Oleh Dr Mamat Desa
28 Mei 2021
Semalam 27 Mei, kes jangkitan Covid19 terus meningkat naik, tertinggi dalam sejarah sejak pandemik itu meletus pada Jan 2020 dengan jumlah kes 7857 dengan kumulatif kes 541,224 dan kumulatif kematian 2491 .

Sudah dua tahun berturut-turut dan menjadi catatan sejarah apabila rakyat tidak dapat menyambut Aidul Fitri bersama ahli keluarga di kampung kerana perintah sekatan pergerakan yang menghalang pergerakan merentas negeri mahupun daerah.
Adakah perkara ini boleh dielak? Siapakah yang paling bertanggungjawab untuk menyekat pandemik ini?
Mengapakah WHO merumuskan daripada data kes jangkitan, Malaysia adalah negara ke-7 paling teruk di dunia dalam konteks serangan Covid19 ini?

Malahan dari aspek jangkitan per kapita, Malaysia lebih teruk berbanding India.
Memanglah mudah untuk menyatakan bahawa antara faktor yang meletakkan kedudukan Malaysia pada situasi kritikal sedemikian adalah rakyat yang tidak mengikut SOP.
Namun tidakkah kawalan dalam konteks pergerakan rakyat, perhimpunan rakyat, aktiviti sosial dan ekonomi, aktiviti industri dan perkilangan, pekerja asing, dan pelancong, sekadar contoh, adalah terletak pada bahu kerajaan?
Jika tidak, masakan ahli politik dalam kerajaan, apatah lagi pembangkang, bertubi-tubi mengkritik pihak kerajaan sebagai lemah dalam hal pengendalian operasi kekangan penularan Covid19.
Siapakah menteri dan pemimpin yang menerajui jentera kerajaan PN yang terlibat secara langsung dan tidak langsung dengan operasi mengekang penularan Covid19?
Pertamanya ialah Menteri Kesihatan iaitu Dr Adham Baba daripada UMNO.
Beliaulah yang bertanggungjawab mengendalikan hal-hal yang berkiatan dengan pelaksanaan program kesihatan negara.
Lantas, Dr Adham jugalah yang kini menjadi perhatian rakyat dalam hal kawalan dan kekangan penularan Covid19, yang kini sudah melibatkan varian yang lebih superior.

Keduanya ialah Menteri Sains dan Innovasi, Khairy Jamaluddin yang juga datangnya daripada UMNO.
Beliau dilihat dan dipersepsikan sebagai orang yang bertanggungjawab dalam hal vaksinasi rakyat yang kini menghadapi pelbagai kritikan daripada sistem penempahan dan pendaftaran vaksinasi sehinggalah kepada soal kewangan berkaitan pembelian vaksin Covid19.
Isu kelemahan kerajaan menjadi lebih hangat apabila proklamasi Darurat dilaksanakan, manakala penentuan dasar negara menjadi hak mutlak kerajaan PN, tanpa mengambil kira pandangan ahli parlimen pembangkang apabila sidang parlimen digantung.
Meskipun terdapat beberapa Ahli Parlimen UMNO dalam kabinet PN yang diterajui Muhyiddin, namun dalam hal perencanaan dan penentuan dasar negara dalam hala tuju menangani Covid19, adalah terletak pada setiap ahli kabinet dan menjadi tanggungjawab PM untuk menerajuinya seterusnya membawa kepada proses pelaksanaan.
Situasi yang dipandang kritikal ini adalah kerana parlimen telah digantung atas sebab-sebab yang amat disangsikan, dan dengan itu kerajaan PN bebas menentukan hala tuju, termasuk perbelanjaan negara tanpa ada perbincangan, semakan dan perseimbangan daripada keseluruhan Dewan Rakyat.
Lantas, adakah adil untuk menyalahkan seorang dua ahli parlimen UMNO dalam kabinet Muhyiddin?
Bagi sesetengah penganalisis politik, tudingan jari kepada menteri daripada UMNO untuk menutup kelemahan PN, adalah perangkap untuk melemahkan UMNO pada PRU15 nanti.
Inilah rasionalnya mengapa menteri daripada UMNO digesa meninggalkan kabinet PN kerana pandangan dan nasihat UMNO kurang diberikan perhatian dengan muslihat supaya merit terhadap UMNO pada mata rakyat dapat disekat.
Sebaliknya rakyat harus sedar dan perhatikan gelagat lapan menteri yang merupakan Ahli Parlimen yang kebanyakannya daripada PPBM (Bersatu), sebagai gagal melaksanakan tanggungjawab dan fungsi mereka sebagai menteri.
Menteri Luar Bandar, Dr Abdul Latif Ahmad daripada Bersatu dipersepsikan sebagai gagal menyampaikan maklumat tentang penempahan dan pendaftaran vaksinasi kepada rakyat pedalaman seperti Ketua-Ketua Kampung di seluruh negara.

Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Azmin Ali daripada PKR yang telah melompat masuk ke Bersatu, sepatutnya bertanggungjawab terhadap kluster Tempat Kerja dan Industri yang masih wewenang beroperasi, sedangkan kluster inilah yang menjadi penyumbang terbesar penularan pandemik Covid19.
Lebih berat lagi Azmin dikatakan gagal untuk menarik pelabur asing ke Malaysia bagi menjaga perkembangan ekonomi jangka panjang sedangkan lawatan beliau ke luar negara untuk menarik pelabur tidak membawa sebarang hasil.
Menteri Dalam Negeri, Hamzah Zainudin yang dikaitkan dengan isu kontroversial campur tangan terhadap PDRM sebagaimana didakwa oleh bekas Ketua Polis Negara, Hamid Bador, didakwa gagal melaksanakan SOP operasi PKP secara berkesan.
Malahan perintah kawalan pergerakan dikatakan tidak konsisten dan mengelirukan kerana sering berubah serta berbeza mengikut kelas sosial sehingga lahir istilah kluster kayangan dan kluster marhaen.
Tindakan terhadap peniaga kecilan seperti penjual burger berbeza dengan tindakan terhadap golongan kapitalis yang memiliki perniagaan saiz mega.
Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Zuraida Kamaruddin telah dilihat gagal melaksanakan kempen PKP di kawasan perumahan sehingga masih wujud kluster komuniti di sesebuah kawasan perumahan.
Menteri Pendidikan Radzi Jidin pula dilihat tidak peka dan prihatin terhadap langkah sekolah melaksanakan pendidikan dalam talian apabila kementeriannya gagal menyediakan dan mengagihkan komputer riba kepada para pelajar yang tidak berkemampuan terutamanya di luar bandar.
Bukan itu sahaja, sebaliknya isu capaian Internet juga menjadi masalah pelajar dalam sesi pembelajaran di rumah melalui dalam talian untuk mengelak jangkitan Covid19 dan isu ini menjadi tanggungjawab Menteri Komunikasi dan Multimedia, Saifuddin Abdullah daripada Bersatu.
Menteri Kewangan, Zafrul Aziz, senator yang dilantik oleh Muhyiddin pula dilihat sebagai tidak berhemah dalam hal perbelanjaan yang digunakan untuk menangani Covid19.
Hutang negara bertambah, sedangkan rizab simpanan negara kekeringan sehingga terpaksa menggunakan dana KWAN.
Menteri Pelancongan, Nancy Sukri dari PPBS, dilihat sebagai tidak prihatin apabila terdapat kluster Genting Highlands.
Malahan operasi Casino di Genting Highlands yang terbuka untuk penjudi antarabangsa dikatakan bebas menjalankan kegiatan mereka di tengah-tengah penularan pandemik Covid19.
Lantas, adakah semua ini terpikul atas bahu ahli parlimen UMNO seperti Menteri Sains dan Innovasi, Khairy Jamaluddin, Menteri Pertahanan Negara, Ismail Sabri dan Menteri Kesihatan Adham Baba?
Jika Muhyiddin berjaya mengaburi mata rakyat dan menuding jari bahawa ahli parlimen UMNO yang menyebabkan kegagalan PN melawan Covid19, jelaslah bahawa UMNO telah terperangkap dengan agenda halus PN.

Rakyat pasti tidak lupa bahawa menteri-menteri yang penuh dalam kabinet Muhyiddin Yassin pada hakikatnya adalah menteri-menteri PH juga yang telah dicop sebagai menteri kakistokrasi yang teruk dan gagal semasa mereka berkuasa selama 22 bulan.
******
Tinggalkan Jawapan