Oleh Dr Mamat Desa
16 Jun 2021
Geli hati melihat gelagat pemimpin tua yang bercakap berdolak-dalik, dan kenyataan yang dia buat seringkali berkontradik dengan apa yang dia ujarkan sebelumnya.
Tun Mahathir pernah mengutuk Perikatan Nasional sebagai parti yang tidak wujud dan menggelar kerajaan pemerintah (PN) sekarang sebagai Kerajaan Muhyiddin.
Dia menghebohkan, Perikatan Nasional tidak pernah didaftarkan semasa Muhyiddin dilantik sebagai Perdana Menteri ke-8.

Mahathir lupa bahawa semasa PRU14 diadakan pada 9 Mei 2018, tidak wujud sama sekali pakatan pembangkang kerana Pakatan Rakyat telah lama dibubarkan iaitu pada 16 Julai 2015.
Ketika PRU14 diadakan terdapat kelompongan pakatan pembangkang pada pentas politik negara kerana Pakatan Harapan juga masih belum lahir.
Namun pakatan pembangkang telah mengisytiharkan gabungan mereka dengan menggunakan logo PKR semasa PRU14, apabila PKR, DAP, Bersatu dan Amanah berada dalam satu entiti pembangkang.
Tidakkah Mahathir rasa malu menggunakan logo PKR?

Hanya pada 16 Mei 2018 setelah PRU-14 selesai diadakan pada 10 Mei 2018, baharulah Pakatan Harapan ditubuhkan dan didaftarkan secara rasmi oleh RoS. Itu pun RoS di bawah kuasa Mahathir.
Jelas nampaknya rakyat ditipu semasa PRU14 apabila pakatan pembangkang yang menggunakan logo PKR termasuk DAP, Bersatu dan Amanah berselindung di sebalik logo dan panji-panji PKR.
Hari ini Mahathir dengan lantang mengatakan bahawa PN adalah parti yang tidak wujud dan dia menegaskan bahawa kerajaan PN lebih sesuai dinamakan Kerajaan Muhyiddin.
Dengan itu juga pada 10 Mei 2018, kerajaan ketika itu lebih sesuai dinamakan Kerajaan PKR atau jika menurut perkiraan minda Mahathir sebagaimana dia namakan Kerajaan PN sebagai Kerajaan Muhyiddin, maka lebih sesuai kerajaan PH dinamakan Kerajaan Anwar Ibrahim.
Cuma malangnya bagi Anwar ketika itu, terdapat pemimpin gila kuasa yang mengangkat dirinya sebagai PM dan sampai ke sudah tidak mahu melepaskan jawatannya kepada Anwar. Tidak malukah Mahathir?
Hari ini lagi sekali dia lupa bahawa parti Pejuang Tanah Air atau Pejuang yang dia tubuhkan pada 12 Ogos 2020, setelah merajuk meninggalkan Bersatu, juga masih belum didaftarkan.

Lantas, lebih sesuailah Pejuang dinamakan Parti Mahathir kerana ia tidak berdaftar, dan dengan itu tidak sah.
Jika tidak sah maka ulama PAS mungkin lebih suka mengistilahkannya sebagai parti ‘haram’.
Lebih memalukan apabila parti Pejuang hanya ada 4 kerusi Parlimen daripada 222 kerusi di Dewan Rakyat dan hanya ada 5 kerusi DUN daripada 591 di seluruh negara.
RoS menolak pendaftaran Pejuang bukannya kerana desakan politik sebagaimana yang Mahathir tuduh dan fitnah, sebaliknya atas faktor tidak mengikut syarat-syarat pendaftaran yang telah ditetapkan oleh RoS.
Walau apapun yang dicongakkan pada minda rakyat, kejatuhan Pakatan Harapan (PH) adalah satu rahmat politik kerana rakyat sedar kemenangan PH adalah berdasarkan pembohongan, janji palsu, fitnah, hasutan menjadi kerja hariannya dan pelbagai lagi genjotnya.
Muhyiddin atau sesiapa juga telah menyelamatkan negara daripada Pakatan Harapan yang lebih cocok dinamakan parti kakistokrat, kacau-bilau, haru-biru, carca-merba, teruk, buruk dan penuh dengan penyangak terutamanya daripada DAP.

Mahathir sebagaimana yang dia akui, hanyalah ‘PM Boneka’ semasa PH berkuasa– boneka kepada parti yang dominan dalam PH, iaitu DAP.
Mungkin benar juga telahan ramai yang mengatakan dia sudah masuk fasa nyanyuk.
******
Tinggalkan Jawapan