Editorial
20 Jun 2021
Boleh dikatakan rata-rata semua ahli politik pembangkang termasuk segelintir daripada mereka yang berada dalam kem Pakatan Nasional telah marah pada Menteri Undang-Undang DS Takiyuddin Hassan yang berdolak-dalik tentang persidangan semula Parlimen.
Inilah antara isu yang terangkat daripada pemimpin PAS yang dikaitkan dengan kedudukan mereka yang telah berpuluh tahun tidak pernah mendapat kuasa tetapi hanya pandai mengkritik.
Dari aspek psikologi, mengkritik itu amat mudah sehingga warna baju, gaya berjalan, gaya wajah dan sebagainya boleh dijadikan bahan untuk kritikan dan menjatuhkan imej seseorang.
Sebaliknya amat payah untuk mengangkat kebaikan seseorang pemimpin, lebih-lebih lagi jika pemimpin itu berlainan kem.
Inilah yang terjadi kepada PH ketika memerintah tetapi hanya kekal selama 22 bulan sahaja, apabila pemimpin mereka menunjukkan kepimpinan buruk dan teruk sehingga ada yang terbabit dengan pengganas anatarabangsa LTTE, menyerapkan ideologi komunis, penyokong pembunuhan anggota bomba, bersekongkol dengan kartel dadah, merembat wang rakyat melalui projek terowong bawah laut yang membazir, menjadikan mahkamah sebagai institusi undang-undang rimba, terlibat dengan kes rogol, memperjuangkan sistem republik dan macam-macam lagi, setelah sekian lama penat mengkritik dan akhirnya mendapat ‘mandat’ rakyat kononnya dengan pembohongan, fitnah dan janji palsu.
Kontradiknya, mereka amat pandai mengkritik.
Orang-orang kuat PAS juga amat pandai mengkritik, kerana sudah berpuluh tahun mereka menjadi pembangkang yang pandai mengkritik.
Dalam kritikan, mereka akan menggunakan hadis dan ayat Quran untuk menjual hujah mereka, supaya nampaklah mereka ulama dari aspek agama.
Berdosa besarlah kalau para ulama dibantah dan tidak disokong oleh rakyat beragama Islam.
Hakikatnya kalau setakat pandai mengkritik sahaja belum membuat seseorang itu layak menjalankan tugas sebagai pemimpin rakyat.
Tapi kalau menjual hadis dan Al-Quran untuk menarik sentimen agama dan kaum bagi mendapatkan sokongan politik, itu sesuatu yang sungguh amat tidak bermoral.
Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim turut menegur kenyataan yang dibuat oleh Menteri Undang-Undang, Datuk Seri Takiyuddin yang dianggap biadab terhadap titah Yang Di-Pertuan Agong untuk membuka semula sidang Parlimen dengan kadar segera.

