Oleh Dr Mamat Desa
12 Mei 2021
Sejak akhir-akhir ini, media banyak menghebahkan desakan agar PRU-15 diadakan, meskipun pandemik Covid-19 masih belum reda, malahan proklamasi Darurat masih berkuat kuasa.
Desakan tersebut datang daripada pemimpin politik yang rimas dan tidak senang duduk dengan urus tadbir kerajaan PN yang mereka terjemahkan sebagai gagal atau pincang.

Pihak Hollywood sudah mula ghairah untuk menerbitkan filem Mission Impossible 7 yang sedang dalam penggambaran, dan pemain Liga Bola Sepak Eropah juga turun padang meskipun tanpa penonton, kerana bagi mereka Covid-19 sudah mula menutup tirai dengan adanya vaksin yang menjadi penawar.
Namun di Malaysia, kerajaan masih terkial-kial melawan Covid-19, rakyat seperti tidak dapat menerima hakikat bahawa kita masih berada dalam zon bahaya seperti India, Bangladesh, Myanmar dan Indonesia.
Lantas ramailah yang mengkritik langkah kerajaan PN yang bertungkus-lumus untuk melawan Covid-19 dan menyelamatkan rakyat dengan SOP dan sekatan pergerakan.
Bagi ahli politik pula, perkara penting yang mereka lihat ialah kelemahan dan kegagalan kerajaan PN baik dalam urusan menentang Covid-19, urusan belanjawan, urusan pelabur asing, perniagaan yang pudar, kos sara hidup yang melambung dan banyak lagi sehingga kepada soal Hari Raya yang gagal diraikan baik pada tahun lalu dan juga tahun ini, setelah PN berkuasa.
Bagi mereka kelemahan dan kegagalan PN hanya boleh diselesaikan melalui PRU-15.
Di sinilah rakyat lihat pelbagai kemelut politik berlaku, seperti isu katak politik, broker politik, campur tangan politik dalam PDRM, ketidakadilan dalam isu PKP kerana layanan kepada golongan kayangan berbeza dengan layanan kepada golongan marhaen, ketidaktekalan (inconsistency) dalam soal arahan dan pelaksanaan PKP, penderitaan rakyat miskin, dan macam-macam lagi.
Di tengah-tengah kemelut inilah rakyat lihat Tun Mahathir bangun bersuara dan mendakwa rakyat masih mahu dia bertanding pada PRU-15, yang entah bila akan diadakan.

Tapi Tun seperti cuba melupakan kenyataannya bahawa dia sudah berusia 95 tahun, dia juga lupa kegagalan dia mengendalikan PH, dia juga lupa kenyataannya bahawa dia adalah boneka DAP, dia juga lupa apabila dia mengatakan manifesto PH bukan kitab suci (adakah tisu tandas?).

Tun juga lupa PH yang dia kendalikan menjadi kerajaan serba lengkap apabila terdapatnya pengganas LTTE, pemimpin perogol, anti Raja-Raja Melayu, memperjuangkan komunisme, memperjuangkan ICERD, cuba meratifikasi Statut Rom dan justeru mencabar hak Melayu-Bumiputera dan Raja-Raja Melayu, melalui agenda tersembunyi mahu menjadikan negara ini sebuah republik, komponen PH yang berkelakuan seperti samseng kerana sentiasa bergaduh semasa pemilihan dan macam-macam lagi.
Sebagaimana dibidas oleh Clement Stanley dalam ‘Surat kepada Editor’ FMT, Tun dalam banyak wawancara mengatakan dia tidak berminat lagi hendak bertanding pada PRU-15 nanti.

Namun seperti mudah diperbudakkan, Tun mengatakan bahawa penyokongnya tetap mahu dia bertanding dan mendesak dia bertanding pada PRU-15 ini.
Adakah sebagai pemimpin yang berprinsip, Tun terpaksa tunduk dengan tekanan penyokong, sebagaimana kata bidalan Inggeris, “You can take a horse to the water, but you can’t force it to drink”?
Lain pula nampaknya kepada Tun atau Tun sebenarnya cuba menguji pasaran politiknya.
Adakah Tun cuba kelentong rakyat lagi dan kemudian nanti dia akan lagi sekali dijadikan boneka politik kerana partinya adalah parti melukut di tepi gantang, lantas parti yang lebih ramai AP akan membulinya sebagai pemimpin tua yang kadang kala nyanyuk dalam ucapannya.

Apa yang khalayak media lihat hari ini, tidak ada sesiapapun secara terbuka mendesak supaya Tun bertanding lagi.
Mungkin ada yang mendesak Tun secara tertutup, namun kami masih ingat pada 11 April 2016, Tun mengeluarkan kenyataan bahawa “DS Anwar Ibrahim sudah terlalu tua untuk jadi PM.”

Jika Anwar sudah terlalu tua, siapa pula Tun?
Bagi Stanley, mungkin ada penyokong tegar Tun yang masih mahu Tun menjadi PM, tetapi kata Stanley, ribuan lagi yang mengatakan ‘Enough is enough’.
Cukuplah Tun dengan kelentong kamu yang sudah memerintah negara di bawah tiket UMNO selama 22 tahun dan kemudian selama 22 bulan di bawah payung PH yang digelar netizen sebagai ‘Pakatan Hancing’.
Kemudian Tun menyalahkan dan mengutuk UMNO itu dan ini, sedangkan dialah pemimpin UMNO selama 22 tahun.
Akhirnya Tun sendiri dengan gelagat kakistokrasi PH, berasa malu dan meletakkan jawatan dengan seribu-satu alasan, tetapi menghalakan kemarahannya kepada TS Muhyiddin Yassin sebagai pengkhianat.
Siapakah yang sebenar-benarnya mengkhianati mandat yang diberikan oleh rakyat?
*****
Tinggalkan Jawapan