Oleh Dr Mamat Desa
24 Mei 2021
Pada 2019, SPRM melalui Timbalan Ketua Suruhanjaya, DS Mohamad Shukri Abdul sebagai orang yang bertanggungjawab menyiasat kes 1MDB, telah mengesahkan bahawa Gabenor Bank Negara, TS Dr Zeti Aziz tahu bahawa ada pendepositan wang ke akaun DS Najib Tun Razak di AM Bank daripada kerajaan Arab Saudi.
Malahan daripada kenyataan Peguam TS Shafee Abdullah, TS Zeti sendiri yang menyarankan agar wang yang didermakan oleh kerajaan Arab Saudi dimasukkan ke akaun peribadi DS Najib dan bukannya akaun UMNO supaya tidak menjadi satu persoalan kepada RoS kelak.

Sekiranya wang tersebut datangnya daripada aktiviti yang bercanggah dengan undang-undang, sewajarnya sebagai Gabenor Bank Negara, TS Zeti telah menasihati DS Najib tentang hal tersebut. Namun perkara ini tidak berlaku.
Lantas tidak timbul isu wang RM2.6 bilion datangnya daripada pengubahan wang haram atau aktiviti yang salah dari segi undang-undang.
Sebagaimana yang didakwa oleh peguam bebas, Raggie Jessy Rithaudeen, TS Zeti tahu identiti atau penderma wang tersebut iaitu daripada kerajaan Arab Saudi kepada DS Najib, PM Malaysia.
Pada tahun 2018 setelah kerajaan PH menang, DS Mohamad Shukri Abdul telah dinaikkan pangkat menjadi Ketua Suruhanjaya SPRM.
Ketika inilah beliau mendakwa bahawa semasa kerajaan BN berkuasa, beliau telah diugut dalam siasatan 1MDB, namun semasa PH berkuasa dan setelah beliau dinaikkan pangkat, barulah beliau berani ke hadapan untuk terus menyiasat kes 1MDB.
Sewajarnya orang yang telah diugut menurut Reggie Jessie, tidak boleh meneruskan siasatan.
Malahan wujud pula satu dakwaan bahawa terdapat konspirasi untuk menjatuhkan DS Najib, setelah seseorang itu menerima habuan, baik dalam bentuk jawatan mahupun dalam bentuk kewangan.
Fenomena ini adalah tidak asing jika dirujuk kepada bekas Peguam Negara TS Mohamed Apandi Ali tentang dakwaannya terhadap Gopal Sri Ram ketika Tun Mahathir berkuasa yang cuba menghasutnya untuk menahan DS Najib tanpa alasan yang kukuh dari segi undang-undang.

Anehnya orang seperti Sri Ram ini pula yang dilantik sebagai pendakwaraya dalam kes 1MDB yang tertuduh ke atas DS Najib.

Sebagaimana yang dijelaskan oleh TS Shafee, kerajaan Arab Saudi amat perihatin terhadap pendirian Malaysia sebagai negara Islam moderat atau sederhana yang tidak mudah tunduk kepada ektremisme sebagaimana beberapa negara Islam lain.
Hakikat ini amat penting untuk menyokong kestabilan politik di Timur Tengah yang ketika itu dilanda oleh fenomena politik ‘Arab Spring’.
Soal derma kerajaan Arab Saudi kepada DS Najib khususnya dan Malaysia amnya, tidak berbangkit kerana, kerajaan Arab Saudi juga sering menderma kepada negara-negara Islam yang lain seperti Yaman, Indonesia, Syria, Mesir, Iraq, Sudan, Palestin, Somalia dan lain-lain.
Sejak 2004 sehingga 2014 sahaja kerajaan Arab Saudi telah menderma USD115 bilion sama ada dalam bentuk bantuan kemanusiaan atau untuk mempertahankan negara daripada ancaman terhadap pemimpin Islam.
Mungkin juga derma tersebut adalah sebahagian daripada sumbangan zakat negara Arab Saudi kepada negara-negara Islam yang memerlukannya.
Isu dan persoalan tentang wang RM2.6 billion itu juga, terkait dengan pihak AM Bank, bank yang mengendalikan akaun DS Najib.
Sewajarnya sebagaimana yang dihujahkan oleh TS Shafee Abdullah, sekiranya wang RM2.6 billion itu adalah dari sumber yang bertentangan dengan undang-undang, maka pihak AM Bank juga perlu memberi amaran kepada DS Najib.
Namun perkara ini juga tidak berlaku. Lantas, secara kasarnya tiada aktiviti yang boleh diklasifikasikan sebagai bertentangan dengan undang-undang yang dikaitkan dengan wang RM2.6 billion tersebut.

Pada Disember 2020 yang lalu, Pemuda UMNO telah membuat laporan polis terhadap bekas Gabenor Bank Negara TS Zeti Akhtar Aziz kerana syarikat suaminya telah menerima transaksi yang melibatkan individu yang sepatutnya menjadi saksi penting kes 1MDB iaitu Jho Low atau Low Taek Jho yang masih dalam buruan polis.
Jho Low sepatutnya diektradisi daripada negara persembunyiannya untuk membantu menyelesaikan kes dana 1MDB yang diselewengnya. Namun pihak PDRM dan polis antarabangsa dikatakan gagal mengesan kedudukan Jho Low.
Portal FMT telah mengesahkan bahawa keluarga Zeti menerima wang melalui akaun di sebuah bank di Singapura.

UMNO online melaporkan terdapat ‘money trail (jejak wang) yang mengesahkan Syarikat Iron Rhapsody milik suami Zeti telah menerima wang berjumlah USD16.2 juta daripada Jho Low.
Pemuda UMNO mempersoalkan, adakah maklumat tersebut membuktikan bahawa terdapat konspirasi atau merupakan sebahagian daripada konspirasi untuk menjatuhkan kerajaan BN sebelum PRU14 yang lalu ketika Zeti masih menjawat jawatan Gabenor Bank Negara?
******
Tinggalkan Jawapan