Dr Mamat Desa
18 Jun 2021
Benarkah UMNO sudah berkubur sebagaimana doa Mahathir tempoh hari?
Kalau UMNO sudah berkubur mengapa pula dia sibuk mengingatkan Bersatu bahawa mereka akan kalah pada PRU15 nanti sekira tiada kerjasama dengan UMNO?
Kemudian terpantul pula daripada mulut celuparnya bahawa dia masih sayangkan UMNO.

Kenyataan sedemikian boleh diterjemahkan bahawa UMNO amat kuat, UMNO masih amat relevan dan signifikan pada mata rakyat yang sudah sekian lama bergantung harap pada UMNO.
Keputusan PRU14 adalah satu hakikat ‘try and error’ yang menjahanamkan keharmonian negara, dengan pelbagai musibah yang meleret-leret sehingga ke hari ini.
Sekiranya Tun Mahathir mengatakan bahawa UMNO disemarakkan oleh penyangak, maka katak-katak yang lari meninggalkan UMNO itulah penyangak yang sebenarnya.
Lihatlah bagaimana penyangak mentadbir negara semasa PH berkuasa, kerana penyangak-penyangak itulah yang ditendang keluar oleh UMNO kerana mereka adalah gunting dalam lipatan, dan duri dalam daging.
Dan hari ini mereka menguasai PN pula.
Itulah yang diterjemahkan oleh kaum Melayu yang melihat gelagat pemimpin yang mengkhianati UMNO, sedangkan dalam bahtera UMNO sendiri, perbalahan yang kadangkala hanya bersandarkan fitnah, dengki dan konspirasi terus membara.
Hari ini rakyat seperti merindui keharmonian sebelum PRU14 ketika UMNO-BN berkuasa, tapi sayangnya ia hanyalah memori silam yang realitinya kini, saban hari akar umbi didedahkan dengan pelbagai naratif yang diterjemahkan sebagai perpecahan pemimpin tertinggi UMNO.
Rakyat dapat melihat gelagat Annuar Musa yang tidak lagi seia-sekata dengan Presiden DS Zahid Hamidi.
Annuar menterjemah Zahid sebagai pemimpin yang tidak lagi berpegang kepada prinsip parti, tetapi lebih cenderung kepada tuntutan peribadi.
Adakah ini menjadi faktor mengapa Annuar dilucutkan jawatannya sebagai Setiusaha Agung BN.

Rakyat juga melihat bagaimana DS Shahidan Kassim akan menggugat kekuatan UMNO di Perlis nanti. Hakikat ini berpunca daripada tindakan Zahid memecat Shahidan sebagai Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Perlis.

Kemelut ini dipercayai berpunca daripada sikap mesra Shahidan terhadap pentadbiran Kerajaan PN.
Rakyat juga membentuk persepsi yang negatif terhadap hubungan DS Hishamuddin Tun Hussein Onn dan kepimpinan UMNO kerana dia mempunyai rancangan strategiknya yang tersendiri sejak dia dikatakan bercuti bersama DS Azmin Ali.

Rakyat juga hairan kenapa Presiden DS Zahid Hamidi sudah sekian lama tidak mengadakan mesyuarat Ahli Majlis Tertinggi? Adakah Zahid cuba lari daripada kritikan bersemuka terhadapnya berkaitan dengan kemelut semasa dalam UMNO?
Setelah sekian banyak tuduhan kes rasuah yang mengheretnya ke mahkamah, Zahid dikatakan kehilangan sokongan daripada pemimpin lain dalam UMNO. Namun bukan Zahid sahaja yang diseret ke mahkamah, terdapat juga pemimpin lain dalam UMNO.
Adakah ia satu penganiayaan yang menjadi konspirasi Mahathir ketika PH berkuasa? Inilah persoalan yang berlegar pada pemikiran akar umbi. Malangnya ada pemimpin UMNO yang mahu Zahid berundur.

