Oleh Dr Rahmany Gazelle
19 Mei 2021
Pada 12 Mei lalu tertular naratif sensasi bahawa PBS sambut baik hasrat Warisan untuk bekerjasama sebagai pemerintah Sabah, lantas membangkitkan semula gejala lompat parti dengan habuan yang lumayan.

Sayugia ia akan memadamkan kuasa Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dan keadaan akan kembali kepada gejala ketidakstabilan politik Sabah sama seperti keadaan sebelum PRN Sabah tempoh hari.
Meskipun berita sedemikian lebih kepada sensasi untuk menutup kecelakaan penularan Covid-19 akibat daripada PRN Sabah dan rasa bersalah pemimpin tamak haloba Warisan, namun rakyat Sabah tidak termakan oleh fitnah sedemikian.
Naratif sedemikian diterjemahkan sebagai iklan yang menawarkan habuan ‘lompat katak’ sebagaimana yang didedahkan oleh mantan KPN Hamid Bador, yang sewajarnya ditanggapi sebagai rasuah politik dan perlu diambil tindakan oleh SPRM.
Adakah kenyataan Presiden PBS Datuk Seri Dr. Maximus Ongkili bahawa “PBS sentiasa berjuang untuk mewujudkan anti-lompat parti, melindungi dan mempertahankan keselamatan Sabah terutama dalam menangani isu PATI demi rakyat Sabah” sebagai satu sindiran terhadap Shafie Apdal yang menjadi dalang kemasukan rakyat Sulu ke Lahad Datu?
Malahan, tidakkah PRN Sabah tempoh hari adalah akibat gejala lompat parti apabila Shafie menjadi dalang utama sehingga kerajaan Sabah yang terbentuk daripada PRU-14 terpaksa dibubarkan?
Dua hari lalu, Ketua Menteri Sabah, Hajiji Noor menyifatkan naratif kerjasama PBS dan Warisan hanyalah satu ‘khabar angin’ yang kami terjemahkan sebagai sandiwara dan iklan lompat katak yang cuba dimainkan oleh Shafie Apdal.

Bagi Hajiji perkara itu hanyalah terbangkit untuk merosakkan perpaduan parti dalam kalangan ADUN Gabungan Rakyat Sabah atau GRS.
Hajiji menegaskan bahawa “kerajaan GRS adalah stabil dan tidak mahu mengambil perhatian sangat kerana apa yang penting adalah membangunkan negeri Sabah.”
Manakala pada 17 Mei, ADUN Pitas, DS Ruddy Awah menafikan dakwaan bahawa beliau akan bersama dengan Warisan. Lantas ia hanyalah fitnah dan propaganda pihak yang bersekongkol dengan Shafie Apdal sahaja.
Perkara yang kontradik dengan propaganda Warisan sedemikian adalah hakikat bahawa pada 25 Feb lalu, ADUN Sebatik, daripada Warisan, Hassan A Gani Pg Amir telah mengumumkan keluar parti atas prinsip bahawa Warisan tidak mengutamakan kesejahteraan rakyat.
Tanpa melompat parti, Hassan berdiri sebagai calon Bebas yang menyokong GRS yang dipimpin oleh Hajiji.
Hassan juga menyatakan kekecewaannya apabila Warisan masih bermain dengan rentak politik PH yang mengutamakan kepentingan politik lebih daripada kepentingan rakyat yang terbeban dengan pandemik Covid-19.
Antara lain, menurut Hassan, Warisan telah menolak Belanjawan 2021 di Parlimen tempoh hari yang menonjolkan sikap Warisan sebagai mementingkan kuasa politik daripada kebajikan rakyat.
Justeru Hassan menyokong GRS yang kini memilik 48 ADUN daripada keseluruhan 79 ADUN negeri Sabah.

Sementara itu Pengerusi UMNO Sabah, Bung Moktar Radin, menganggap spekulasi bahawa PBS akan meninggalkan GRS sebagai tidak berasas dan beliau yakin bahawa PBS tidak akan mengkhianati mandat yang diamanahkan oleh pengundi Sabah.
******
Tinggalkan Jawapan