Oleh Dr Mamat Desa
29 Mei 2021
Kelemahan dan kegagalan kerajaan PN atau lebih popular dibahasakan sebagai kerajaan ‘gagalkrasi’ Muhyiddin yang goyah menangani pandemik Covid19, telah menerima kritikan dan kecaman daripada pelbagai media antarabangsa.
South China Morning Post (SCMP) menghebohkan kepada dunia bahawa kadar jangkitan Covid-19 yang melonjak naik dan melimpahi sistem kesihatan negara, telah membangkitkan kemarahan rakyat Malaysia.

Meskipun ‘perisytiharan darurat’ telah dimaktubkan pada Januari, kerajaan Muhyiddin gagal untuk mengawal penularan wabak dan sekaligus membangkitkan kemarahan dan protes rakyat.
SCMP juga mendedahkan bahawa kerajaan PN Muhyiddin telah diberi amaran bahawa kes Covid19 akan naik menegak pada 25 Mei, setelah MKN menolak PKP penuh pada 21 Mei lalu.

SCMP telah memetik ciapan seorang netizen Malaysia yang mencatatkan bahawa “Kapal kita sedang karam. Kapten masih tidak sedar” bersama hashtag (butang kongsi) #KerajaanGagal yang menjadi gelaran kepada kerajaan Muhyiddin.
Lebih memalukan apabila SCMP juga mencatatkan “The health ministry and Muhyiddin’s office did not immediately respond to requests for comment” yang diterjemahkan bahawa Kementerian Kesihatan dan pejabat Muhyiddin tidak memberikan respon segera untuk menjawab.
Reuters pula menggunakan tajuk “Anger simmers in Malaysia as COVID-19 surge strains healthcare system” yang diterjemahkan sebagai “Kemarahan mendidih di Malaysia apabila Covid19 melonjak dan mengasak sistem keselamatan”.

Reuters mencatatkan bahawa kadar jangkitan Covid19 di Malaysa adalah tertinggi di Asia Tenggara, “at more than 16,000 per million, is Southeast Asia’s highest, data from the Center for Strategic and International Studies shows.”
Walau bagaimanapun pada hakikatnya rekod WHO yang dicatatkan pada 23 Mei, mendpati Malaysia adalah negara ke-7 terburuk di dunia daripada 193 buah negara, dari aspek statistik jumlah kumulatif jangkitan.

Reuters juga mendedahkan kemarahan rakyat yang tidak mendapat tindak balas segera apabila Parlimen Malaysia telah digantung kerana perisytiharan darurat yang akan berlanjutan sehingga 2023.
Perkara yang amat memalukan apabila Reuters juga memetik kenyataan Muhyiddin yang mengiakan bahawa dia menerima tohmahan bahawa dia adalah PM yang ‘bodoh’. “Saya tahu betapa susahnya mengurus tadbir, tetapi ia adalah tanggungjawab bersama.”
“They can call me ‘stupid prime minister’, it’s OK,” he said in a televised interview. “I know how difficult it is to manage, but this is our joint responsibility.”
Bagaimanakah Muhyiddin boleh mengatakan ia sebagai tanggungjawab bersama apabila parlimen telah digantung?
Pihak Kementerian Kesihatan tidak boleh mendiamkan diri apabila soal kekurangan dana juga telah tersebar luas sehingga kerajaan terpaksa menggunakan dana KWAN untuk tujuan yang berkaitan.
Reuters juga memetik kenyataan pakar Jangkitan Penyakit, Adeeba Kamarulzaman dari Universiti Malaya bahawa, “Ramai yang khuatir bahawa sekatan penuh (PKP) akan menjejaskan ekonomi negara, tetapi dampaknya akan menjadi lebih parah atau berpanjangan dengan tindakan separuh hati”.

Bloomberg pula menggunakan kepala tajuk “Malaysia Terjelepok Dalam Jerat Antara Covid dan Kebuntuan”
Bagi Bloomberg, “kerajaan yang tiada kredibiliti mendedahkan kelemahan PM ketika rekod (pandemik Covid yang melonjak) menuntut keputusan yang berat” – “Lack of a credible government means the prime minister shows weakness just when a record surge demands hard decisions.”
Dalam wacana rencananya, Bloomberg menjelaskan bahawa krisis legitimasi politik digantung ketika kerajaan Malaysia memerlukan keputusan yang berat untuk menghadapi peningkatan jangkitan Covid yang berpanjangan.
Ia amatlah berat untuk menunggu tamatnya status ‘darurat’ pada Ogos sebagaimana dijanjikan.
Parlimen Malaysia digantung pada Januari atas alasan untuk melawan pandemik Covid19 yang sekaligus membenarkan PM Muhyiddin Yassin meneruskan kuasanya tanpa tekanan daripada Dewan Rakyat yang yakin bahawa dia tiada lagi memiliki sokongan majoriti.
Walau bagaimanapun pada ketika itu serangan jangkitan coronovirus adalah di bawah paras 2000. Namun pada Selasa lalu ia telah meningkat kepada 7,289 kes.
“It’s hard to see the ongoing state of emergency ending in August as promised. Parliament was suspended in January in the name of fighting the pandemic, allowing Prime Minister Muhyiddin Yassin to stay in power without a floor vote to test claims from legislators that he no longer commanded a majority. Back then, daily coronavirus infections were in the low 2000s. On Tuesday, the country added a record 7,289 cases.”
Malahan semalam (28 Mei) ia telah melonjak kepada 8,290 kes menjadikan jumlah kumulatif kes 549,514 dengan kumulatif kematian sebanyak 2,552. Dari aspek jangkitan per kapita, kedudukan Malaysia adalah jauh lebih teruk daripada India.

Bloomberg juga menjelaskan bahawa Muhyiddin kelihatan takut untuk melaksanakan ‘full lockdown” kerana bimbangkan kelumpuhan ekonomi yang akan memberikan dampak langsung kepada ekonomi negara.
Sewajarnya kerajaan memberikan respon kepada semua kritikan dan kecaman media antarabangsa sedemikian, terutama bahawasanya kerajaan PN telah memutuskan semalam (28 Mei) untuk melaksanakan PKP penuh.

Banyaklah lagi kritikan dan kecaman media antarabangsa yang boleh didedahkan untuk menunjukkan kegagalan PN, namun ia tidak membawa makna apa-apa jika menteri-menteri PN dan PM-nya hanya membutakan mata dan memekakkan telinga.
Sama ada ia adalah atas desakan netizen, rakyat, pakar kesihatan, tekanan politik di luar parlimen, atau hakikat jangkitan Covid19 yang gagal diperangi, kerajaan PN tidak boleh membiarkan negara dimalukan oleh media antarabangsa sedemikian.
Sewajar PN menjawab segala kecaman media antarabangsa itu kerana ia membawa dampak yang besar terhadap persepsi pelabur asing dan masa depan ekonomi negara, kecualilah PN sebenarnya memperakui bahawa negara ini dipimpin oleh PM yang “bodoh” sebagaimana yang diperakuinya.
Segala reaksi media luar itu mencemarkan nama PN dan memberi amaran bahawa PN akan jatuh tersungkur pada PRU15 nanti.
*****
Tinggalkan Jawapan