Oleh Dr Mamat Desa
31 Mei 2021
Sebagai satu gerakan solidariti mempertahankan DYMM SPBYDP Agong, 11 badan bukan kerajaan (NGO) termasuk pemimpin UMNO, Armada, Bersatu dan Gerakan telah tampil membuat laporan polis terhadap kenyataan yang menghina DYMM Agong melalui video milik pemimpin pro-PKR.

Mereka mengecam pemimpin PKR yang masih membela Pengerusi Pro-Keadilan Sarawak Iswardy Morni, setelah didakwa melemparkan kenyataan berbaur hasutan dan penghinaan terhadap DYMM Agong.
Rakaman video Iswardy Morni, yang kini menetap di Kajang, jelas menunjukkan luahan kata-kata yang menghina dan biadab terhadap DYMM Agong.
Adakah kerana dia datang daripada negeri yang tidak beraja, maka dia jahil tentang kebiadaban terhadap institusi Diraja?
Anehnya PKR mengakui bahawa perkara itu bukan pertama kali berlaku.
Adakah kerana ia pernah berlaku maka ia menghalalkan kebiadaban dan penghinaan yang sedemikian?
Sememangnya telah beberapa kali berlaku dan PDRM telah mengambil tindakan yang sewajarnya.

Lantas mengapakah parasit dan liabilitI politik seperti Iswardy ini masih dipertahankan PKR?
Netizen juga rata-rata mengutuk dan membenci video-video Iswardy yang berunsurkan kritikan politik yang hanya bersandarkan emosi dan pemikiran sempit-genjotnya sahaja.
Pada Julai 2019, rakyat yang mempertahankan institusi DiRaja, khususnya Raja-Raja Melayu, bersyukur kerana Wan Ji Wan Hussin yang dikenali juga dengan jolokan ustaz DAP, telah dijatuhi hukuman penjara setahun.

Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Abdul Halim Aman ketika membacakan ringkasan kehakiman menyatakan bahawa penerbitan kata-kata Wan Ji adalah satu penghinaan terhadap DYMM Sultan Selangor, bukan sahaja sesuatu yang menghasut, malah ia cuba menanam sifat kebencian rakyat terhadap institusi DiRaja.
Kes ini adalah suatu tindakan yang melampaui batas dan Datuk Abdul Halim mengingatkan tertuduh tentang prinsip Rukun Negara iaitu ‘Kesetiaan Kepada Raja.’
Namun setelah sehari dipenjara, dia dibebaskan kerana pihak Mahkamah Tinggi menerima permohonan rayuannya di Mahkamah Rayuan.
Siapakah di belakang Wan Ji yang biadab ini yang berani mengindoktrinasi pemikiran golongan muda dengan hasutan yang amat keji terhadap golongan istana?
Sebelum itu pun terdapat beberapa kes menghina institusi DiRaja melalui media sosial.
Dimanakah pegangan Keluhuran Perlembagaan dan Kedaulatan Undang-undang yang meletakkan kedudukan Raja-Raja Melayu dan Ketua Agama Islam sebagai antara prinsip Rukun negara selama ini?
Apakah sememangnya signifikan kewujudan golongan tertentu dan parti politik tertentu yang mahu menghapuskan institusi DiRaja.

Sebelum ini juga PDRM telah menerima laporan tentang kebiadaban Fahmi Reza yang mengeluarkan kenyataan yang menghina institusi DiRaja atas alasan satira dan hak kebebasan bersuara.

Kepada pengguna media sosial, adakah kebebasan bersuara juga bermakna kebebasan menghina orang lain, memfitnah, mencaci-cerca dan memaki-hamun?
Jika inilah nilai media sosial, maka suatu hari nanti, dengan longgokan pengguna yang tidak bertamadun, media sosial akan hanya dipenuhi oleh manusia yang bersifat ‘kebinatangan’ dan mereka akan terus mempertahankan kebebasan bersuara termasuk kebebasan menghina, mencaci-cerca dan memaki-hamun sesiapa sahaja yang mereka suka.
*******
Tinggalkan Jawapan