DS Anwar Ibrahim dalam kenyataannya menjelaskan bahawa PN menyekat sidang Parlimen kerana proklamasi darurat yang mereka cadangkan kepada DYMM SPBYD Agong.
Tetapi setelah berlangsungnya Mesyuarat Majlis Raja-Raja, dengan kebijaksanaan DYMM Agong telah bertitah mengisytiharkan bahawa Parlimen hendaklah bersidang dengan kadar segera.
Mengejutkan apabila Anwar mendakwa Takiyuddin menempelak titah perintah DYMM Agong “secara biadab sekali.”
Takiyuddin dikatakan “masih hendak bersilat dan bertikam lidah dengan cara yang paling lemah dan hambar apabila mendakwa Baginda Tuanku tidak menetapkan tarikh (sidang Parlimen).”
Selalunya masyarakat Malaysia apabila mengulas kenyataan Sultan akan menyatakan rasa terima kasih dengan cara merafak sembah melalui perkataan bersopan iaitu ‘menjunjung kasih ke atas kebijaksanaan Tuanku Baginda’ dan menyimpan jauh perbezaan pendapat terhadap Baginda Sultan.
Anehnya bagi orang yang dikatakan kuat iman dan akidah ini, telah bertindak sebaliknya, yang diterjemahkan ramai sebagai biadab, malah adalah yang mengklasifikasikannya sebagai “derhaka” kepada Sultan kerana menolak titah-perintah Baginda.
Apabila Baginda menggunakan perkataan “segera” dalam titah Baginda, segala aspek, masa, hari, bulan dan tahun sudah secara automatisnya terkandung di dalamnya.
“Segera” atau “secepat mungkin’ itu bermaksud sekarang juga.
Jika hari ini 20 Jun, maka titah “segera” itu hendaklah diambil tindakan hari ini atau sekarang juga.
Lantas, pihak kerajaan hendaklah keluarkan surat jemputan kepada Yang Di-Pertua Dewan Rakyat dan semua ahli parlimen, maklumkan kepada pihak penyelengaraan, dan segala prosedur berkaitan dengannya supaya mereka semua bersedia juga dengan kadar segera untuk tarikh yang diterjemahkan “segera” atau dalam bahasa Inggeris “immediately”.
Tetapi nampaknya orang kuat PAS ni masih nak berdolak-dalik atas sebab yang tidak diketahui.
Adakah dengan sidang parlimen itu, dia akan kehilangan kuasa sebagai seorang Menteri atau dengan kata-kata lain dia akan hilang gaji sekiranya sidang parlimen membawa kepada undi tidak percaya kepada Perdana Menteri?
Tidakkah TS Mahiadin telah memotong gaji para menteri semua untuk selama tiga bulan?
Pihak istana dengan jelas telah bertindak atas keprihatinan dan kasih yang lewah tehadap rakyat.
Setiap orang yang waras dan siuman, pasti memahami bahawa Baginda Sultan telah bertitah sedemikian kerana keluhan rakyat dan pandangan majoriti pemimpin politik yang menuntut supaya darurat dihentikan, manakala Parlimen bersidang dengan kadar “segera.”

Sebelum itu Pemuda PH telah membuat laporan polis terhadap Takiyuddin.
Untuk menutup kelemahan PN dan sikap biadab rakannya itu, Menteri Dalam Negeri, DS Hamzah Zainuddin terus membuat kenyataan bahawa setiap aduan dan laporan polis yang diterima akan disiasat dengan teliti tanpa mengira darjat.
Amat berat tuduhan ke atas Takiyuddin sehingga didakwa oleh Pemuda PH sebagai “derhaka terhadap titah DYMM SPBYD Agong.”

Jadi nampaknya, orang-orang kuat PAS yang dikatakan kuatnya iman dan teguhnya akidah, tidaklah seperti yang digambarkan dan dipersepsikan oleh rakyat.
Malahan hari ini sudah ada yang berani menyumpah-seranah dan memaki-hamun pemimpin PAS yang selama ini amat dihormati kerana persepsi iman dan akidah mereka.

Tidaklah menghairankan sekiranya pemimpin tertinggi PAS dihina dan dikeji oleh netizen yang sememangnya pun biadab, namun penghinaan juga datang daripada ahli Lembaga Pengarah Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (Yadim), Ahmad Sayuti Bashiron, yang menyifatkan pemimpin PAS sebagai seorang yang hina.
Ahmad Sayuti mempersoalkan jawatan “Duta Khas YAB Perdana Menteri ke Timur Tengah Bertaraf Menteri”, yang tidak pernah ada, tetapi diadakan oleh TS Mahiadin untuk mengikat sokongan Presiden PAS.
Bagi Ahmad Sayuti jawatan tersebut adalah “habuan atas persekongkolan sebuah pengkhianatan politik penuh hina dan celaka bersama seorang Tok Guru.”
Adakah mereka juga gila kuasa, gelap mata dengan gaji menteri RM70 ribu sebulan dan selain itu lupa tentang hakikat diri sebagai pemimpin yang harus mengutamakan rakyat, kerana sidang parlimen itu adalah platform kepada manifestasi perasaan, suara dan hak rakyat.

Walau bagaimanapun adakah hebahan media terhadap Takiyuddin itu sebagai agenda memporak-perandakan perpaduan Melayu?
Pertimbangkanlah dan fikir-fikirkanlah.
******
Tinggalkan Jawapan