Oleh Dr Mamat Desa
13 Jun 2021
Apakah objektif dan matlamatnya apabila Jawatankuasa Khas Bebas Darurat ditubuhkan dengan perkenan DYMM SPBYDP Agong yang terkandung di bawah seksyen 2(1) Ordinan Darurat 2021?
Adakah ia ditubuhkan dengan sengaja untuk fungsi yang bertindanan dengan kuasa kabinet dalam hal menasihati DYMM Agong berkenaan Darurat?
Di bawah Seksyen 2 (1) Ordinan Darurat 2021 itu, jawatankuasa bebas tersebut diberikan tanggungjawab untuk, antara lain, menasihati DYMM Agong mengenai tarikh tamatnya Darurat.
Lantas, dengan itu juga ia menolak tohmahan dan persepsi genjot bahawa kerajaan sedia ada telah mempergunakan Proklamasi Darurat untuk kepentingan politik yang terpesong daripada tujuan murni proklamasi tersebut.
Walau bagaimanapun Proklamasi Darurat 12 Januari 2021 tempoh hari pada hakikatnya telahpun menetapkan bahawa tempoh Darurat akan tamat pada 1 Ogos 2021.
Tidak seperti Proklamasi Darurat 15 Mei 1969 (ditubuhkan dua hari selepas peristiwa berdarah 13 Mei, yang masa perisytiharannya tiada kepastian dan jaminan bahawa perbalahan kaum, rasisme ekstremis perkauman dan gerakan subversif komunis akan tamat pada sekian waktu yang tertentu.
Proklamasi Darurat 12 Januari 2021 ini adalah bertujuan untuk menangani pandemik Covid19, dan tiada kena-mengena sebagaimana perutusan khas TS Muhyiddin Yassin dengan apa-apa perbalahan kaum, ancaman subversif komunis, terorisme, rasisme, dan gerakan ekstremis perkauman.

Walau bagaimanapun Jawatankuasa Khas Bebas Darurat yang terdiri daripada 19 ahli yang dilantik daripada tokoh-tokoh penting jentera negara adalah bebas daripada kuasa kerajaan dan ahli kabinetnya yang sedia ada.
Jawatankuasa ini dipengerusikan oleh bekas Ketua Hakim Negara, Tun Arifin Zakaria dan antara lain ahli-ahlinya adalah bekas Ketua Setiusaha Negara, TS Samsudin Osman, bekas Ketua Polis Negara, TS Norian Mai, dan bekas Panglima Angkatan Tentera, TS Zulkifli Zainal Abidin.
Jawatankuasa yang terdiri daripada 19 tokoh jentera utama negara itu juga melantik beberapa ahli politik daripada pelbagai parti, tanpa melibatkan pemimpin kerajaan kecuali ‘Pengerusi Bersama Jawatankuasa’ iaitu Menteri Undang-Undang, Dtk Takiyuddin Hassan.
Sebagaimana yang didokumenkan pada 14 Januari 2021, dalam Seksyen 2 Ordinan Darurat 2021, ia memperuntukkan penubuhan Jawatankuasa Khas Bebas Darurat yang memberikan pengecualian peruntukan ordinan sedia ada dan memperuntukkan kuasa khas kepada jawatankuasa ini untuk menasihati DYMM Agong mengenai hal tempoh dan penamatan Darurat.
Dengan itu ia mengatasi peruntukan sedia ada sebelumnya yang memberikan kuasa kepada Jemaah Menteri untuk menasihati DYMM Agong dalam hal-hal berkaitan Darurat.

Sebagaimana ditegaskan oleh ahli Jawatankuasa Khas Darurat ini, DS Saifuddin Nasution, “Jawatankuasa ini memikul tanggungjawab yang sangat jelas dan spesifik iaitu ‘menasihati Yang di-Pertuan Agong’ mengenai kewujudan berterusan darurat atau penamatannya”.
Sehingga sekarang Jawatankuasa Khas Bebas Darurat ini masih wujud dan berfungsi menjalankan tugas dengan matlamat akhirnya mempersembahkan laporan kepada DYMM Agong berkenaan tempoh dan penamatan Darurat.
Maka dengan itu tidak timbul persoalan bahawa Jemaah Menteri akan menasihati DYMM Agong berkenaan tarikh tamatnya Darurat.
Inilah antara konflik yang terbangkit apabila tanpa merujuk kepada Seksyen 2(1) Ordinan Darurat 2021, Takiyuddin telah mengeluarkan kenyataan bahawa Jemaah Menteri bertanggungjawab menasihati DYMM Agong untuk memutuskan sama ada Darurat perlu dilanjutkan atau tidak.
Kenyataan Takiyuddin menimbulkan kekeliruan dan membangkitkan polemik serta konflik antara ahli parlimen di luar kabinet kerajaan termasuk parti pembangkang.
Timbalan Speaker Dewan Rakyat DS Azalina Othman Said mengkritik keras kenyataan Takiyuddin bahawa kabinet akan menasihati Yang di-Pertuan Agong mengenai sama ada darurat akan dilanjutkan atau tidak.
Dengan itu Takiyuddin seperti cuba menidakkan kuasa Jawatankuasa Khas Bebas Darurat berkenaan.
Bagi Azalina, kenyataan Takiyuddin itu sama seperti “mengubah tiang gol’.

Ia boleh diterjemahkan sebagai tindakan yang hanya mementingkan muslihat pihak kerajaan dan menidakkan kuasa ‘Jawatankuasa Khas Bebas Darurat’ yang diwujudkan untuk mengekang tindakan ‘bias’ atau berat sebelah pihak kerajaan.
Dengan itu jugalah Azalina mempersoalkan “Apa gunanya membentuk Jawatankuasa Khas Bebas untuk menasihati Yang di Pertuan Agong di bawah Seksyen 2 (1) Ordinan Darurat 2021?”

Pakar Undang-Undang, merangkap Peguam, Haniff Khatri, juga menjelaskan bahawa peranan Jawatankuasa Khas Bebas Darurat, sebagaimana termaktub dalam Seksyen 2 (1) Ordinan Darurat 2021, telah dengan jelasnya mengubah atau mengalihkan tanggungjawab untuk memberi nasihat kepada DYMM Agong daripada kuasa kabinet kepada kuasa jawatankuasa khas berkenaan.
Dengan itu, bagi Haniff Khatri, apa yang dikatakan oleh Takiyuddin adalah salah dan bertentangan dengan Ordinan Darurat 2021.
Nampaknya Takiyuddin sebagai Menteri Hal Ehwal Undang-Undang telah terkeliru dan salah menterjemahkan peruntukan Ordinan Darurat 2021.
Jika tindakan Takiyuddin itu dilihat sebagai mengubah tiang gol, ia juga dipersepsikan sebagai muslihat menjadikan Jawatankuasa Khas Bebas Darurat itu sebagai kosmetik kerajaan PN semata-mata, untuk menyembunyikan realiti.
Isu tarikh penamatan Darurat dilihat amat kritikal pada waktu ini kerana Parlimen digantung sedangkan matlamat asal untuk mengekang dan menamatkan pandemik Covid19 melalui Proklamasi Darurat telah dibuktikan gagal.
Sewajarnya Parlimen dibenarkan bersidang semula.
******
Tinggalkan Jawapan