SEMUA MAHU DARURAT DITAMATKAN KECUALI MUHYIDDIN-PN

Oleh Dr Mamat Desa

30 Mei 2021

Pelbagai pihak daripada NGO, penganalisis politik, veteran politik, parti politik, baik dalam blok kerajaan, mahupun pembangkang telah menyuarakan pandangan mereka supaya tempoh darurat yang dijangkakan tamat pada 1 Ogos ini ditamatkan segera.

Proklamasi Darurat, sebagaimana dirujuk pada teks perutusan PM TS Muhyiddin Yassin yang diterbitkan oleh Pejabat PM, pada 4 Februari 2021 telah menghuraikan dengan panjang lebar, bahawa perkara dasar pelaksanaan darurat pada 13 Januari 2021 adalah untuk menangani pandemik Covid19 di seluruh negara.

Sebagaimana dicatatkan dalam Perkara 17, satu Jawatankuasa Teknikal Pengurusan Darurat telah ditubuhkan untuk memastikan pelaksanaan darurat dalam hal melawan Covid19 dapat diurus dengan cekap dan berkesan.

Secara kasarnya, jelaslah bahawa pelaksanaan Proklamasi Darurat pada 13 Januari lalu adalah untuk melawan Covid19 serta memperkukuhkannya dengan tindakan meminda akta yang ada dalam hal mengawal penyakit berjangkit.

Walau bagaimanapun terdapat persepsi yang berlegar bahawa Proklamasi Darurat dilaksanakan kerana PM Muhyiddin Yassin cuba menolak usul undi tidak percaya terhadap beliau atas rasional bahawa sokongan kepada PN sudah jauh merosot.

Pihak pembangkang masih tebal dengan persepsi ‘kerajaan tebuk atap’ dengan tuduhan bahawa PN di bawah Muhyiddin tidak mendapat mandat daripada rakyat.

Hakikatnya Muhyiddin telah diberikan mandat oleh DYMM Agong yang lebih wajar diterjemahkan sebagai ‘kerajaan pintu istana’.

Pada 13 Januari, iaitu tarikh yang mendesak kerajaan PN melaksanakan Proklamasi Darurat, kadar dan kes jangkitan baharu Covid19 adalah 2,985 dengan kes jangkitan kumulatif 144,518 dan jumlah kumulatif kematian adalah 563.

Malangnya rekod terkini yang dicatatkan oleh KKM pada 29 Mei 2021, kira-kira 4 bulan setelah Proklamasi Darurat, telah menunjukkan peningkatan kes yang hampir menegak apabila kes jangkitan baharu adalah 9,020, dengan jumlah kumulatif jangkitan adalah 558,534 dan jumlah kumulatif kematian adalah 2650.

Daripada data statistik yang dikeluarkan KKM pada 13 Januari berbanding 29 Mei 2021 (semalam), dapatlah dilihat dengan jelas bahawa jumlah kes jangkitan, jumlah kumulatif kes dan jumlah kumulatif kematian telah meningkat mendadak dan hampir menegak seperti ditunjukkan oleh graf bar berikut.

Kadar Kes Jangkitan Baharu meningkat 202.2% setelah proklamasi Darurat dilaksanakan.

Kadar Jumlah Kumulatif Kes meningkat 286.5% setelah empat bulan proklamasi Darurat.

Kadar Jumlah Kematian meningkat 370.7% setelah empat bulan proklamasi Darurat dilaksanakan.

Amatlah signifikan untuk menyatakan bahawa proklamasi Darurat yang dilaksanakan sebagai strategi mengekang pandemik Covid19 tidak berkesan dan gagal.

Malahan daripada kadar peningkatan kes baharu sebanyak 202.2%, peningkatan kumulatif kes jangkitan sebanyak 286.5% manakala jumlah kumulatif kematian meningkat kepada 370.7%, jelas sekali pelaksanaan ordinan Darurat dengan objektif untuk menyekat Covid19 telah gagal.

Apatah lagi pelaksanaan Proklamasi Darurat hanya memberi kuasa mutlak kepada parti pemerintah melalui PM dan kabinetnya, mengurus tadbir negara tanpa ada tindakan semak dan imbang daripada semua ahli parlimen dan ahli legislatif Dewan Rakyat.