Akar umbi juga keliru apabila terdapat suara-suara lantang yang mahu Menteri yang terdiri daripada pemimpin UMNO dalam kabinet Muhyiddin, digesa meletakkan jawatan, namun mereka enggan.
Ketempangan BN, usahlah dibicarakan. Apakah yang boleh dibanggakan oleh MCA apabila menyumbang hanya dua kerusi Parlimen kepada ikatan Barisan Nasional, manakala MIC hanya satu kerusi?
Kemudian ada pula suara-suara sumbang yang mahu Zahid melepaskan jawatannya sebagai Presiden UMNO.
Sebaliknya jika diteliti kepada gelagat akar umbi yang masih setia pada UMNO, ramai yang mahu DS Najib kembali memegang tampuk kuasa, tapi malangnya, entah apalah musibah, penganiayaan dan bala yang telah menimpa DS Najib sehingga dia kelihatan terkial-kial melawan tuduhan di mahkamah.
Kes-kes mahkamah yang dibangkitkan oleh pengkhianat UMNO terhadap pemimpin UMNO seperti tidak masuk akal, sehingga berpuluh-puluh tuduhan dikenakan kepada mereka.
Seakan-akan ada konspirasi untuk menguburkan UMNO maka pemimpin UMNO diasak dengan tuduhan kes yang menjadikan rakyat terkeliru antara kebenaran dan penganiayaan.
Sedangkan bangsa DAP yang dilihat menyangak dana rakyat dengan projek yang amat membazir di Pulau Pinang seperti kebal daripada hukuman keadilan.
Sudah ada dua jambatan yang menelan belanja berbilion, menghubungkan Pulau Pinang dengan tanah besar, kini nak buat pula terowong bawah laut. Adakah terowong itu benar-benar signifikan, sedangkan DAP dengan agenda halusnya telah menghalau kaum Melayu keluar daripada pulau itu.
Kes-kes kartel dadah, pengganas LTTE, pembunuhan anggota Bomba di Kuil Mariaman Seafield, penyebaran ideologi komunisme, penyeludupan abu mayat musuh nombor satu negara dan banyak lagi kes yang amat melukakan hati nurani rakyat, menjadi senyap, seakan-akan cair begitu sahaja.

Namun yang tertonjol adalah puluhan tuduhan ke atas satu-dua pemimpin UMNO, yang saban hari menjadi tular di media arus perdana mahupun media sosial cap ayam.
Tempoh hari pada 14 September 2019, umat Melayu-Islam menghemburkan air mata kegembiraan apabila PAS berpelukan dengan UMNO yang sebelumnya telah dikafirkan.
Hampir 2 juta umat Melayu-Islam turun ke jalan raya untuk melihat penyatuan UMNO-PAS menentang ICERD dan kemudiannya Statut Rom.
Kedua-duanya ICERD dan Statut Rom mahu mencairkan kuasa Raja-Raja Melayu serta hak keistimewaan Melayu-Bumiputera dan ketika itulah umat Melayu-Islam bangun berganding bahu dan akhirnya membawa kepada Baiah Perpaduan Ummah.
Malangnya hari ini, setelah beberapa kerat pemimpin PAS diangkat menjadi orang kuat dalam kabinet Muhyiddin atau Mahiadin (tak tahu yang mana satu nama sebenarnya), baiah yang telah terjalin itu seakan terlerai atas alasan Mahiadin lebih berpengaruh kerana dia adalah PM, kerana dia tiada kes mahkamah dan kerana dialah kami peroleh RM70 ribu sebulan setiap seorang daripada kami.
Akhirnya terbangkit juga fitnah itu dan ini yang memisahkan semula ikatan ukhuwah yang pada 14 September 2019, telah disambut dengan air mata kasih sesama umat yang mahu ikatan persaudaraan itu diikat kukuh atas nama Allah yang Satu, yang Maha Esa.
DAP PKR dan Amanah sedang mendesak Mahiadin meletakkan jawatan sekiranya Parlimen gagal bersidang selepas 1 Ogos ini.
Adakah wayang Cina DAP akan kembali berpentas semula sebagaimana pada era PH?
Inilah harga perjuangan Pak Kadok yang menang sorak tapi tanah tergadai.
******
Tinggalkan Jawapan