Oleh Dr Mamat Desa
25 Mei 2021
Dalam situasi rakyat terkial-kial berebut untuk mendaftar dan menempah tarikh suntikan vaksin, jumlah kes pandemik Covid-19 terus melonjak naik ke paras tertinggi dalam sejarah.
Jumlah 7,289 kes terbaru hari ini adalah sesuatu yang amat menggerunkan rakyat, sedangkan harapan mereka supaya PKP penuh dilaksanakan seperti tidak diendahkan oleh kerajaan PN.


Manakala jumlah kes kumulatif adalah 525,889 dengan kematian sejumlah 2,369.
Lantas timbul persoalan mengapakah graf kes harian tidak mendatar, apatah lagi menurun sejak penguatkuasaan PKP yang diperketatkan dan diasak pula dengan Proklamasi Darurat?
Kadar jangkitan harian yang melebihi 6000 kes tiga hari berturut-turut sudah cukup untuk menunjukkan bahawa strategi PKP yang tidak konsisten atau tidak tekal, gagal membantu mengurangkan jumlah jangkitan, malahan ia semakin meningkat tinggi.

Apa yang membimbangkan ialah varian baru hasil daripada ‘triple mutation’ yang menjadi ‘variant of concern’ (VOC) dari India dan Afrika Selatan sudah mula menunjukkan taringnya.
Varian Afrika Selatan V1351 telah dikesan di Kedah, Perlis, Selangor dan Johor dengan jumlah 12 kes.
Manakala varian India V1617 telah dikesan di Labuan dengan catatan satu kes.
Pihak kerajaan memberi alasan bahawa PKP penuh seluruh negara tidak dilaksanakan kerana mengambil kira kepentingan rakyat terutamanya golongan miskin dan peniaga kecil.
Tapi anehnya peniaga kecillah yang sering diambil tindakan sebagaimana yang heboh dalam media Internet sedangkan kes penyebaran adalah lebih ketara bagi Kluster Tempat Kerja dan Industri yang merupakan sumber kekayaan golongan kapitalis.
Sepatutnya sebagaimana yang disarankan oleh Pemuda UMNO, kerajaan hendaklah membantu ekonomi golongan berpendapatan rendah melalui Bantuan Khas, i-SINAR 2.0, i-Lestari dan Moratorium 2.0 tanpa caj tambahan.
Malangnya kerajaan hanya gah dengan gelagat memperketatkan kawalan pergerakan, tetapi tidak konsisten dengan pelaksanaannya.
Pemuda UMNO lebih melihat gelagat kerajaan PN sebagai mementingkan golongan kapitalis, atas alasan ekonomi negara harus terus bergerak, sedangkan kes jangkitan di kilang-kilang adalah amat signifikan.

Pendirian Pemuda UMNO adalah signifikan apabila ‘Kluster Tempat Kerja’ mencatatkan jumlah tertinggi daripada keseluruhan kes.

Terdapat 18 kluster yang dikesan sebagai penyumbang kes, manakala 10 daripadanya adalah Kluster Tempat Kerja (termausk Kluster Industri), 5 Kluster Keagamaan dan 3 Kluster Komuniti.
Sebagaimana dijangkakan 10 Kluster Tempat Kerja melibatkan banyak kawasan industri di Selangor.
Perkara yang membimbangkan ialah vaksin yang sedang beredar di pusat-pusat suntikan mungkin tidak dapat mematikan virus varian India dan Afrika Selatan (VOC).
Adakah Kluster Tempat Kerja dan Industri menjadi penyumbang besar kepada VOC atau ‘Variant of Concern’ ini?
Anehnya pihak keselamatan sanggup pula mengenakan perintah sekatan pergerakan pada hari Raya Aidil Fitri, yang sudah dua tahun berturut-turut tetapi menolak PKP penuh atau ‘total lockdown’.
Rakyat sanggup menerima dan mematuhi perintah berkenaan dengan harapan penularan pandemik Covid dapat dipatahkan.
Malangnya penularan bagi Kluster Tempat Kerja dan Industri seperti dibiarkan sahaja, sehingga membangkitkan persepsi bahawa kerajaan memanjakan golongan kapitalis, tetapi sanggup melihat nyawa rakyat terancam.
Setiausaha Agung UMNO, DS Ahmad Maslan mencadangkan agar PKP penuh atau ‘total lockdown’ seluruh negara dilaksanakan, apabila strategi kerajaan yang sekadar gah dengan sekatan pergerakan daerah dan negeri tidak berkesan.
Ahmad Maslan mengesyorkan agar PKP penuh itu dilaksanakan selama 15 hari dahulu di seluruh negara, dan kerajaan hendaklah membantu mereka yang terkesan daripada PKP penuh itu.

Bantuan bersasar hendaklah dilaksanakan kepada B40 yang bekerja sendiri selama 15 hari.
Dolak-dalik kerajaan tidak menunjukkan keseriusan kabinet TS Muhyiddin Yassin untuk menyelamatkan nyawa rakyat, sebaliknya sebagaimana kata Datuk Dr Asyraf Wajdi, golongan kapitalis diutamakan.
Pemberian vaksin atau vaksinasi yang hanya mengutamakan mereka yang mendaftar adalah satu tindakan yang lemah dan pincang.
Sepatutnya ia diwajibkan kepada seluruh rakyat dengan strategi yang teratur.
*****
Tinggalkan Jawapan