Oleh Dr Mamat Desa
19 Jun 2021
Ramai politikus, baik daripada blok parti komponen Pakatan Nasional (PN), apatah lagi daripada blok pembangkang, sedang ghairah menanti pembubaran status Darurat negara, kecuali parti Pejuang.
Penamatan status Darurat negara tidak akan mengganggu pelaksanaan PKP 3.0 dan ‘total lockdown’ yang lebih menjurus kepada niat suci untuk menyelamatkan nyawa rakyat jelata, lebih-lebih lagi apabila proklamasi Darurat tidak membantu mengekang pandemik Covid19.

Keputusan menamatkan status Darurat dengan kadar segera oleh titah-perintah Majlis Raja-Raja yang dipengerusikan oleh DYMM SPBYDP Agong, adalah suatu rahmat kepada semua pemimpin politik kecuali beberapa kerat daripada blok komponen PN.
Namun ia merupakan satu tamparan besar kepada parti Pejuang yang mahu kerajaan menubuhkan MAGERAN, terutamanya Tun Mahathir.
Lebih mengecewakan Mahathir, apabila cadangannya untuk melantik dirinya sendiri sebagai Pengarah Mageran secara tidak langsungnya juga telah ditolak.
Dengan itu, sekiranya ada sebarang lantikan PM baharu, maka nama Mahathir juga mungkin akan dipadamkan, dan dikeluarkan daripada senarai calon.
Namun status penamatan Darurat adalah sesuatu yang amat dinantikan oleh semua ahli politik dengan perasaan ghairah dan barangkali dengan agenda tersembunyi yang hanya mereka sahaja yang tahu.
Perkara yang paling utama yang akan terbangkit daripada penamatan status Darurat, adalah Persidangan Parlimen yang mengikut Perkara 55, Perlembagaan Persekutuan, harus diadalah setelah enam bulan tidak bersidang atas kuasa titah-perintah DYMM SPBYD Agong, dan bukan atas kuasa PM mahupun atas nasihat PM.
Mengikut Perkara 55 Perlembagaan Persekutuan, hanya DYMM SPBYDP Agong sahaja boleh memanggil Parlimen untuk bersidang.
Baginda juga mempunyai kuasa mutlak untuk menghenti atau pun membubarkan Parlimen.
Justeru, DYMM SPBYD Agong diperuntukkan oleh Perlembagaan untuk menetapkan persidangan Parlimen dalam tempoh masa enam (6) bulan di antara persidangan yang lepas dalam penggal terakhir, dan tarikh mesyuarat pertama dalam persidangan penggal akan datang.

Bagi para penganalisis politik Malaysia, barang kali apa yang terpampang pada skrin persepsi mereka sekiranya Parlimen bersidang maka perkara pertama yang akan dilaksanakan adalah ‘USUL UNDI PERCAYA’ kepada Perdana Menteri TS Muhyiddin Yassin, sekiranya sebagaimana dijanjikan oleh blok pembangkang sebelum ini bahawa tidak akan ada ‘USUL UNDI TIDAK PERCAYA’ terhadap PM.

Sekiranya ‘Usul Undi Percaya’ terhadap PM Muhyiddin Yassin, mendapati bahawa sokongan terhadap usul tersebut adalah rendah, dengan jumlah majoriti menolak usul tersebut maka pastinya kedudukan Muhyiddin menjadi goyah.
Akibatnya, besar kemungkinan dalam masa terdekat, DYMM SPBYDP Agong, dengan kebijaksanaan baginda, akan menitahkan supaya pemilihan semula pengundian akan dibuat.
Tidak mungkin PRU15 akan diadakan kerana pandemik Covid19 masih berleluasa meskipun sekiranya kadar vaksinasi seluruh negara telah mencapai 80%.
Walau apapun keputusan dan kebijaksanaan baginda, tidak mungkin pemimpin seperti DS Anwar Ibrahim akan berada dalam senarai pilihan baginda sebagai Perdana Menteri baharu bagi menggantikan Muhyiddin, sekiranya pilihan semula perlu dilaksanakan.

Rekod kes sodomi Anwar ditambah pula dengan ucapannya di London School of Economic, serta bantahan daripada Majlis Dakwah Negara, sebagaimana disebarkan atas nama bekas Ketua Polis Negara, Tun Mohammed Hanif Omar, fakta-fakta tersebut tidak memungkinkan dirinya menjadi calon pilihan.

Satu lagi faktor yang tidak menyokong DS Anwar Ibrahim adalah kerana jumlah Ahli Parlimen PKR hanyalah 36 sedangkan UMNO 38, Bersatu 31, PAS18, manakala Pejuang hanyalah 4, kecualilah sekiranya sokongan terhadap Anwar dikira melalui PH yang mempunyai 88 AP ditambah AP daripada parti lain yang menyokongnya.
Calon daripada kepimpinan tertinggi DAP juga, amat mustahil menjadi pilihan calon, kerana masakan pemimpin Cina atau India DAP yang akan dilantik menjadi PM untuk menasihati DYMM Agong khususnya berkenaan agama Islam.
Walau bagaimanapun sekiranya dicongak daripada bilangan kerusi Parlimen terkini mengikut parti untuk melihat kedudukan undian majoriti, maka kedudukan jumlah kerusi adalah seperti berikut.


Adalah terletak atas kebijaksanaan DYMM Agong untuk memilih DS Najib Tun Razak yang menjadi pilihan rakyat meskipun beliau sedang berhadapan dengan kes 1MDB yang sedang dibicarakan di Mahkamah Rayuan dan besar kemungkinan akan dilanjutkan di Mahkamah Persekutuan.
Demikian juga dengan DS Dr Ahmad Zahid Hamidi yang juga sedang menghadapi puluhan tuduhan yang dibawa oleh SPRM.
Sebagaimana yang telah dinyatakan peluang bagi Tun Mahathir juga dilihat sifar kerana dialah yang telah meletakkan jawatan PM ketika memimpin PH sebelumnya, serta faktor usianya yang amat tidak relevan untuk dipilih semula buat kali ketiga.
Besar kemungkinan juga semua kemelut yang melanda politik negara hari ini kembali kepada keadaan asalnya dengan TS Muhyiddin menjadi pilihan, sedangkan PRU15 amat mustahil diadakan dalam masa terdekat.
Oleh itu, sama ada melalui ‘Usul Undi Percaya’ atau ‘Usul Undi Tidak Percaya’ terhadap TS Muhyiddin@Mahiadin Yassin, terdapat kemungkinan ia akan kembali kepada tangannya semula sebagaimana bidalan orang Utara, “Pi Mai Pi Mai Tang Tu Juga.”
*******
Tinggalkan Jawapan