
Apabila Menteri Kanan Kementerian Pertahanan, DS Ismail Sabri mengemas kini Instagramnya dengan ayat “Saya dah tutup pintu depan tapi..” yang disertai emoji sedih, ramai yang melihat kenyataan itu berkaitan dengan tindakan Menteri Kanan Ekonomi yang mencabuli PKP Penuh atau ‘Total Lockdown’ MCO 3.0.
Walaupun isu ini hanyalah satu tanggapan sahaja, namun hakikatnya rakyat, ahli politik, penganalisis media, dan intelektual yang peka dan prihatin terhadap penularan Covid19, rasa tertekan dengan 128 ribu kilang yang melibatkan 1.57 juta pekerja, dibenarkan beroperasi. meskipun dalam tempoh ‘Total Lockdown’.

Lantas rakyat bertanya adakah kerajaan PN menjaga nyawa rakyat?
Dengan kekeliruan yang ada, kementerian manakah yang bertanggungjawab untuk mengawal penularan pandemik Covid19; Kementerian Pertahanan atau Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri?
Isu berkenaan meleret pula kepada cadangan menyekat DS Azmin Ali daripada mencampuri tugas DS Ismail Sabri.
Mungkin inilah yang menjadi punca kepada ‘tutup pintu hadapan” tetapi malangnya ada yang ‘membuka pintu belakang.’
Azmin tidak boleh menyekat dan marah jika terbangkit spekulasi kerana MITI seakan-akan tidak sensitif terhadap kematian lebih 2993 nyawa yang menjadi mangsa pandemik Covid19, dengan jumlah jangkitan tertinggi 9020 sehari dengan jumlah kumulatif jangkitan 595,374 dan dijangka terus meningkat.

Terkini, daripada rekod WHO, Malaysia adalah antara 10 negara terburuk dunia dalam konteks serangan Covid19, dan pada kadar per kapita, Malaysia adalah lebih teruk daripada India.
Namun mengapakah pelaksanaan ‘Total Lockdown’ seperti dipermainkan oleh menteri seperti DS Azmin Ali.
Rakyat dan penganalisis media merasa hairan kenapakah MITI (Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri) di bawah kuasa DS Azmin Ali tanpa mengira sensitiviti dan nyawa rakyat, membenarkan 128 ribu kilang dan syarikat beroperasi sepanjang tempoh ‘Total Lockdown’ yang bermula dua hari lepas (1 Jun).
Daripada senario yang menjadi isu media, rakyat melihat bahawa pertamanya, terminologi ‘Total Lockdown’ adalah salah atau disalah guna oleh kerajaan, atau mungkin juga mereka jahil dalam soal semantik.

Keduanya, mengapakah sedemikian banyak syarikat perkilangan yang masih dibenarkan beroperasi (128,000 kilang dengan 1.57 juta pekerja), sedangkan secara prinsipnya tempoh dua minggu ini adalah ‘Total Lockdown’?
Ketiganya, adakah terdapat unsur-unsur rasuah yang harus dirungkaikan oleh SPRM sekiranya ada syarikat yang tidak sepatutnya beroperasi, tetapi dibenarkan beroperasi?
Sebagaimana dilaporkan Malaysiakini “terdapat syarikat yang tidak memenuhi kriteria perkhidmatan penting namun telah menerima lampu hijau daripada MITI.”
Ramai yang hairan apabila syarikat kasut, foto, penjagaan diri, perkakas rumah dan perabot telah dibenarkan beroperasi dalam tempoh ‘Total Lockdown’ ini.

Hari ini sudah masuk hari ketiga ‘Total Lockdown’ namun tiada perubahan ketara yang dapat dilihat pada statistik jangkita Covid19. Adakah ‘Total Lockdown’ ini juga akan gagal?

Sewajarnya untuk memenuhi prinsip ‘Total Lockdown” dalam tempoh dua minggu ini, semua operasi syarikat dan kilang hendaklah dihentikan.
Namun dalam hal syarikat berkepentingan seperti produksi makanan dan minuman, syarat ketat hendaklah dikenakan. Mereka hanya wajar dibenarkan beroperasi, setelah pekerja mereka menerima suntikan penuh vaksin, dan diberikan keutamaan untuk vaksinisasi.
Bagi syarikat yang tidak berkepentingan tetapi melibatkan golongan pekerja tempatan yang terkesan oleh himpitan ekonomi, maka kerajaan hendaklah memberikan bantuan cuti gaji penuh kepada mereka, sepanjang ‘Total Lockdown’ PKP 3.0.
Cukuplah dengan naratif ‘pintu belakang’ yang menjijikan daripada ‘pintu belakang seks songsang’ kepada ‘pintu belakang’ kerajaan PN yang menamatkan 22 bulan pemerintahan kerajaan kakistokrasi PH.
Sekarang ini bukan ketikanya rakyat dihidangkan dengan naratif politik songsang sedemikian, sebaliknya inilah masanya kita tuntas bertekad, komited dan serius tanpa dolak-dalek untuk melawan Covid19.
Kalau boleh MITI jangan masuk campur urusan mempertahankan negara daripada serangan Covid19 yang amat menakutkan ini. Jagalah nyawa rakyat daripada mempertahankan tembolok kapitalis.
****
Tinggalkan Jawapan