Dengan itulah ahli politik, baik dalam gabungan PN, mahupun pembangkang, dengan sokongan NGO telah menggesa agar pelaksanaan Darurat ditamatkan, kerana kuasa mutlak pengurusan dan pentadbiran negara yang diberikan kepada PN telah gagal dilaksanakan dengan berkesan tanpa ada tindakan semak dan imbang melalui kerjasama semua parti politik.

Naib Presiden UMNO, DS Mohamed Khaled Nordin, menegaskan, desakan agar penggantungan parlimen ditamatkan atas Ordinan Darurat sudah sampai ke tahap yang ‘luar biasa’.

Sekiranya ada persepsi pada pemikiran PM, TS Muhyiddin Yassin bahawa persidangan semula parlimen akan menggerakkan tindakan usul undi tidak percaya terhadap beliau, maka persepsi itu hendaklah ditolak sama sekali, malahan Timbalan Speaker, DS Azalina Othman memberi jaminan bahawa tiada usul sedemikian yang akan dibawa di parlimen.

Bertentangan dengan pendirian kerajaan PN, Azalina melihat bahawa “satu-satunya cara untuk Malaysia melangkah ke hadapan,” bagi menangani Covid19 yang semakin rakus, adalah dengan membuka sidang parlimen.

Hakikatnya pelaksanaan PKP oleh kerajaan PN dilihat amat tidak berkesan, malahan program dan pelaksanaan vaksinasi rakyat juga amat lembab yang mendedahkan nyawa rakyat kepada tahap yang amat membahayakan.

Di samping itu timbul pula isu penggunaan dana KWAN untuk pembelian vaksin, namun sebaliknya ia dilihat sebagai menggugat rizab kewangan negara.

DS Azalina menegaskan kegusaran sekiranya PRU diadakan apabila Parlimen dibenarkan bersidang adalah sesuatu yang tidak benar, sebaliknya Kabinet Interim Darurat haruslah dibentuk dengan wakil ahli-ahli parlimen dari seluruh parti politik termasuk pembangkang.

Situasi terkini yang hanya mewajarkan pengurusan kerajaan melalui ahli parlimen PN adalah suatu kepincangan demokrasi.

Sebagaimana seruan Ketua Pemuda UMNO, Datok Dr Asyraf Wajdi Dusuki, “jangan mandulkan demokrasi.”

Bagi Dr Asyraf kerajaan tidak seharusnya dilihat takut dan cuba untuk memandulkan institusi demokrasi dengan menafikan suara dan mandat rakyat kepada wakil mereka di parlimen.

Seruan menghidupkan semula parlimen setelah digantung melalui Proklamasi Darurat juga datang daripada parti pembangkang.

Malahan Pengerusi Parti Pejuang, Tun Mahathir, Presiden Pejuang, DS Mukhriz Mahathir, Presiden Amanah, Mohamad Sabu, dan Pengarah Komunikasi Amanah, Khalid Samad telah bersama-sama dengan Jawatankuasa Rayuan Tamatkan Proklamasi Darurat pada 20 April lalu menyerahkan memorandum kepada DYMM Agong untuk tujuan menamatkan Darurat.

Khalid Samad mendakwa perisytiharan darurat telah membawa kesan buruk kepada negara daripada pelbagai sudut terutama ekonomi dan kestabilan politik.

Dipetik daripada Ismaweb

Penasihat DAP, Lim Kit Siang pula menyifatkan Proklamasi Darurat oleh kerajaan PN sebagai sesuatu yang mengandung muslihat tertentu kerana dilakukan secara mengejut yang hanya diketahui oleh anggota kabinet Muhyiddin.

Adakah kerajaan pimpinan Muhyiddin, mahu menyambut desakan menamatkan status darurat yang menjadi rungutan ahli politik baik daripada blok kerajaan mahupun blok pembangkang?

Adakah alasan untuk memerangi Covid19 masih relevan setelah pandemik itu meningkat secara rakus dan menakutkan rakyat?

Malaysia kini berada pada kedudukan ke-7, paling parah dalam senarai negara-negara di dunia yang dijangkiti Covid19, malahan dari aspek jangkitan per kapita, Malaysia didapati lebih teruk daripada India.

Lantas, apa lagi alasan PN dan Muhyiddin untuk mempertahankan Proklamasi Darurat?

*****

Advertisement

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out /  Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out /  Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out /  Tukar )

Connecting to %s

Website Built with WordPress.com.

Atas ↑

%d bloggers like this: