Oleh Dr Mamat Desa
12 Jun 2021
Benarkah Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Tugas-tugas Khas) DS Mohd Redzuan Md Yusof (Pak Wan) disingkirkan daripada Majlis Keselamatan Negara sebagaimana yang dia dakwa?

Atau sebenarnya PM TS Muhyiddin Yassin sekadar mahu Pak Wan duduk diam agar urusan pengendalian vaksinasi tidak kelam-kabut kerana terlalu banyak suara sumbang yang bising dan hingar-bingar sehingga memberikan dampak negatif kepada program vaksinasi negara.
Sedangkan netizen dan rakyat diberi amaran keras akan diambil tindakan melalui Akta KMM jika membangkitkan sebarang isu tentang vaksin, inikan pula tokoh politik berpangkat Menteri.

Sekiranya DS Tajuddin Abdul Rahman disingkirkan daripada Prasarana, ramai yang faham kerana dia adalah ahli parlimen UMNO.
Bukankah UMNO sudah menyatakan pendirian tidak akan bekerjasama dengan Bersatu pada PRU15 nanti. Pastinya Bersatu Muhyiddin amat jengkel dengan UMNO termasuklah Tajuddin sekali.
Mungkin juga Pak Wan telah membawa legasi imej buruk apabila mencadangkan projek kereta terbang tempoh hari kepada kerajaan PH, tetapi gagal semasa promosinya di Subang.

Dalam situasi sensitif dengan pelbagai sentimen politik yang disebabkan pandemik Covid19, manakala proklamasi Darurat tidak memberi kesan yang signifikan kepada pengekangan pandemik itu, dan lantas terheret sekali isu ekonomi yang terganggu oleh ‘total lockdown’, maka kritikan daripada pihak dalaman parti hendaklah sifar.
Jika tidak Pak Wan, bertambah buruklah imej PN dan Muhyiddin, yang ditimpa macam-macam halangan dan rintangan untuk memajukan negara.
Sudahlah Muhyiddin terpaksa menerima ‘name calling’ ‘bodoh’ daripada netizen, Pak Wan pula cuba menjustifikasikan label ‘bodoh itu’.
Atau hakikatnya, Muhyiddin dan konco-konco tidak mahu lagi menerima Pak Wan pada PRU15 nanti.
Pak Wan harus sedar diri, bahawa Pak Wan menang pada PRU14 di P135 Alor Gajah yang merupakan kawasan tradisi parlimen BN.
BN dah kata dia tidak akan mahu menyerahkan kawasan parlimen yang menjadi milik tradisinya.
Lantas, pada PRU15 ini Pak Wan mungkin akan tersepit sekiranya UMNO mahu mengambil semula parlimen itu, meskipun sebelumnya diberikan kepada MCA.
Pak Wan menang di P135 pun bukan banyak, hanya 10% daripada jumlah keseluruhan undi. Bayangkan kalau UMNO bergabung dengan PAS, ditambah dengan sokongan MCA, apa akan jadi pada PAK Wan?
Lagipun semasa PRU14, pengundi tertipu dengan janji-janji PH, sekarang ini pengundi terutamanya anak-anak muda, sudah sedar tentang penipuan, pembohongan, janji palsu dan fitnah PH semasa PRU14.
Jadi, mungkin juga penyingkiran PAK Wan daripada MKN adalah satu signal kepada Pak Wan supaya segera mencari dahan baharu untuk bergantung.
Pak Wan tidak boleh mengharap kepada Bersatu yang sudah menjadi ‘bunga layu’.
Lihatlah Pak Wan, Bersatu Melaka amat parah dengan gejala lumpuhnya Bersatu seluruh negara, kecuali Alor Gajah yang tidak mahu Muhyiddin dan Mahathir bertelagah.
Maksudnya apa Pak Wan? Maksudnya Bersatu Alor Gajah ada ramai tentera trojan Mahathir.

Muhyiddin mungkin masih simpan dendam mengapa Pak Wan pergi mengadap Mahathir pada Mei tahun lalu, meskipun Pak Wan masih dalam kuarantin.
Meletup dalam media sosial Pak Wan nak lompat masuk kem Mahathir. Tapi baguslah Pak Wan dah mengaku pergi jumpa untuk pujuk Mahathir bantu PM Muhyiddin.
Malangnya Pak Wan semua orang akan percaya pada Pak Wan kah? Pak Wan pergi pujuk Mahathir? Orang tua itu bukan senang dipujuk, hati keras macam besi martul?
Pak Wan mesti tahu itu.
Fikir-fikirkanlah Pak Wan.
******
Tinggalkan Jawapan