Editorial
20 Mei 2021
SIAPALAH kami untuk menasihati DS Presiden PAS?
Namun demi menegakkan prinsip perjuangan ‘mabdaul nidali’ Melayu-Islam tanpa mengetepikan hak pelbagai kaum sebagaimana yang telah dibaiahkan dalam perjanjian Perpaduan Ummah 14 Sep 2019, DS Hadi Awang harus menilai semula ikatan kerjasama dengan PN dalam PRU-15 nanti.

Lupakah DS Hadi apabila umat Islam seluruh Malaysia mengalirkan air mata kegembiraan kerana melihat baiyah UMNO-PAS yang memadamkan stigma kafir-mengkafirkan antara mereka?
Tarikh keramat 14 September 2019, akan terus kekal dalam minda umat Islam Malaysia, bak perisytiharan Merdeka yang mengembalikan kuasa mereka ke atas bumi nenek-moyang mereka ini.




Inilah titik permulaan kembalinya kuasa Melayu-Islam, tanpa menolak rasa hormat kepada kaum lain yang hadir kemudiannya.
DS Hadi jangan mudah dibutakan hanya dengan kedudukan sebagai Duta Khas di Arab Saudi, kerana rakyat sedang melihat apakah agenda dan gerakan DS dalam OIC, untuk membantu Palestin serta pentas antarabangsa yang lain dalam menegakkan syiar Islam?
Malahan seluruh dunia sedang memerhatikan apakah gelagat Raja Salman terhadap krisis Palestin-Israel dan apakah reaksi putera baginda Muhamad Salman yang kini hebat dengan wawasan untuk melonggarkan hukum Allah di bumi Arab Saudi serta pendirian dan toleransinya terhadap Israel.
Perpaduan Ummah yang kemudiannya menzahirkan Muafakat Nasional bersama UMNO telah lahir daripada gerakan dan perhimpunan ummah yang melibatkan hampir dua juta Melayu-Islam di jalanan (tanpa Bersatu, tanpa TS Muhyiddin Yassin, tanpa Hamzah Zainudin, tanpa Azmin Ali, dan tanpa Tun M, apatah lagi dengan Amanah yang amat hipokrit itu).
Siapakah yang hakikatnya berada dalam PN dan kini menguasai segala jentera utama PN? Sehingga PDRM sekalipun mereka mahu berada di bawah cengkaman mereka?
Adakah DS Hadi masih tidak faham dengan ‘katak-katak yang melompat mencari habuan’ sebagaimana yang didedahkan oleh mantan KPN Hamid Bador?
Malah rakyat mahu SPRM membongkar kedudukan golongan ini yang secara tersembunyi menerima puluhan juta untuk melompat tanpa berpegang kepada prinsip perjuangan, sebaliknya lebih kepada tamak haloba dan hipokrit yang orang PAS istilahkan sebagai munafik.
Di manakah gelagat Bersatu, khususnya Muhyiddin Yassin ketika dua juta Melayu-Islam menentang ICERD di jalanan dan kemudiannya Statut Rom?
Kedua-duanya secara halus bersama agenda tersembunyi DAP, mahu menghapuskan hak Melayu-Bumiputera, Raja-Raja Melayu dan Islam sebagai Agama Persekutuan.
Di manakah Hamzah Zainudin, Azmin Ali dan konco-konconya yang amat manja dengan DAP ketika itu, malahan rakyat tahu DAP mahu jadikan negara ini sebuah ‘republik evangelis’?

Lihat sahaja pemimpin DAP yang menyokong Israel, kerana seperti DS Hadi tahu dan kami tahu, mereka ini saban PRU menerima dana daripada pertubuhan Yahudi-Israel.
Malah pertubuhan seperti NED dan IRI yang dikuasai Yahudi-Israel, telah secara terang-terang mengaku mereka membantu DAP-PH untuk menjatuhkan BN-UMNO selama lebih sedekad atas dasar menghancurkan parti yang memperjuangkan nasib Melayu-Islam.
Siapakah yang kini menguasai PPBM dan siapakah pula yang menguasai PN?
Tidakkah mereka ini hanyalah ‘salinan foto’ kerajaan kakistokrasi PH dahulu?
Lihatlah wahai DS Hadi dan jangan nanti sekali lagi PAS menjadi Pak Kadok sebagaimana pengalaman DS Hadi dalam Pakatan Rakyat.
Hari ini sudah riuh baik di media sosial mahupun media dalam talian, kerajaan yang melantik DS Hadi adalah ‘kerajaan gagal’, sedangkan rakyat memberi persepsi dan merasai sangat-sangat ‘kebodohan’ kepimpinan Muhyiddin sama seperti tona yang dilaungkan ketika PH berkuasa dahulu.
Namun kami lihat DS Hadi masih mempertahankan golongan ini yang kami lihat masih dibayangi oleh PH mahupun PR yang DS Hadi musuhi dahulu.
Lebih malang lagi apabila DS Hadi dilihat sanggup pula berkompromi dengan PPBM Muhyiddin (yang masih dibayangi oleh ‘firaun’ tua’) dalam hal menyusun pembahagian kerusi Parlimen pada PRU-15 nanti.

Di manakah rasionalnya kebaikan yang akan PAS terima selain daripada mengorbankan kerusi-kerusi tradisi kepada golongan tamak kuasa dalam PPBM itu yang kini sedang tercungap-cungap mencari talian hayat, meskipun di Bahagian Pagoh.
Hakikat ini berbeza dengan kerjasama DS Hadi dengan UMNO, kerana DS Hadi tahu tidak ada pertindanan kerusi antara PAS-UMNO kecuali dalam kadar yang amat tidak signifikan.

Adakah DS Hadi masih ingat, di manakah orang kuat Bersatu, TS Muhyiddin ketika PRK baik di Cameron Highlands, Kimanis, Tanjung Piai, Semenyih, Slim, Chini dan Rantau?
Semuanya UMNO-BN menang dengan kerjasama PAS dan bukannya Bersatu yang penuh dengan katak-katak lapar, sesat dan hipokrit yang lebih signifikan bersama pengundi bukan-Islam.
Jika dianalisis secara mudah keputusan PRU-14 yang lalu, tidakkah gabungan UMNO-PAS boleh berubah menjadi 126 kerusi yang merupakan majoriti bagi melayakkan UMNO-PAS menguasai Putrajaya dan memperkukuhkan ‘mabdaul nidali’ bagi menegakkan kuasa Melayu-Islam tanpa mengabaikan hak kaum lain?
Kembalilah ke pangkal jalan DS Hadi, dan janganlah jadi seperti Pak Kadok, sebagaimana semasa DS bersama dengan Pakatan Rakyat dan semasa PRU14, ‘menang sorak tetapi tanah tergadai.’
Belajarlah daripada kesilapan lalu, dan kembalilah kepada baiah PAS-UMNO dalam majlis gemilang Perpaduan Ummah 14 September itu.
Rakyat sedang menanti, kebijaksanaan DS Hadi, dan janganlah hanya kerana kedudukan DS Hadi sebagai Duta Khas ke Arab Saudi, DS sudah mula hanyut dan lena dengan buai orang-orang seperti Hamzah Zainudin, Azmin Ali, Muhyiddin dan konco-konco hipokrit@munafik politik itu.
Insaflah DS demi Islam dan bangsamu sendiri.
******
Tinggalkan Jawapan