Editorial
25 Jun 2021
Nampaknya krisis kepimpinan dalam UMNO kian berkudis apabila DS Nazri TS Aziz mengaku mengumpul 25 SD untuk memberi mandat kepada DS Hishamuddin Hussein Onn dan bukannya kepada Presiden UMNO, DS Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Apakah tindakan sedemikian lebih baik daripada menunggu Pemilihan UMNO yang dijadualkan sebelum akhir tahun ini, untuk meleraikan perbezaan pandangan dan pendirian dalam kepimpinan tertinggi UMNO?
Mengapa perlu mengumpul SD sebagaimana yang dibuat oleh DS Anwar Ibrahim untuk menjatuhkan Mahathir atau sebagaimana usaha DS Shafie Apdal menjatuhkan TS Musa Aman.
Apa juga yang Anwar atau Shafie Apdal lakukan, kedua-dua pihak berada dalam kapal masing-masing dengan nakhodanya yang tersendiri. Pergeseran berlaku tidak melibatkan perpecahan dalam parti sebaliknya menyerang parti lain.
Kontradiknya, langkah yang diambil oleh Nazri adalah tindakan memporak-perandakan parti sendiri dengan mewujudkan kem Zahid dan Hishamuddin yang akan mencetuskan perang saudara.
Tindakan Nazri menjadi amat aneh, apabila Hishamuddin sendiri pada Pemilihan UMNO 2018, tidak bertanding untuk merebut apa-apa juga jawatan.

Lantas, bagaimanakah pula sekarang ini Hishamuddin menyetujui tindakan Nazri mengumpul SD untuk menyokongnya bagi menterjemahkan bahawa keyakinan kepimpimpinan tertinggi UMNO terhadap Zahid sudah luntur?
Adakah itu tindakan yang bijak atau Nazri sememangnya mahu memusnahkan UMNO sebagaimana Mahathir mahu melihat UMNO berkubur?

Nazri juga mendakwa dia dan 25 AP UMNO telah hilang keyakinan terhadap ketelusan Presiden UMNO, bagi mewakili parti sewaktu dipanggil menghadap DYMM Agong tempoh hari.
Pada asalnya tujuan Nazri adalah untuk menyatakan bahawa dia mahu Hishamuddin menjadi jurucakap UMNO untuk menyatakan kepada DYMM Agong yang sebahagian besar AP UMNO tidak menyokong Anwar Ibrahim diangkat sebagai PM.
Hairannya mengapakah Nazri sendiri tidak menjadi jurucakap kepada UMNO untuk merafak sembah dan menyatakan kepada DYMM Agong bahawa sebilang besar AP UMNO tidak menyokong Anwar sebagai PM?
Mengapakah harus Hishamuddin? Adakah Hishamuddin dipergunakannya atau Nazri sahaja mahu melaga-lagakan Zahid dan Hishamuddin atau dari satu aspek lagi antara Hishamuddin dan Anwar?
Nazri mendedahkan tindakan Zahid mengemukakan surat sokongan Ahli Parlimen (AP) UMNO menyokong Anwar menjadi Perdana Menteri pada bulan September tahun lalu, amat mengecewakan mereka.
Tapi, adakah benar Zahid telah bertindak sedemikian?
Setakat ini nampaknya tiada kenyataan langsung daripada Hishamuddin bahawa dia bersetuju dengan usaha Nazri mengumpul SD menyokongnya untuk menggantikan Zahid.
Bagaimanapun Nazri mengakui, gerakan mengumpul SD daripada kalangan AP UMNO itu bukanlah bertujuan untuk menggantikan Muhyiddin sebagai PM.
Sebaliknya ia bertujuan menjelaskan pendirian sebahagian besar AP UMNO kepada DYMM Agong bahawa mereka menolak sokongan terhadap Anwar.
Pada Selasa (22 Jun), Ahli MKT UMNO, Datuk Razlan Rafii menafikan pembabitan UMNO dalam usaha mengumpul tandatangan akuan bersumpah (SD) bagi mendapatkan sokongan mengambil alih kerajaan daripada Muhyiddin.

Menurut Razlan, Anwar telah mempersembahkan 115 SD ahli Parlimen (AP) termasuk AP UMNO kepada DYMM Agong, dengan harapan beliau diangkat menjadi Perdana Menteri baharu.
Bagaimanapun, setelah dijalankan verifikasi SD daripada kem Anwar, didapati berlaku pertindihan tandatangan SD yang dikemukakan Hishammuddin.
Secara mudahnya, gerakan kutipan SD daripada AP kerajaan sebenarnya bertujuan mempertahankan Muhyiddin dan menghalang cita-cita Anwar daripada menjadi Perdana Menteri.
Sebelumnya pada 20 Jun, Nazri juga telah mengeluarkan kenyataan kepada ASTRO, bahawa Hishammuddin adalah calon terbaik untuk diketengahkan sebagai Perdana Menteri dan Hishamuddin juga diterima di peringkat antarabangsa.
Nazri mendakwa, UMNO bukan sahaja mahu mencari Presiden yang baharu dan boleh membawa perubahan kepada parti tetapi calon yang layak untuk dijadikan Perdana Menteri.
Anehnya pada Pemilihan UMNO 2018, Hishamuddin tidak pula bertanding untuk apa-apa sahaja jawatan, apatah lagi mencabar Zahid.
Lantas, tidakkah usaha Nazri mengumpul SD untuk menyokong Hishamuddin akan menyebabkan perpecahan dalam UMNO?
Agak kontradik apabila pada 11 Jun lalu heboh pula berita bahawa Hishamuddin menyangkal laporan yang mengaitkan dirinya bakal diangkat sebagai Perdana Menteri.

Malahan terdapat juga naratif bahawa Muhyiddin akan berundur dan akan memberi laluan kepada Hishammuddin.
Nampaknya, tidak cukup untuk melagakan Hishamuddin dengan Zahid dan Anwar, Hishamuddin juga dijadikan kambing hitam untuk dilagakan dengan Muhyiddin.
Terdahulu PKR juga mendakwa, ada gerakan pihak tertentu yang sedang cuba mendapatkan SD daripada ahli-ahli Parlimen untuk mendapat jawatan dalam Kerajaan Pusat.
Kontradiknya dengan pandangan Nazri, Pengarah Komunikasi PKR, Fahmi Fadzil berkata, Hishammuddin belum mempunyai kredibiliti untuk menjadi Perdana Menteri, sekali gus dilihat seperti cuba mendahului pemimpin-pemimpin lain dalam UMNO.
Hishammuddin sendiri tidak memegang jawatan dalam UMNO, lantas adalah satu perkara yang agak janggal untuk mengangkat Hishamuddin kecuali dengan cara menggunakan SD sebagaimana diusahakan oleh Nazri.
Hishamuddin sendiri mendakwa bahawa tuduhan dia cuba mendapatkan jawatan PM adalah palsu.
****
Tinggalkan Jawapan