Oleh Dr Mamat Desa
27 Mei 2021
Kerajaan PN di bawah urus tadbir TS Muhyiddin Yassin nampaknya telah gagal dalam pertarungan menentang Covid-19 melalui operasi PKP 3.0.
VIDEO: KERAJAAN PN GAGAL DALAM PERTARUNGAN MENENTANG COVID-19
Ia sungguh memalukan, kerana operasi PKP 3.0 bukan sahaja mengheret sokongan rakyat malah ia disokong oleh Proklamasi Darurat yang turut membekukan sidang parlimen.
Sudah tiga hari berturut-turut sejak 23 Mei, kes jangkitan naik mendadak pada angka melebihi 6,000 kes, dan semalam 26 Mei, ia melepasi bacaan 7,000 kes dengan kes jangkitan 7,289 kes dengan kematian kumulatif sebanyak 2,432.
Amat mengejutkan, apabila hari ini, 27 Mei, ia terus melonjak kepada 7,857 kes dengan kumulatif kes sejumlah 69,408 dan kumulatif kematian 2,491, tertinggi sejak ia meletus pada Januari 2020.

Dengan rekod data sedemikian, jelaslah kerajaan PN bukan sahaja telah gagal dalam pertarungan menentang Covid-19, malahan ia kalah untuk menyekat pandemik itu daripada terus menular dan merebak ke seluruh pelosok negara.
Bukan itu sahaja, DS Noor Hisham, Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia, tanpa berselindung menyatakan kebimbangan beliau dengan kewujudan varian-varian baru hasil daripada ‘triple mutation’ yang menjadi ‘variant of concern’ (VOC) dari India dan Afrika Selatan.

Terdapat 18 kluster yang dikesan sebagai penyumbang kes, manakala 10 daripadanya adalah Kluster Tempat Kerja dan Industri.
Lebih menakutkan, jangkitan Covid-19 bukan lagi melalui pola ‘sentuhan fizikal’ dan simbahan udara penafasan dan percakapan, sebaliknya ia sudah bersifat ‘sebaran udara’ atau ‘airborne’.

Daripada rekod WHO yang dicatatkan pada 23 Mei, Malaysia adalah negara ke-7 terburuk di dunia daripada 193 buah negara, dari aspek statistik jumlah kumulatif jangkitan.
Statistik ini lagi sekali membenarkan bahawa kerajaan PN telah kecundang dalam pertarungan menentang Covid-19.
Meskipun jumlah kes jangkitan di Malaysia tidak sebesar India, namun dari kiraan kadar (ratio) kes jangkitan per kapita iaitu jumlah kes berbanding populasi, kes jangkitan di Malaysia adalah lebih teruk berbanding India.

Kegagalan pertarungan ini juga diterjemahan sebagai kegagalan pucuk pimpinan dalam konteks menyampaikan arahan yang berkesan melawan gelombang Covid-19.

Nampaknya metode yang paling berkesan untuk menyekat graf peningkatan ialah melalui SOP kendiri rakyat dengan cara berada di rumah, tanpa mendedahkan diri kepada persekitaran luar selama dua minggu.
Jika tidak, angka yang menakutkan itu akan terus meningkat.
Dengan itu, ramai pemimpin politik pembangkang dan juga rakan gabungan PN, menyeru agar PKP penuh atau ‘total lockdown’ dikuatkuasakan serta-merta demi mematahkan trend peningkatan.
Sebagaimana dakwaan Pemuda UMNO, pihak Kementerian Kewangan dan Kementerian Industri lebih cenderung mementingkan aktiviti perniagaan dan perkilangan yang tidak membantu menyelamatkan nyawa rakyat.
Malah kerajaan membenarkan aktiviti beli-belah tetapi kemudiannya mengawal keberadaan orang awam di pusat beli-belah itu, yang diterjemahkan sebagai tidak memberi kesan, sebaliknya terus membiarkan virus Covid menular.
Pemuda UMNO menyifatkan PN lebih mementingkan golongan kapitalis daripada nyawa rakyat.
Kerajaan PN hendaklah menghentikan arahan yang tidak konsisten, separuh masak, dan tentukan secara tuntas hala tuju operasi dalam strategi menentang keganasan Covid-19 itu.
******
Tinggalkan Jawapan