Oleh Dr Mamat Desa
12 Jun 2021
Sudah beberapa kali Tun Mahathir menyuarakan hasratnya untuk tidak lagi bertanding khususnya pada PRU15 nanti dengan alasan dia sudah berusia 95 tahun.

Malah dia telah membidas DS Anwar Ibrahim sebagai pemimpin yang terlalu tua untuk menjadi PM sedangkan umur dia jauh lebih tua berbanding Anwar.

Mahathir pandai bermain dengan prinsip yang dipegangnya yang dilihat ‘tidak berprinsip’, apabila dia akan menujah jarinya dan mengatakan rakyat mendesak dia untuk menerajui negara.
Pada PRU14 tempoh hari, bekas Timbalan Presiden PKR, Rafizi Ramli, telah mengesahkan dalam kajiannya (Invoke) bahawa kemenangan PH bukanlah kerana faktor Mahathir.
Malah tercetus suara-suara daripada DAP bahawa mereka menggunakan Mahathir untuk memenangi PRU14. Mungkin inilah realiti ‘use Malays to screw Malays’ yang dipegang oleh DAP.
Fakta ini menjadi signifikan apabila Mahathir mengakui bahawa dia adalah ‘PM Boneka’ dan rakyat tahu bahawa tuan boneka itu adalah DAP yang dilihat amat dominan dalam PH dan semuannya tertonjol melalui sikap rakus DAP mengawal ekonomi negara sebagaimana layaknya samseng.

Dia pernah dikritik dalam satu forum antarabangsa kerana dalam usia lebih 90 tahun masih mahu menguasai politik negara, berbanding Amerika dan Britain yang memilih pemimpin muda untuk memimpin negara.
Bukan itu sahaja, Mahathir juga telah diklasifikasikan oleh badan antarabangsa sebagai pemimpin diktator yang sohor, dan Mahathir sendiri memperakui bahawa dia adalah diktator.

Ramailah pemimpin lain yang dilihat berpotensi, berkarisma dan berbakat dalam konteks kepemimpinan telah ‘dibunuh’ (political assassination) atau setidak-tidaknya telah dicantas oleh Mahathir seperti Tunku Abdul Rahman, Tun Hussien Onn, Tun Abdullah Badawi, DS Najib Razak, Tun Musa Hitam, DS Anwar Ibrahim, Tengku Razaleigh Hamzah, Tun Salleh Abbas, terkini TS Muhyiddin Yassin, dan ramai lagi, kerana mereka tidak mahu dijadikan boneka atau sebagaimana lembu yang dicucuk hidungnya.
Semalam, pemerhati media dan penganalisis politik tersenyum sinis, apabila Mahathir mengaku dia telah membawa cadangan untuk menubuhkan MAGERAN kepada Kebawah DYMM SPBYDP Agong untuk mengurus tadbir negara bagi menggantikan kerajaan PN sedia ada, dan dia mahu dilantik sebagai Pengarah MAGERAN.

Mahathir seperti cuba mengelabukan mata rakyat bahawa masalah yang menyelubungi negara hari ini bukanlah masalah kesihatan akibat pandemik Covid19, sebaliknya masalah yang lebih besar sebagaimana subversif komunis, ekstrimis kaum atau rasisme, atau mungkin juga terorisme.
Menurut Presiden ‘Gerakan Antarabangsa Untuk Dunia Keadilan’ (JUST), Dr Chandra Muzaffar, MAGERAN yang ditubuhkan pada 15 Mei 1969 adalah berfungsi sebagai kerajaan sementara (interim) dan berusaha untuk memulihkan kedaulatan undang-undang dan membawa negara ke arah perdamaian nasional.
Perdana Menteri ketika itu, Tunku Abdul Rahman telah memilih untuk tidak menerajui MAGERAN sebaliknya melantik Tun Abdul Razak sebagai pengarah MAGERAN.
Tunku memberikan rasional bahawa beliau mahu seseorang yang boleh memberi perhatian penuh dan Tun Razak masih muda, oleh itu Tun Razak telah dilantik untuk memikul tanggung jawab tersebut.
Anehnya hari ini rakyat lihat orang tua seperti Mahathir pula yang menawarkan diri, sedangkan negara tidak memerlukan MAGERAN untuk melawan Covid19.
Situasi negara hari ini tidak menjadikan ia relevan untuk menubuhkan MAGERAN sebagaimana MAGERAN ditubuhkan setelah tercetusnya perbalahan dan pembunuhan antara kaum semasa peristiwa berdarah 13 Mei.
Boleh dikatakan semua parti politik utama seperti PH, UMNO, PAS, PBS, GRS Sabah, GPS Sarawak dan Amanah menolak penubuhan MAGERAN.

Apabila MAGERAN ditubuhkan, maka Parlimen akan terus digantung, dan yang berkuasa dalam urus tadbir negara adalah Pengarah MAGERAN, dan jawatan itulah yang didambakan oleh Mahathir.
Sekiranya Mahathir mencadangkan dirinya sebagai Pengarah MAGERAN, ia bermakna dia adalah PM Interim apabila kerajaan sedia ada digantung melalui proklamasi Darurat dan Dewan Rakyat juga digantung dalam tempoh Darurat.
Dengan jawatan itulah lagi sekali dia akan bertindak sebagai diktator, mengawal undang-undang dan bertindak ala Gestapo untuk ‘membunuh karektor politik’ yang tidak tunduk kepada kehendaknya.
Sebagaimana dilaporkan Astro Awani, apabila ditanya siapa yang perlu mengetuai MAGERAN, Mahathir mencadangkan dirinya, “namun tidak bermasalah jika individu lain mengetuainya, selagi mana beliau dan Pejuang boleh menyumbang idea.”
Pada sintaksis dan semantik ‘namun…’ itu terkandung retorik dan diplomasi politik kerana sekiranya dilantik individu lain untuk mengetuai MAGERAN, pastinya individu itu akan menjadi sasaran serangannya sebagaimana berlaku pada semua PM yang telah menggantikannya dan PM sebelum dia berkuasa.
Alangkah bahayanya negara dari aspek kestabilan politik, kestabilan sosial, dan ekonomi, sekiranya MAGERAN diwujudkan dengan penggantungan Parlimen, dan diketuai pula oleh seorang diktator, yang pernah dijadikan boneka oleh parti cauvinis seperti DAP.
Lantas, tidak apa yang dapat dilihat daripada cadangan dan justifikasi penubuhan MAGERAN, kecuali kerakusan manusia gila kuasa.
******
Tinggalkan Jawapan