Editorial
15 Dis 2021
Dalam situasi politik PN yang goyah hari ini, mantan PM Tun Mahathir menjangkakan Bersatu akan kalah teruk pada PRU-15 nanti. Persepsi Mahathir itu disokong oleh pelbagai pihak.

Bersatu hanya gah dengan sekelumit pemimpinnya, tetapi telah kehilangan sokongan akar umbi apabila banyak Bahagiannya yang telah terbubar, lebih-lebih lagi apabila pengasasnya, Tun Mahathir sendiri telah meninggalkan Bersatu dan menubuhkan Pejuang.
Manakala UMNO pula tidak mahu menyerahkan kerusi parlimen di kawasan tradisi mereka, dan bersedia meninggalkan PN pada PRU-15 nanti.
Muhyiddin diangkat sebagai PM bukan atas tiket PRU, tetapi atas bancian DYMM Agong dalam kalangan Ahli Parlimen yang didominasi oleh Pakatan Harapan (PH) pada Feb 2020.
Apabila TS Muhyiddin diangkat sebagai PM, tiada lain lagi usaha konstruktif Bersatu, kecuali mendapatkan kerjasama daripada UMNO dan PAS.
UMNO dan PAS pula, yang telah mengikat kerjasama dalam Muafakat Nasional atau sebelumnya Perpaduan Ummah, terpaksa menyambut tangan Muhyiddin supaya Bersatu tidak lagi dikongkong oleh PH yang dikatakan didominasi oleh DAP.
Bagi UMNO, Bersatu adalah merupakan golongan bekas pemimpin mereka yang dianggap sebagai pengkhianat atau katak politik.

Walau bagaimanapun ketika Bersatu bersama dengan PH, mereka hanyalah melukut di tepi gantang, malah Tun Mahathir mengaku bahawa dia adalah boneka DAP.
Parti yang lebih besar jumlah Ahli Parlimennya (AP) adalah PKR dan keduanya DAP. Namun PKR tidak membawa suara kaum Melayu-Bumiputera kerana AP bukan Melayu-Islam lebih dominan dalam PH.

Kemenangan PH pada PRU-14 dilihat berpaksikan pembohongan dan janji palsu, malah manifesto PH diperakui oleh Mahathir bukanlah kitab suci.
Lantas rakyat melihat manifesto PH hanyalah kertas tisu yang membohongi pengundi dengan janji-janji palsu.
Dengan itu jugalah ketika PH berkuasa, negara menjadi lintang-pukang apabila kerajaan yang diterjemahkan sebagai kerajaan kakistokrasi itu penuh dengan pelbagai kegenjotan termasuk pemimpinnya yang menjadi perogol, pejuang pengganas LTTE, ditaja oleh kartel dadah, keganasan ketika pemilihan parti (PKR), menyokong komunisme dan cuba menyerapkan komunisme ke sekolah-sekolah seluruh negara, mereka cuba menegakkan ICERD dan meratifikasi Statut Rom yang menolak hak Melayu-Bumiputera dan kuasa Raja-Raja Melayu, mereka mahu menegakkan negara Republik-Kristian-Evangelis, pemimpin DAP mencampuri urusan aset TH dan Bank Islam dan bermacam-macam lagi realiti PH-DAP.

Tun Mahathir mungkin malu dengan hakikat PH dan dengan kemelut dalaman PH, Tun Mahathir mengumumkan peletakan jawatannya sebagai PM ke-7 pada Feb 2020.
Bersatu pula adalah parti berbilang kaum, yang bermakna ia adalah parti yang tidak menjadikan Islam sebagai teras perjuangan, berbeza dengan PAS dan UMNO.
Dengan itu jugalah Bersatu pada hakikatnya tidak benar-benar memenangi hati pemimpin PAS, sedangkan Bersatu bagi UMNO adalah terdiri daripada pengkhianat UMNO dan katak-katak politik.
Hari ini tindakan terbaik bagi Bersatu adalah mewujudkan konspirasi politik untuk menarik AP UMNO, Amanah dan PKR supaya menyertai mereka bagi mengukuhkan kedudukan Bersatu menjelang PRU-15 nanti.
Dengan itu jugalah ganjaran politik melalui jawatan menteri dan GLC ditaburkan kepada pemimpin-pemimpin tertentu supaya mereka rasa terhutang budi kepada Bersatu dan memejamkan mata terhadap sifat ‘inferior’ dan sifat mandom Bersatu.
Konspirasi politik Bersatu ini nampaknya pada mata kasar telah berjaya memporak-perandakan UMNO dan juga PKR.
Keadaan menjadi rumit lagi apabila, kerajaan Tun Mahathir terdahulu berjaya mengheret lima pemimpin tertinggi UMNO ke mahkamah.
Mungkin inilah yang dikatakan oleh mantan KPN, TS Hamid Bador sebagai masuk-campur politik dalam urus tadbir negara.
Mantan Peguam Negara semasa PH berkuasa, TS Tommy Thomas juga memperakui bahawa kerjanya banyak diganggu oleh ahli politik.
Pendedahan mantan Peguam Negara sebelumnya, TS Mohamad Apandi Ali terhadap campur tangan politik sebagai usaha ‘political assassin’ ke atas DS Najib Razak juga membenarkan dakwaan Hamid Bador dan Tommy Thomas.

Pastinya DS Anwar Ibrahim adalah mangsa yang paling teraniaya, meskipun bukan mangsa pertama, setelah disumbat ke penjara, sebaliknya kes-kes pemimpin DAP dipadamkan begitu sahaja semasa PH berkuasa.

Dengan itu, ramalan Tun Mahathir serta pemimpin yang peka terhadap kelemahan Bersatu, optimis parti itu akan kalah teruk pada PRU-15 nanti.
Hari inipun nampaknya rakyat sudah muak dengan kepimpinan Bersatu sebagaimana terlihat pada kritikan-kritikan pedas terhadap krisis kewangan negara, penggunaan dana KWAN, hutang negara yang meningkat, kadar pengangguran yang naik mendadak, dan kos sara hidup rakyat melambung.
Sungguh malanglah bagi Muhyiddin kerana pandemik Covid19 juga tidak membantunya malah menambahkan lagi beban sedia ada.
*****