RAKYAT MAHU SUARA MEREKA DIDENGAR, BUKAN MAGERAN

Oleh Dr Mamat Desa

10 Jun 2021

Setiausaha Sulit PM, Datuk Marzuki Mohamad membangkitkan isu MAGERAN atau Majlis Gerakan Negara, dalam FB setelah isu tersebut terbangkit dalam kalangan netizen melalui blog-blog tertentu.

Namun Malaysiakini mendedahkan bahawa isu tersebut telah menjadi bahan perbincangan antara Tun Mahathir dan Anwar Ibrahim. Walau bagaimanapun kandungan terperinci perbualan tersebut tidak didedahkan.

Dalam situasi negara sedang bergelut dengan pandemik Covid19, adakah isu MAGERAN menjadi relevan?

Sebagaimana MAGERAN 1969 yang menjadi badan pentadbiran negara, setelah parlimen digantung dan proklamasi Darurat diisytiharkan, adakah keadaan semasa negara begitu terancam dari aspek perpaduan negara, sehingga MAGERAN perlu mengambil alih kerajaan?

Situasi Darurat 1969 adalah jauh berbeza, kerana negara ketika itu sedang berhadapan dengan isu perbalahan kaum 13 Mei yang amat serius dan negara memerlukan tindakan pembinaan semula perpaduan kaum multietnik negara.

Jika tidak negara akan menjadi huru-hara sebagaimana ‘warlords’ berkuasa di negara-negara Afrika yang bergelut dengan ketidakstabilan politik apabila parlimen mereka sedang nazak.

Pada situasi semasa, Pandemik Covid19, bukanlah ancaman kepada perpaduan negara, sebaliknya ia adalah ancaman kepada keselamatan rakyat dalam konteks kesihatan dan nyawa, dan keadaan amat memerlukan tindakan bijaksana dan efisien kerajaan untuk melawan pandemik tersebut.

Meskipun PKP3.0 yang menjurus kepada kawalan penuh atau ‘total lockdown’ kesan positifnya belum lagi nampak signifikan atau jelas. Kadar jangkitan masih tinggi dalam pola naik-turun.

WHO telah mengklasifikasikan Malaysia sebagai antara negara yang paling teruk ditimpa bencana Covid19, malah dari aspek jangkitan per kapita, situasi Malaysia adalah lebih teruk daripada India. Sungguh memalukan dan menggerunkan.

Perkara utama yang diberikan perhatian dalam pertemuan pemimpin-pemimpin utama parti politik dengan DYMM SPBYDP Agong ialah usaha menangani Covid19 dan cadangan menamatkan Darurat.

Ekoran itu, Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Mohd Puad Zakarshi, membangkitkan persoalan kenapakah MAGERAN menjadi isu?

Adakah pihak yang cuba membangkitkan isu MAGERAN cuba mengalih pandangan rakyat daripada soal kelemahan kerajaan menangani Covid19, sehingga terpaksa mengisytiharkan Darurat?

Bagi Puad, sekiranya Darurat dibangkitkan kerana kegawatan kesihatan yang disebabkan Covid19, maka Parlimen tidak sewajarnya digantung.

Parlimen sewajarkan berfungsi untuk memantau pentadbiran negara supaya wujud tindakan ‘semak dan imbang’.

Di sinilah pelbagai pihak melihat muslihat pihak kerajaan mengisytiharkan Darurat, sedangkan apa yang sedang melanda negara ialah soal kawalan menangani wabak Covid19, dan bukannya wabak suara rakyat atau wabak politik yang mengancam nyawa rakyat.

Namun timbul juga persoalan sama ada MAGERAN yang dibangkitkan oleh SUS PM, Datok Marzuki Mohamad, cuba dijadikan senjata oleh pihak yang tamak kuasa dan gila kuasa?

Lantas mengapa Tun Mahathir yang dikatakan memusuhi Anwar sejak lama, tiba-tiba berhubung dan membicarakan soal MAGERAN?

Tidakkah Wanita dan Pemuda PKR telah beberapa kali mendesak agar sebarang kerjasama Mahathir dan PKR hendaklah ditolak?

Perbualan Mahathir-Anwar menerusi telefon pada 28 Mei telah antara lain membincangkan cadangan penubuhan MAGERAN. Hal ini telah didedahkan dalam mesyuarat Majlis Pimpinan Pusat PKR pada 29 Mei, meskipun tiada perincian maklumat tentang hal berkenaan.

Tidaklah diketahui adakah MAGERAN dibangkitkan untuk menangani soal kestabilan politik, ekonomi, keselamatan dan penderitaan rakyat marhaen?

Atau MAGERAN mahu ditubuhkan untuk mencairkan kuasa Muhyiddin Yassin sebagai PM?

Banyaklah pihak yang telah mengaitkan sikap ‘berat sebelah’ kerajaan terhadap golongan kapitalis dan golongan ‘kayangan’ berbanding dengan rakyat marhaen ketika melaksnakan PKP 3.0 dan situasi Darurat.

Namun sekiranya MAGERAN menjadi topeng kepada pemimpin tamak kuasa dan gila kuasa, sebagaimana wujudnya perbalahan Mahathir-Anwar sejak 1998, maka hendaklah ia dilupakan.

Sebaliknya berikan tumpuan kepada soal Covid19 yang masih menggerunkan setelah wujudnya varian ‘triple virus mutation’ dari pelbagai kategori.

Soal Darurat juga hendaklah dibincangkan secara tuntas kerana ia lebih banyak memberikan dampak negatif apabila pelabur asing keluar meninggalkan negara.

Sebagaimana proklamasi Darurat 1969, ia hanya memberikan gambar negatif terhadap kestabilan politik dan kestabilan sosial.

Oleh itu amat wajarlah dua isu utama ini diperbincangkan daripada meleret kepada isu yang akan mengheret negara kepada keadaan yang lebih parah lagi seperti MAGERAN.

*****

Advertisement

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out /  Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out /  Tukar )

Connecting to %s

Website Built with WordPress.com.

Atas ↑

%d bloggers like this: