like this: