Oleh Dr Mamat Desa
8 Jun 2021
Menteri Kewangan, Tengku Zafrul Aziz, janganlah tuan hendak mempertahankan legasi Lim Guan Eng, dengan falsafah “Rakyat harus berkorban, tiada istilah wang percuma’.

Rakyat bukan minta ‘wang percuma’ pada situasi kemelut menentang pandemik Covid19 ini dan diasak pula dengan ‘total locvkdown’ dan proklamasi Darurat.
Rakyat hanya minta pihak bank membenarkan penangguhan bayaran hutang melalui moratorium bank.
Kuasa membenarkan penangguhan hutang itu ada di tangan tuan. Jangan zalimi rakyat.

Ingatlah sikit bahawa tuan bukan dilantik oleh rakyat, tetapi dilantik atas ikhsan PM, dan PM itu terlantik daripada PRU, melalui mandat rakyat.
Tuan seperti Menteri Kapitalis Bank, bukan Menteri yang membela rakyat, sedangkan tuan sedar bahawa kerajaan adalah pemilik saham yang terbesar bank-bank di seluruh negara.
Ingatlah sikit, ini adalah era Darurat dan serangan Covid19, ketika keadaan amat terhimpit bagi rakyat. Ramai ketua keluarga yang telah mati dibunuh oleh Covid19.
Parlimen yang membawa suara rakyat, tidak dibenarkan beroperasi tetapi 158 ribu kilang kapitalis dibenarkan beroperasi.
Apa maksudnya Zafrul? Tidakkah tuan dan kerajaan menyekat suara rakyat dan suara yang membela rakyat melalui sidang parlimen?
Sebaliknya tuan dan kerajaan membela keuntungan kapitalis.
Golongan miskin yang berkerja sebagai peniaga kecil tidak dapat hendak bernafas apabila perniagaan mereka tersekat oleh ‘Total Lockdown PKP 3.0’.
Tuan yang hidup dalam keluarga mewah, tuan tidak akan faham.
Kami kesal kerana kerajaan melantik tuan yang tidak memahami penderitaan rakyat. Tanyalah diri tuan sendiri apa yang golongan M40 dapat di tengah-tengah kesempitan Darurat dan ‘total lokdown’ PKP 3.0 ini?
Pendapatan mereka terjejas seperti mereka tidak mendapat apa-apa bantuan, sebaliknya terus ditekan dan dihimpit penderitaan ekonomi.
- Moratorium pinjaman bank – Tiada
- Moratorium PTPTN – Tiada
- Bantuan tunai BPR- RM 0.00
- i-Sinar 2.0 – Tiada
- i-Lestari 2.0 – Tiada
- Diskaun Elektrik – 0.00%
Kalau setakat RM300-RM500 bagi golongan B40 sekalipun, cukupkah untuk rumah tangga mereka selama satu setengah bulan ‘total lockdown’ PKP 3.0 ini?
Ada yang mempunyai anak kecil yang perlukan susu dan makanan sedangkan mereka tidak tahu erti PKP 3.0, ada anak yang masih bersekolah tetapi mereka tidak tahu bagaimana ayah hendak dapatkan wang membeli komputer untuk pembelajaran ‘online’ membayar talian ‘wifi’ serta bil elektrik.
Bagaimana dengan beras, gula tepung, minyak masak, gas dapur dan macam-macam lagi keperluan harian?
Jika ayah berniaga juga, ayah melanggar SOP ‘total lockdown’. Ayah akan disaman atau mungkin juga ayah dipenjara.

Cuba bayangkan Zafrul, pendapatan tidak ada, tetapi bank masih menuntut hutang, siap dengan amaran bahawa ‘tindakan akan diambil’ terhadap penghutang.
Adakah tuan juga akan menggunakan klise ‘kerajaan tak ada wang’ atau ‘bank tidak ada wang’?
Adakah tuan juga seperti Menteri Kewangan DAP-PH yang membohongi rakyat bahawa hutang negara adalah RM1 trilion sedangkan ia hanyalah RM686 bilion.
Untuk apa rakyat memilih kerajaan dan parti pemerintah semasa PRU, jika bukan untuk membela rakyat?
Kalau tuan hendak membela kapitalis bank, maka tak payahlah kami mengundi untuk memenangkan parti pemerintah sedia ada. Biar pegawai bank sahaja yang keluar mengundi.
Duit yang kami simpan dalam KWSP untuk digunakan pada waktu terhimpit juga tuan sekat. Inilah masanya untuk kami gunakan wang tersebut, kerana kami sedang terhimpit.
Tentang moratorium tuan kata kerajaan tidak kawal bank. Janganlah tuan buat rakyat bodoh, tidakkah kerajaan yang mengeluarkan lesen pada bank?
Tidakkah dalam peruntukan undang-undang, kerajaan boleh gunakan Akta Perkhidmatan Kewangan 2013 Seksyen 10 dan 11, sekiranya kerajaan gagal menggunakan budi bicara untuk pihak bank melaksanakan moratorium?
Akta berkenaan memperuntukkan kuasa kepada Menteri Kewangan seperti tuan, dan Bank Negara untuk memperbaharui lesen perbankan, dan syarat boleh dikenakan ketika bank-bank dalam negara mahu memperbaharui lesen mereka bagi tujuan melindungi kepentingan negara.
Di mana alasannya yang mengatakan kerajaan rugi jika moratorium dilaksanakan? Adakah kerana moratorium PKP 2.0 dahulu, kerajaan menanggung kerugian? Cuba jelaskan!
Dengan itu tuan sebagai Menteri Kewangan, mempunyai kuasa mengarahkan pihak bank bagi melaksanakan moratorium dan pengecualian faedah pinjaman.
Kami tahulah tuan sebelum dilantik menjadi menteri, tuan adalah pegawai tinggi bank. Tapi tuan harus ingat apabila tuan sudah dilantik menjadi menteri, tuan bukan lagi pembela bank, tuan adalah pembela rakyat.
******
Tinggalkan Jawapan