Oleh Dr Mamat Desa
15 Jun 2021
Tindakan mengumpul Surat Akuan Bersumpah Ahli Parlimen (AP) sebagai bukti sokongan terhadap pemimpin tertentu dan penolakan terhadap pemimpin sedia ada, nampaknya menjadi satu trend untuk menjatuhkan kerajaan sedia ada dan menubuhkan kerajaan baharu.
Jika tindakan sedemikian dikatakan sebagai satu kesan sampingan pandemik Covid19, maka ia adalah meleset sama sekali kerana sebelum negara diserang pandemik Covid19, DS Anwar Ibrahim telah menggunakan taktik politik sedemikian untuk merampas kerusi PM. Walau bagaimanapun dia gagal.
Mungkin juga pendekatan sedemikian tercetus setelah Tun Mahathir meletakkan jawatan sebagai PM dan cuba mengetuai Kerajaan Perpaduan tanpa sebarang ikatan kuasa parti politik sebagaimana dia mengemukakan surat peletakan jawatan kepada DYMM Agong pada Feb tahun lalu.
Sebaliknya tindakan Mahathir itu menuntut DYMM Agong mengadakan bancian sebagai alternatif memilih pengganti Mahathir sebagai PM yang baharu. Lantas daripada undian yang melibatkan 222 AP, TS Muhyiddin Yassin telah terpilih.
Namun kemudiannya beberapa kali rakyat dihebohkan dengan Surat Akuan Bersumpah untuk menolak kepimpinan TS Muhyiddin Yassin yang cuba dijadikan bukti bahawa majoriti Ahli Parlimen menyokong DS Anwar Ibrahim.

Pada 23 September tahun lalu, Anwar mendakwa dia mempunyai majoriti hampir dua pertiga AP bagi membentuk kerajaan menggantikan kerajaan PN serta menggugurkan Muhyiddin sebagai PM melalui Surat Akuan Bersumpah AP.
Sokongan Ahli Parlimen itu daripada pelbagai parti termasuk yang berpihak kepada kerajaan sedia ada, namun dia enggan mendedahkan jumlah Ahli Parlimen yang menyokongnya.
Dengan penuh retorik politik dangkal, dia mendakwa sudah diperkenan untuk menghadap Yang Di-Pertuan Agong, namun ditangguhkan kerana baginda ketika itu sedang menerima rawatan di Institut Jantung Negara (IJN).
Anehnya dakwaan Anwar yang mengatakan bahawa terdapat sebahagian AP UMNO yang menyokongnya telah disangkal oleh semua AP UMNO.

Anwar juga dibidas oleh Tun Mahathir, kerana dakwaan itu bukanlah kali pertama, malahan dia tidak mempunyai bukti Surat Akuan Bersumpah AP yang membentuk majoriti sebagaimana yang dia dakwa.
Pada September 2008, Anwar juga pernah membuat dakwaan yang sama untuk menjatuhkan kerajaan BN.

Semalam 14 Jun, heboh lagi bahawa terdapat gerakan untuk menumbangkan Muhyiddin Yassin melalui Surat Akuan Bersumpah AP, sebagaimana didakwa oleh TS Shahrir Samad.
Shahrir menulis dalam siaran FBnya, wujud dua kem sedang menggerakkan usaha menjatuhkan kerajaan PN iaitu pihak dalaman Jemaah Menteri Perikatan Nasional (PN) dengan gabungan menteri UMNO dan Bersatu manakala sebelah pihak lain adalah Pakatan Harapan (PH) yang mengimpikan kerajaan baharu yang dipimpin oleh Anwar Ibrahim.

Bagaimanapun Shahrir menegaskan bahawa ia adalah satu gerakan pengkhianatan terhadap Muhyiddin yang tidak seharusnya berlaku.
Bagi Shahrir adalah tidak relevan untuk menuduh AP UMNO yang dilantik sebagai menteri dalam kabinet Muhyiddin kerana kepimpinan tertinggi UMNO tidak merestui tindakan tersebut.
Apatah lagi UMNO telah secara terbuka menyatakan bahawa parti itu tidak akan bersama Bersatu pimpinan Muhyiddin pada PRU15 nanti dan akan berhenti menyokong PN apabila tempoh Darurat ditamatkan kelak.
UMNO tidak menerima gejala khianat-mengkhianati sedemikian.
Jelaslah bahawa terdapat pemimpin tertentu yang gila kuasa dan tidak sabar menunggu PRU berikutnya untuk berkuasa, sehingga seakan-akan melelong sokongan terhadap kerajaan sedia ada melalui gerakan mengumpul Surat Bersumpah.
Amat menjengkelkan apabila dakwaan bahawa mendapat sokongan melalui Surat Akuan Bersumpah yang cukup hanyalah satu pembohongan politik.
Selain itu terdapat juga pemimpin yang menawarkan diri untuk menjadi Pengarah MAGERAN, sebagai kuasa Interim yang mengawal negara ketika negara berada dalam status Darurat.
Jika MAGERAN diwujudkan nescaya tempoh darurat akan terus tertunda dan segala aktiviti ekonomi negara dan rakyat akan terbantut, manakala pelabur asing akan lari berpindah ke negara lain yang aman dan selesa.
Orang yang berkuasa ketika itu adalah Pengarah Mageran.
****
Tinggalkan Jawapan